Apakah Perkembangan Terkini Federico Macheda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Federico Macheda, satu nama yang pernah menggegarkan dunia Premier League satu ketika dahulu.

Penyerang yang berasal dari Itali ini pernah digelar ‘Cristiano Ronaldo Itali’ oleh sesetengah penyokong. Sungguh lucu rasanya apabila mengenangkannya semula.

Macheda menandatangani kontrak profesional pertamanya dalam karier bola sepak bersama Manchester United pada 2008. Namanya mula dikenali ramai apabila berjaya menjaringkan dua gol ketika United ketinggalan 1-2 kepada Aston Villa seterusnya memberikan tiga mata buat Red Devils.

Macheda juga salah seorang daripada pemain remaja United berjaya mencipta sejarah tersendiri.

View this post on Instagram

Masa depan cerah buat Greenwood? #MUNNEW

A post shared by Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) on

Namun, sejak kejadian itu pada 5 April 2009, nama Macheda semakin tenggelam hari demi hari.

Dipinjamkan ke kelab lain sebanyak enam kali!

Dengan kesukaran mendapatkan tempat dalam pasukan utama United, selain daripada ingin meneruskan pembangunan kariernya, Macheda mengambil keputusan mahu dipinjamkan ke kelab lain.

Pada awalnya, Sir Alex Ferguson mahu pemain itu beraksi untuk kelab di England sahaja, namun Macheda menolak cadangan itu. Sebaliknya, beliau mahu dipinjamkan ke Itali, sebelum beliau menerima tawaran dari Sampdoria pada musim panas 2011.

Macheda pada lewat kariernya mengakui, ia adalah keputusan yang silap. Beliau sepatutnya mengikut sahaja kata-kata Ferguson.

Sejak dipinjamkan ke Sampdoria, Macheda tidak pernah memenuhi potensi sebenarnya.

Selepas dipinjamkan ke Sampdoria, beliau dipinjamkan ke Queens Park Rangers pada 2012, VfB Stuttgart (2013), Doncaster Rovers (2013) dan Birmingham City (2014).

Foto: Getty Images

Statistik terbaiknya adalah menjaringkan 10 gol daripada 18 penampilan bersama Birmingham City, sebelum dilepaskan sepenuhnya oleh Manchester United pada 2014, dengan selama enam tahun bersama Red Devils, beliau hanya menjaringkan 5 gol daripada 36 penampilan, dengan kebanyakan masa dihabiskan dipinjamkan ke kelab lain.

Episod di Cardiff dan pulang ke Itali

Selepas dilepaskan United pada 2014, Macheda ditandatangani Cardiff City – pasukan yang ketika itu diuruskan bekas pengurusnya ketika bersama skuad Bawah 23 Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Foto: BBC

Begitupun, Macheda gagal menempatkan diri dalam pasukan utama, sehinggalah Solskjaer dipecat Cardiff City, seterusnya Cardiff ‘turun pangkat’ ke Championship, Macheda membawa haluan ke Nottingham Forest secara pinjaman pada 2016. Pada Ogos 2016, kontrak Macheda bersama Cardiff ditamatkan atas persetujuan bersama.

Pada Disember tahun yang sama, Macheda pulang ke Itali dan menandatangani kontrak bersama pasukan divisyen dua, Novara. Hanya menjaringkan 11 gol daripada 50 penampilan, Macheda meninggalkan kelab pada 2018.

Bawa diri ke Greece

Foto: Panathinaikos

September 2018, Federico Macheda menandatangani kontrak tiga tahun bersama Panathinaikos.

Tidak keterlaluan jika penulis katakan ia satu tempoh yang sangat lama dan mengejutkan, memandangkan Macheda pun gagal memperoleh lebih daripada dua tahun ketika bersama Novara.

Dalam musim pertamanya, Macheda menjaringkan 10 gol dari 26 penampilan liga. Not bad.

Musim 2019-20 setakat ini menyaksikan Macheda menjaringkan 5 gol daripada 14 penampilan liga.

Kesimpulan karier Macheda

Macheda berjaya mengucup trofi Premier League sebanyak dua kali, satu League Cup, satu FA Community Shield dan satu Premier League U-23.

Dari segi bola sepak antarabangsa, Macheda hanya pernah mewakili Itali di peringkat Bawah 21, manakala tidak pernah mewakili Itali di peringkat senior.

Macheda ialah satu bakat dan prospek besar yang pernah diakui ramai satu ketika dahulu, namun kesilapan dalam karier, selain tidak mengikuti nasihat orang lain, Macheda akhirnya tenggelam daripada digelar ‘Cristiano Ronaldo baharu’ kepada hanyalah penyerang biasa hari ini.

Bukan semua pemain muda dapat mengekalkan motivasi ketika bergelar remaja, selain daripada perlu memilih laluan karier yang tepat agar tidak tenggelam.

PERCUMA: Bandage Lekat Sendiri

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U