Pendahulu senarai penjaring terbanyak kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini, Robert Lewandowski dengan 13 gol sememangnya dikenali sebagai seorang penyerang yang cukup berbisa bagi membolosi pintu gol pasukan lawan.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa pemain yang turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak saingan Bundesliga 2019/20 selepas menjaringkan 34 gol itu sebenarnya hampir berkelana ke England.
Ia berikutan minat ditunjukkan oleh Blackburn Rovers yang ketika itu dibimbing Sam Allardyce pada tahun 2010 untuk membawa Lewandowski ke Ewood Park.
Ketika itu, Lewandowski masih lagi beraksi bersama kelab liga utama Poland, Lech Poznan dan Blackburn Rovers beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perpindahan itu bagaimanapun gagal untuk direalisasikan susulan letusan gunung berapi Eyjafjallajökull di Iceland yang kemudiannya menyaksikan penyerang berbisa berusia 31 tahun itu mengubah haluan bagi menyertai Borussia Dortmund.
”Saya pergi bersama Ketua Pencari Bakat, Martyn Glover. Kami begitu tertarik dengan pemain itu [Lewandowski], pengerusi kelab telah membuat perjanjian dengan jumlah bernilai €8 juta dan dia akan terbang ke sini [Blackburn],” ujar Sam Allardyce menurut laporan Sport Bible.
”Abu [gunung berapi] bermula di Iceland dan semua penerbangan terpaksa dibatalkan, jadi dia tidak dapat untuk datang ke sini.”
”Kami menantinya di Lapangan Terbang Manchester dan kemudiannya selepas seminggu dua, dia menandatangani kontrak bersama Borussia Dortmund.”
”Saya tidak mengingati perkara ini sehingga membaca artikel mengenainya. Ia hanya mengingatkan saya bahawa kami begitu hampir untuk mendapatkan seorang penyerang terbanyak di dunia,” tambah Allardyce lagi.
Kenangan ini tidak hanya disahkan oleh Allardyce tetapi Lewandowski sendiri turut mengakui perkara tersebut.
”Saya mempunyai peluang untuk menyertai Blackburn, tetapi saya mahu melihat bagaimana ‘rupa’ Blackburn, pusat latihan, tempat di mana saya bertemu Sam Allardyce.”
”Ia di Poland selepas tamat satu perlawanan. Saya fikir dia seorang yang baik, jurulatih yang baik.”
”Dia bersedia untuk mengambil pemain muda yang mahukan sesuatu yang baru dan mungkin juga sesuatu yang istimewa. Dia mahu datang ke Poland dan berjumpa dengan saya. Ia sangat baik.”
”Saya merasakan mengapa tidak saya pergi ke Blackburn, tetapi saya mahu ke sana untuk melihat pusat latihan, stadium. [Tetapi] saya tidak dapat kesana kerana awan. Terdapat gunung berapi.”
”Ia berlaku dalam tempoh seminggu dan tiada siapa boleh terbang di Eropah. Tiket penerbangan sudah ditempah, tetapi kami tidak boleh meninggalkan negara. Ia mengubah hidup saya.”
”Sekiranya saya pergi ke Blackburn, mungkin saya akan tinggal di sana [beraksi bersama Blackburn].”
Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya, itu perkara yang perlu untuk kita terima hakikatnya.
Walaupun gagal ke Blackburn, langkah Robert Lewandowski ke Dortmund nyata satu keputusan yang sangat tepat kerana ia telah merintis kepada laluannya menjadi salah seorang peledak prolifik di dunia pada ketika ini.
Kredit featured image: A. Hassenstein/Getty Images for FC Bayern
Baca artikel lain dari kami mengenai Robert Lewandowski: