Rogerio Ceni: Penjaga Gol Legenda Yang ‘Dahagakan’ Jaringan

Rogerio Ceni

Rogerio Ceni merupakan antara penjaga gol yang mencuri tumpuan dunia meskipun beliau tidak beraksi bersama kelab-kelab ternama Eropah di sepanjang karier hebatnya dalam kancah bola sepak profesional.

Ia berikutan pencapaian luar biasa dilakarkan bekas penjaga gol skuad kebangsaan Brazil tersebut susulan 131 jaringan yang diledakkannya selama 25 tahun menyarung jersi kelab Liga Serie A Brazil, Sao Paulo.

Jika penjaga gol lain mengejar anugerah ‘Golden Glove’ dalam satu-satu kejohanan tetapi Rogerio yang kini merupakan Fortaleza Esporte Clube dilihat ‘lebih gemar’ memburu jaringan.

Ketenangannya dalam menyempurnakan sepakan penalti dan sepakan pencuma menjadi senjata sampingan buat Rogerio pada ketika ketangkasannya dalam mengemudi gawang Sao Paulo juga tidak boleh dipertikaikan.

Embed from Getty Images

Permulaan kisah luar biasa seorang yang bernama Rogerio Ceni

Sebelum kelahiran Rogerio pada 22 Januari 1973, ibu bapanya diuji dengan dugaan yang cukup mencabar apabila doktor mengesahkan bahawa kandungan ibunya berisiko tinggi dan langkah lebih selamat adalah dengan menggugurkan kandungan tersebut.

Namun, atas sokongan kuat daripada suaminya, ibu Rogerio tidak mengikut apa yang telah dinasihatkan oleh doktor dan semuanya baik-baik sahaja apabila Rogerio selamat dilahirkan di Parana, sebuah negeri di selatan Brazil.

Beberapa tahun kemudian, keluarga Rogerio telah berhijrah ke Sinop, Mato Grosso yang merupakan negeri ketiga terbesar di Brazil.

Sehubungan dengan itu, Rogerio telah menyertai akademi sebuah kelab kecil, Sinop FC ketika usianya 14 tahun. Pada permulaannya beliau beraksi sebagai penjaga gol dan bek sisi.

Namun, pengaruh daripada bapanya, Eurides telah menyaksikan Rogerio memilih untuk terus memberikan fokus dengan lebih serius sebagai seorang penjaga gol.

Sertai Sao Paulo pada usia 17 tahun

Penampilannya ketika sesi percubaan telah menarik minat pengurusan Sao Paulo yang kemudiannya merekrut beliau pada tahun 1990 untuk membarisi skuad bawah 20 tahun.

Bersama pasukan bawah 20 tahun, Rogerio merupakan penjaga gol kedua di belakang Alexandre. Bagaimanapun kemalangan jalan raya telah mengorbankan nyawa Alexandre sekaligus menjadikan Rogerio sebagai penjaga gol utama dan secara tidak langsung bergelar penjaga gol ketiga skuad utama [senior] Sao Paulo.

Sehubungan dengan itu, Rogerio mula berlatih bersama skuad utama pada tahun 1992 yang ketika itu dibimbing mendiang Tele Santana.

Penantian berbaloi

Dapat menyertai skuad utama bukanlah tiket mudah buat Rogerio untuk mendapat kepercayaan pengurus untuk menjadikannya sebagai penjaga gol utama pasukan.

Bermula tahun 1993 hingga 1996, Rogerio telah diberikan peluang beraksi untuk mempamerkan kualiti besar dimilikinya. Sebaik sahaja penjaga gol utama, Zetti memilih untuk berhijrah ke Santos pada tahun 1997, ia memberikan ruang yang cukup besar buat Rogerio untuk menyinar.

Meskipun pada musim tersebut Sao Paulo hanya mampu menamatkan saingan Liga Serie A di tempat ke-12 serta tiada sebarang kejayaan berjaya dicatatkan, Rogerio Ceni telah membuat 71 penampilan pada ketika itu.

Keadaan yang jelas menunjukkan beliau sudah pun mendapat kepercayaan pengurus pasukan ketika berusia 24 tahun dan penantiannya untuk menggalas tanggungjawab tersebut begitu berbaloi.

Musim pertamanya sebagai penjaga gol utama Sao Paulo menyaksikan beliau telah berjaya menjaringkan tiga gol pada musim tersebut.

Selepas itu Rogerio tidak memandang ke kebelakang untuk terus menjadi sandaran utama buat Sao Paulo sehingga ke persaraannya pada musim 2015.

Embed from Getty Images

Kehebatan sepakan percuma dan penalti dapat iktiraf Guinness World Record

Laporan menyebut Rogerio pernah membuat 15,000 latihan sepakan percuma dalam tempoh enam bulan ketika Sao Paulo di bawah bimbingan Muricy Ramalho dan menyebabkan pengurus itu memberikan tanggungjawab mengambil sepakan percuma buat penjaga gol tersebut.

Terlalu banyak jaringan menerusi sepakan percuma dan penalti yang diledakkan Rogerio sehinggakan namanya terpahat dalam Guinness World Record sebagai penjaga gol paling banyak menjaringkan gol menerusi sepakan percuma [59 gol] pada 11 April 2015.

Beberapa bulan kemudian [26 Ogos 2015], Rogerio mendapat anugerah penjaga gol paling banyak menjaringkan gol menerusi sepakan penalti iaitu sebanyak 69 gol.

Tidak cukup dengan dua pencapaian tersebut, beliau turut dinobatkan sebagai penjaga gol paling banyak menjaringkan dalam satu musim apabila beliau meledakkan 21 gol pada musim 2005. Jumlah-jumlah tersebut tidak termasuk jaringan pada perlawanan persahabatan.

Antara detik yang pasti tidak dapat dilupakan penyokong setia Sao Paulo ialah ketika aksi liga 2006 bertemu Cruzeiro apabila Rogerio berjaya menafikan sepakan penalti pemain lawan ketika pasukan dikenali sebagai Tricolor itu ketinggalan 0-2.

Rogerio kemudiannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-42 sekaligus beliau melepasi jumlah jaringan terbanyak oleh penjaga gol yang ketika itu dipegang oleh Jose Luis Chilavert dengan 62 gol.

Memasuki babak kedua, Rogerio muncul wira setelah kembali mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti di minit ke-60 bagi menyelamatkan Sao Paulo daripada menerima kekalahan.

Kejayaan dinikmati bersama Sao Paulo

‘Menghambakan diri’ bersama Sao Paulo sepanjang karier profesionalnya menyaksikan Rogerio Ceni berjaya meraih beberapa gelaran utama seperti menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2005 ketika menewaskan Liverpool, menjulang trofi Serie A Brazil tiga musim berturut-turut [2006,2007 dan 2008) serta muncul juara Copa Libertadores 1993 dan 2005.

Di pentas antarabangsa pula, Rogerio merupakan sebahagian daripada anggota skuad kebangsaan Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun selepas The Selecao menewaskan Jerman 2-0 pada perlawanan akhir.

Sepanjang menyarung jersi Sao Paulo, Rogerio telah membuat 1198 penampilan dalam semua pertandingan kompetitif yang disertai legenda yang kini berusia 47 tahun itu.

Sedang membimbing Fortaleza di liga utama Brazil

Rogerio berjaya membimbing Fortaleza muncul juara Serie B Brazil 2018 untuk membawa kelab tersebut ke saingan utama (Serie A) pada musim 2019 dan turut memenangi Campeonato Cearense dan Copa do Nordeste.

Pada 11 Ogos 2019, beliau dinamakan sebagai pengurus baharu Cruzeiro tetapi meninggalkan kelab itu tidak sampai sebulan kemudian susulan pertengkaran dengan pemain utama kelab terutamanya Thiago Neves dan Dede.

Beliau kemudiannya kembali semula menyertai Fortaleza yang ketika itu baharu sahaja memecat pengurusnya, Ze Ricardo.

Kembalinya semula Rogerio ke kelab tersebut menampakkan hasil yang cukup positif apabila Fortaleza menamatkan saingan musim 2019 di kedudukan kesembilan bagi membolehkan mereka layak ke saingan Copa Sudamericana 2020.

Embed from Getty Images

Penutup

131 jaringan yang dihasilkan oleh Rogerio sememangnya menjadikan beliau sebagai seorang legenda yang sukar untuk dicari ganti terutamanya pada era bola sepak moden ini.

Tangkas menjaga gawangnya dari dibolosi, begitu tenang ketika mengambil sepakan penalti dan ketajaman penyudah ketika situasi sepakan percuma serta sifat kepimpinan di tahap tertinggi menjadikan Rogerio sebagai seorang bekas pemain yang cukup istimewa.

Kredit featured image: Friedemann Vogel/Getty Images

Leave a Reply