Alphonso Davies: Kisah Pelarian Perang Afrika Yang Menakluk Eropah

Alphonso Davies Pelarian Afrika Eropah

Alphonso Davies tentunya salah seorang pemain yang sangat beruntung apabila Bayern Munich menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tempoh hari yang juga merupakan kejuaraan ketiga selepas Bundesliga dan DFB Pokal hanya dalam musim penuh pertamanya di Jerman.

Baru berusia 19 tahun, beliau kini adalah salah satu bakat muda terbaik dalam bola sepak Eropah, sangat digemari oleh penyokong Bayern Munich sama ada di dalam atau di luar padang serta mempunyai personaliti yang sangat menghiburkan di media sosial.

https://www.instagram.com/p/B0HpGUrI7b6/?utm_source=ig_web_copy_link

Tapi pernahkah kita tahu, di sebaliknya senyuman manis pemain muda itu ketika meraikan kejayaan pasukannya, beliau sebenarnya lahir dan membesar dalam kalangan keluarga pelarian perang di Afrika yang terpaksa mengharungi kelaparan, keperitan dan kesengsaraan.

Kemiskinan yang menyeksakan

Perjalanan hidupnya bermula di Buduburam, sebuah kem pelarian yang terletak di selatan Ghana iaitu tempat di mana Davies dilahirkan selepas kedua ibu bapanya melarikan diri dari perang saudara di Liberia. Perang yang berlanjutan dari 1986 hingga 2003 itu telah menyebabkan lebih 250,000 nyawa terkorban dan menjejaskan kehidupan jutaan rakyat Liberia. 

Hidup mereka diselubungi dengan kedaifan dalam segenap aspek terutamanya kesukaran dalam mendapatkan makanan dan sumber minuman yang bersih. Setiap orang bergelut untuk meneruskan kehidupan.

Mungkin agak sukar untuk Davies mengingati tahun-tahun awal kehidupannya semasa zaman kanak-kanak. Tetapi hari demi hari berlalu, bapanya, Debeah Davies memikirkan beliau tidak boleh lagi membiarkan keluarganya membesar dengan suasana sedemikian. Baginya tentu ada cara untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

Kem Pelarian di Buduburam.
Kredit Foto: Bundesliga

“Sangat sukar untuk meneruskan kehidupan kerana satu-satunya cara untuk kamu selamat adalah dengan membawa senjata api. Tetapi kami tidak berminat untuk menggunakannya atau menembak sesiapa. Jadi kami putuskan untuk keluar dari tempat tersebut,” ujar Debeah.

Teratak kecil yang dihuni oleh Davies dan keluarganya selama lima tahun sejak Davies dilahirkan masih wujud sehingga kini. Hakikatnya ia tidaklah lebih besar daripada sebuah van mini.

Dindingnya diperbuat daripada papan serpai, jaring-jaring dijadikan tingkap, kain lusuh digunakan sebagai langsir untuk melindungi dari habuk dan cuaca panas, dan bahagian bumbung ditutup dengan kepingan zink yang sudah usang dan berkarat.

Rumah keluarga Davies di kem pelarian Buduburam.
Kredit Foto: FC Bayern

Apa yang merisaukan Deboah adalah kesihatan anaknya yang membesar dalam keadaan kekurangan zat. Untuk mendapatkan air bersih, makanan dan pakaian, semuanya perlukan wang. Mereka terpaksa merebus daun-daun bersama serbuk kari untuk dijadikan sup.

“Kebetulan ada satu program [oleh PBB] yang dipanggil penempatan semula. Saya kata ‘OK’ dan perlu isi borang untuk dihantar ke Kanada. Kami jalani proses temuduga dan sebagainya, akhirnya lulus dan datang ke sini.”

Kira-kira 50,000 warga Liberia yang menghuni kem pelarian di Buduburam. Selepas perang berakhir, sebahagian mereka kembali ke Liberia, sementara yang lain pula mencari kehidupan baharu di Kanada, Australia, Norway dan juga Sweden. Namun 20,000 lagi memutuskan untuk kekal di sana.

Buduburam akhirnya menjadi sebuah pekan yang lengkap dengan balai polis, balai boba dan hospital. Panduduk setempat mula membangunkan sekolah dan menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti kafe, kedai pakaian dan sebagainya.

Bola sepak menjadi elemen penting dalam kehidupan sosial masyarakat di sana. Ia menyatukan keluarga, puak dan kampung yang berbeza. Bola sepak adalah sukan yang sangat popular di Ghana dan mereka mengikuti rapat perkembangan Bundesliga. Kejayaan Davies bersama Bayern Munich telah menjadikan beliau idola buat penduduk Buduburam.

Nilai sebuah penghijrahan

Keluarganya dapat peluang berhijrah ke Kanada sewaktu Davies berusia lima tahun dan ditempatkan di Edmunton. Davies yang berperwatakan agak pemalu pada awalnya agak kekok untuk bermain bola sepak bersama kanak-kanak sebayanya. Tambahan pula pada peringkat awal beliau tiada langsung but dan jersi.

Sewaktu bersekolah di Sekolah Katolik St. Nicholas, beliau menyertai akademi bola sepak di sekolah tersebut. Di sana beliau bertemu dengan Chernoh Fahnbulleh yang berasal dari Liberia dan berhijrah ke Kanada pada 2008. Itulah sahabat karibnya semasa kecil dan mereka masih berkawan baik sehingga kini.

Dalam satu temubual, Fahnbulle menceritakan bagaimana mereka berdua bersama-sama dalam satu kelas, belajar, membaca buku dan melakukan pelbagai perkara termasuk bermain bola sepak. Namun beliau mengakui, bakat rakannya itu dalam sukan tersebut terlalu jauh meninggalkannya sehinggakan nama Davies menjadi terkenal di Edmonton.

Davies secara jujur mengatakan beliau pada awalnya bermain bola sepak hanya untuk suka-suka sahaja bagi memastikan dirinya kekal sihat dan cergas, namun tidak menyangka mempunyai bakat yang besar dalam sukan tersebut sehingga diangkat sebagai ‘wonderkid‘.

“Saya bermain bola sepak kerana saya suka dapat bermain dengan kawan-kawan. Kemudian saya mula bermain secara serius dengan beberapa pasukan. Ibu bapa, jurulatih dan rakan sepasukan lain mula mengatakan yang saya perlu terus bermain sehinggalah saya percaya dengan kebolehan diri sendiri. Sejak itu saya bertekad mahu menjadi pemain profesional,” kata Davies.

Selepas bermain bermain untuk beberapa pasukan di sekitar Edmonton, beliau akhirnya menyertai pasukan Edmonton Strikers yang dilatih oleh seorang pakar IT, Nick Househ yang kini telah menjadi ejennya.

“Alphonso seorang yang pendiam. Ibu bapanya bekerja sepanjang hari apabila mereka berpindah ke Kanada, jadi apabila dia pulang dari sekolah, dia akan menjaga adik-adiknya di rumah,” kata Househ ketika ditemubual SkySports.

“Dia sudah pun diasuh untuk menukar lampin adiknya sebelum usianya mencapai remaja, panaskan susu dan macam-macam perkara lagi. Pada usia yang sangat muda, dia telah diajar untuk berdikari dan memikul tanggungjawab yang tidak mampu dibuat oleh kebanyakan kanak-kanak berusia 11 tahun.”

Hoaseh berbangga dapat menjadi salah seorang pendidik Davies sehingga beliau menjadi seorang lelaki budiman. Beliau percaya didikan Ibu bapanya menjadikan Davies sentiasa mengingati satu ‘mantera’ yang disebut berulang-ulang ketika beliau masih kanak-kanak.

“Saya sentiasa cakap kepadanya, jangan ikut kawan-kawan yang nakal, jangan jadi orang jahat. Jika dia masuk kumpulan samseng, masa depannya mungkin berakhir, tetapi saya tahu dia tak akan lupakan pesanan itu,” ujar Debeah.

https://www.instagram.com/p/Bp1AegnB7sQ/?utm_source=ig_web_copy_link

Permulaan cemerlang

Semua pengalaman tersebut menjadikan Davies seorang remaja yang cepat matang. Pada 2015, Vancouver Whitecaps menandatanganinya ketika berusia 14 tahun. Pada awalnya ibu bapanya berat untuk berpisah dan terpaksa melepaskannya ke bandar pinggir laut yang terletak lebih 1,000 kilomoter dari mereka.

“Seperti orang lain, ibu saya takut jika saya berkawan dengan orang yang salah dan dibuang sekolah. Kemudian ayah minta saya berjanji untuk menjadi seorang yang baik dan menghormati semua orang. Dia mahu saya kekal merendah diri walau di mana saya berada.”

Potensi Davies berkembang dengan sangat pantas. Bermula dengan berkasi bersama skuad simpanan, Whitecaps FC 2 dalam saingan United Soccer League (USL), beliau membuat debut profesionalnya ketika berusia 15 tahun lima bulan pada April 2016 dan menjaringkan gol pertamanya sebulan selepas itu.

Dengan kematangannya, beliau menandatangani kontrak pertama dengan skuad utama Whitecaps pada Julai 2016 menjadikan beliau pemain aktif paling muda di Major League Soccoer (MLS) dan membuat debut sehari selepas itu, sekaligus mencipta sejarah sebagai pemain pertama yang lahir pada era milenium (2000-an) beraksi dalam liga utama Amerika Syarikat (AS) tersebut.

Pada musim 2016, beliau telah bermain dalam  lapan perlawanan MLS, empat perlawanan Kejuaraan Kanda dan tiga perlawanan Liga Juara-Juara CONCACAF. Kehebatannya itu membolehkan beliau disenaraikan dalam 60 pemain muda terbaik dunia pada 2017 dan mula menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkannya.

Walaupun beliau memegang kerakyatan Liberia mengikut ibu bapanya, beliau telah dipanggil untuk mewakili skuad bawah 15 tahun (B-15), B-18 dan B-20 Kanada. Pada 2017, beliau telah dipilih untuk menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kanada bawah 17 tahun (B-17).

Beliau akhirnya mendapat kerakyatan penuh setelah lulus ujian dan mengangkat sumpah sebagai warganegara Kanada dan membolehkannya beraksi untuk skuad senior negaranya.

Kredit Foto: Bundesliga

Ejennya, Nick Househ telah menemui beberapa wakil dari kelab Eropah yang berminat untuk mendapatkan Davies, tetapi perancangan Bayern Munich untuk perkembangan pemain muda itu menjadikan beliau percaya ia kelab terbaik untuk anak didiknya itu mengembangkan kariernya di Eropah.

“Ada satu kelab Inggeris, saya bertanya apa perancangan mereka untuk Alphonso, mereka mengatakan mungkin akan meletakkannya di skuad simpanan dahulu atau meminjamkannya ke kelab lain kerana tidak pasti adakah dia boleh dapat permit kerja.

“Tetapi berbeza dengan Bayern, bukan sekali mereka hubungi saya. Mereka membuat pembentangan lengkap dengan statistik yang dibuat sendiri oleh ketua unit pencari bakat, Marco Neppe dan Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic,” ujar Househ.

“Mereka menunjukkan di mana posisi Davies akan beraksi, mereka menunjukkan jumlah 19 orang pemain skuad utama. Dengan Frank Ribery dan Arjen Robben yang akan bersara, maka peluang untuk mendapatkan minit permainan sangat cerah sehingga 80 peratus daripada keseluruhan perlawanan dalam semusim.”

Impian jadi kenyataan

Selepas berrhijrah ke Munich pada Januari 2019, beliau membuat penampilan pertamanya pada bulan berikutnya dengan masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika menentang Schalke. Namun separuh musim pertamanya itu, beliau cuma beraksi 74 minit dalam enam perlawanan Bundesliga. 

Peluang Davies akhirnya tiba dengan cara yang tidak disangka-sangka. Kecederaan yang menimpa Niklas Sule dan Lucas Hernandez pada awal musim 2019/20 telah memaksa David Alaba ditukar peranannya ke bahagian pertahanan tengah. Niko Kovac ketika itu tentunya pening memikirkan siapa pengganti yang boleh mengisi posisi pertahanan kiri.

Hansi Flick selaku penolong jurulatih datang dengan cadangannya untuk meletakkan Davies bermain di posisi berkenaan. Beliau percaya kepantasan yang kemahiran teknikalnya yang tinggi boleh menjadikan beliau seorang pemain bek sayap yang berkesan dengan taktikal pasukan.

Akhirnya ia menjadi salah satu keputusan terbaik Kovac sebelum beliau dipecat pada November lalu. Sebaik sahaja Flick mengambil tugasan sebagai pengendali, Davies terus mendominasi posisi berkenaan dan muncul salah seorang pemain muda paling menyinar hanya dalam masa beberapa bulan.

Tiada siapa yang menyangka beliau begitu pantas dapat menyesuaikan diri di posisi baharu itu sehinggakan media Jerman mengatakan ianya merupakan pembelian terbaik yang pernah dibuat Hasan Salihamidzic selaku Pengarah Sukan Bayern Munich sejak dilantik pada 2017.

Selepas mengharugi musim penuh pertama yang cemerlang di Jerman, Davies mendapat satu lagi pengiktirafan apabila menerima Anugerah ‘Rookie’ Terbaik Bundesliga untuk musim 2019/20

Penutup

“Saya amat berterima kasih dan bersyukur untuk apa yang telah ibu bapa saya lakukan. Pada saat-saat sukar, mereka membawa keluarga kami ke satu tempat yang jauh lebih selesa, negara yang selamat. Saya gembira dengan apa yang mereka telah lakukan untuk kami.

“Kami datang sehelai sepinggang dan kami datang untuk mendapatkan sesuatu. Jadi kami perlu pastikan impian itu berjaya dicapai.”

Kejayaan yang diraih pada hari ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan yang telah ibu dan bapanya lakukan demi memastikan kehidupan yang lebih baik untuk Alphonso dan adik beradiknya.

“Tiada apa yang saya harapkan, saya cuma mahu berterima kasih kepada Tuhan kerana memberikan nyawa dan kekuatan kepadanya. Saya mahu dia terus buat apa yang dia gembira lakukan,” kata ibunya, Victoria.

“Dia telah berjanji pada saya. Dia katakan ‘ibu, izinkan saya pergi dan saya akan buat kamu bangga’. Jadi saya benarkan. Sekarang saya beruntung dia telah tepati janjinya itu. Daripada mana kami datang, dan hari ini dapat duduk menonton beliau beraksi, seolah-olah kami sedang bermimpi.”

Kredit Foto: Bundesliga

Kisah perjalanan hidup Davies seharusnya menjadi iktibar buat semua pihak. Beliau telah membuktikan status seorang pelarian bukanlah penghalang untuk seseorang itu meraih impian dan kejayaan. Seteruk mana pun kita pada masa lalu, kita masih ada masa depan untuk melakukan sesuatu.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Alphonso Davies:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN