Daripada Institusi Maahad Tahfiz, Kini Jadi ‘Permata’ Baharu Diperkenalkan JDT

Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) terus bergerak maju kini untuk mendapatkan bakat-bakat muda berkualiti bagi diperkenalkan pada masa hadapan, dengan terbaharu mereka berjaya menandatangani permata daripada salah satu Maahad Tahfiz di Johor.

Fathi Zhiyad Syarhan bin Fitri boleh dianggap sebagai remaja paling bertuah kini di Batu Pahat, selepas beliau terpilih untuk menyertai Akademi JDT pada musim ini walaupun masih berusia 11 tahun.

Beliau yang kini sah ditandatangani pasukan tersebut bakal menyertai mereka pada musim 2025 serta akan menyarung jersi skuad JDT bawah 12 (B-12) dan mengikuti program serta siri perlawanan yang telah ditetapkan.

Bakat adik Fathi Zhiyad telah dikesan oleh Ketua Penilai Bakat JDT, Diego Griffa dalam beberapa siri perlawanan bersama Kelab Bolasepak Perdana United di sekitar Johor, sebelum dipanggil menyertai sesi pemilihan di Johor Bahru.

Uniknya, Fathi Zhiyad merupakan salah seorang pelajar di Maahad Integrasi Tahfiz Al Fathi (MITTAF), Batu Pahat, Johor dan juga telah pun khatam 30 juzuk bacaan Al-Quran sebelum ini di peringkat sekolah.

Adik Fathi Ziyad melalui kehidupan di Maahad Tahfiz selaku salah seorang hafazan Al Quran

Walaupun begitu, ia turut tidak menghalang buat permata baharu tersebut untuk bersinar dalam sukan bola sepak serta mampu mengimbanginya dengan begitu baik pada usia yang masih muda.

Lebih menarik, sokongan diberikan oleh pusat tahfiz itu sendiri menjadi aspek utama kepada kejayaan Fathi Zhiyad untuk membina karier selaku pemain bola sepak profesional di sebalik kesibukan beliau menjalani pelbagai program lain termasuk dalam bidang akademik.

“Silibus yang mereka belajar di sekolah ini ialah hafazan Al-Quran, akademik dan juga KAFA pada sesi petang.

“Maksudnya, Fathi Zhiyad akan masuk sekolah pada jam 7:30 pagi sehingga pukul 4:30 petang. Dalam masa satu hari, beliau akan belajar ketiga-tiga silibus tersebut iaitu menghafal Al-Quran, akademik, serta KAFA,” jelas Haji Saad Bin Ahmad selaku Penasihat Maahad Intergrasi Tahfiz Al Fathi.

Tampil berkelebihan beraksi di posisi pertahanan serta sayap kiri, bakat Fathi Zhiyad jelas menarik minat kejurulatihan akademi JDT untuk menyerap masuk anak muda ini selaku rekrut terbaharu mereka.

Malah pemain ini juga turut mengulangi kejayaan anak muda dari Batu Pahat sebelum itu, Muhamad Ridzwan bin Rosli, salah seorang pemain Akademi JDT sejak usia 12 tahun dari Batu Pahat yang telah berjaya bersama skuad utama pasukan berkenaan.

Untuk rekod, Ridzwan kini juga turut diterbangkan ke Sepanyol untuk bersama para pemain bintang lain menghadapi siri perlawanan pramusim bersama kelab tempatan sana dan ia mampu menjadi pengalaman terbaik buat beliau.

Terdahulu, akademi tersebut boleh dianggap paling aktif di Malaysia kini dengan barisan kejurulatihan mereka bergerak di seluruh negara untuk mendapatkan bakat-bakat baharu.

Miliki potensi cukup tinggi di posisi pertahanan serta sayap kiri

Jika sebelum ini JDT menjadi mangsa kecaman dalam kalangan peminat gelap apabila pasukan itu dianggap gemar menandatangani pemain bintang berbanding melahirkan bakat muda, kini segalanya terus berubah.

Malah, penilai bakat akademi JDT yang diketuai oleh Diego Griffa juga turut memberi peluang kepada mana-mana anak muda yang berbakat besar tanpa melihat status serta negeri kelahiran.

Program pencarian bakat pasukan JDT di pelosok negara jelas sentiasa mendapat tumpuan ramai dengan setiap ibubapa berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka dengan harapan bintang bola sepak profesional baharu dapat dilahirkan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengeluh mengenai sikap kebanyakan kelab mengambil jalan pintas menyerap pemain muda daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sekolah sukan lain, namun JDT sebenarnya sudah pun membuktikan mereka mempunyai acuan tersendiri untuk melahirkan bakat-bakat berkualiti.

Buktinya boleh dilihat bagaimana aktifnya kejurulatihan akademi di JDT itu sendiri mencari serta menilai bakat-bakat baharu seperti dilalui oleh Fathi Zhiyad sebelum diserap masuk ke dalam akademi JDT.

Malah, jika ada yang mempertikaikan kewibawaan kelab itu sendiri, ayuh buktikan akademi dari negeri mana lebih aktif serta mempunyai sistem cukup teliti di Malaysia kini mampu melampaui mereka?

Apapun, semoga adik Fathi Zhiyad mampu berkembang maju dan seimbang daripada segi pembangunan bola sepak serta akhirat untuk menjadi contoh terbaik buat pemain lain pada masa hadapan.

Malah, Akademi JDT sendiri pasti akan bangga jika produk asuhan mereka sejak usia belasan tahun itu mampu bersinar untuk menjadi Arif Aiman terbaharu pada masa akan datang bersama kelab serta Harimau Malaya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN