Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Mengapa FAM Perlu Letakkan ‘Harga Kombo’ Untuk Semua Perlawanan Pada November

Kepada anda yang belum mengetahui, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa skuad senior kebangsaan akan berdepan Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan pada 9 November depan.

Hal ini bermaksud, Malaysia akan melalui tiga perlawanan pada bulan November ini:

09 November – Persahabatan, Malaysia vs Tajikistan
14 November – Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Malaysia vs Thailand
19 November – Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Malaysia vs Indonesia

Home of Harimau MalayaTetapkan tarikh 9, 14 & 19 November 2019 dalam kalendar peribadi anda, seterusnya hadir memenuhi…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Wednesday, October 23, 2019

Tiga perlawanan, 10 hari, kesemuanya di laman sendiri, apakah idea yang lebih baik berbanding meletakkan harga istimewa kepada pembeli tiket untuk kesemua perlawanan atau penulis ingin menyebut sebagai ‘harga kombo’.

Faktor psikologi ‘harga murah’

Dengan meletakkan satu harga istimewa untuk penyokong yang berkeinginan untuk hadir ke semua perlawanan ini, tentunya ia dapat menarik lebih ramai penonton ke Stadium Nasional nanti.

Kebiasaannya, harga sekeping tiket perlawanan antarabangsa membabitkan skuad senior Malaysia adalah antara RM30 ke RM40.

Bermaksud andaikan kesemua perlawanan ini menggunakan harga biasa, penyokong perlu berbelanja dari RM90 ke RM120.Mengapa tidak jika FAM meletakkan satu harga khas yang lebih murah agar kita bukan sahaja dapat menarik penyokong biasa malahan juga penyokong yang tidak selalu ke stadium.

Penulis tidak dapat memberikan jarak ukur berapakah harga sepatutnya FAM letakkan kerana penulis juga tidak mengetahui kos sebenar sekeping tiket, tetapi bayangkan, sekeping tiket biasa adalah RM30.

Katakan diletakkan harga RM20 sekeping (hanyalah contoh). Penyokong tentunya akan berfikir ‘lebih baik saya membeli harga kombo. Jimat RM10. Saya pun boleh tonton semua perlawanan’.

Malah lebih ramai dapat ditarik jika menggunakan faktor ini dan boleh juga menampung semula keuntungan daripada diskaun yang diberikan FAM tadi.

Menghargai penyokong setia

Mengapa tidak, FAM memberikan satu penghargaan istimewa kepada penyokong setia yang tidak pernah berbelah bahagi memberikan sokongan.

Mereka ini sering hadir ke stadium tanpa mengira apa jua jenis perlawanan, kejohanan dan siapa pun lawan yang akan ditempuhi, dan tentunya dengan siri tiga perlawanan ini, mereka kepingin hadir ke kesemua perlawanan.

Ibarat pas bermusim, cuma kali ini ia berbeza kerana FAM tentunya tidak dapat mengeluarkan pas bermusim kerana mereka hanya menguruskan pasukan kebangsaan yang mana tempoh perlawanannya hanya hadir beberapa kali, berikan harga istimewa kepada semua penyokong ini yang sudah tentu sah hadir ke kesemua perlawanan.

Beraksi di laman sendiri

Kesemua tiga perlawanan tersebut akan dilangsungkan di Malaysia, dan tentunya kita mahukan sokongan yang gamat dan padu dari seluruh rakyat negara ini.

Dengan memperkenalkan ‘harga kombo’, maka lebih ramai akan turun ke stadium, memberikan sokongan, menjadikan seluruh stadium bergema dengan sorakan sekaligus turut menterjemahkan kepada pasukan lawan bahawa ‘Home of Harimau Malaya’ ini bukanlah satu laman yang biasa sebaliknya harus digeruni lawan.

Begitulah antara sebab mengapa FAM perlu memperkenalkan ‘harga kombo’ ini kepada para penyokong. Diharapkan agar pihak atasan boleh memperhalusi cadangan ini untuk kebaikan bola sepak negara.

Penutup

Apa yang dinyatakan di sini hanyalah sekadar cadangan untuk dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seperti anda, kami juga adalah golongan penyokong yang sentiasa berkeinginan untuk memberikan sokongan di stadium setiap kali pasukan kebangsaan beraksi.

Apa-apa pun ia terpulang dengan FAM untuk melaksanakan cadangan sebegini.