Tidak Bolos 2 Perlawanan, Nafuzi Zain Baiki Struktur Benteng Longgar

Argzim Redzovic Terengganu FC PJ City FC Liga Super 2020 nafuzi benteng longgar

Tidak bolos dalam dua aksi pasca COVID-19, Nafuzi Zain dilihat sudah berjaya memperbaiki isu benteng longgar yang dilalui mereka di awal tahun tempohari.

Terengganu FC telah merekodkan dua kemenangan tanpa bolos, 2-0 ke atas PJ City pada minggu lalu dan 4-0 ke atas pendatang baharu CIMB Liga Super 2020, Sabah pada Sabtu. Ia adalah kerja keras mereka sepanjang rehat lima bulan.

Bolos besar juga satu masalah

Ketika ini, Terengganu FC merupakan antara tiga pasukan yang merekodkan banyak bolos bersama dua pasukan tercorot liga iaitu Sabah dan PDRM, walaupun mereka berada di kedudukan kedua, tiga mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sembilan bolos dalam tiga perlawanan sebelum ini dilihat agak merisaukan dan sepanjang tempoh liga ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, pengendali pasukan, Nafuzi Zain telah mengkaji dan cuba membaiki semampunya.

Katanya di Harian Metro, “Sebelum ini kita banyak mengkaji beberapa aspek ketika liga ditangguhkan lebih lima bulan termasuk kelemahan dan kita tahu jaringan kita sebelum ini banyak tapi bolos juga besar, jadi ini juga masalah.”

Perubahan pemilihan pemain di benteng dapat dilihat memberikan hasil dengan kemasukkan pertahanan yang diserap daripada TFC II, Argzim Redzovic menggantikan Babacar Diallo dan kemunculan semula Shamirza Yusoff di gawang.

Tidak bolos petanda positif

Nafuzi Zain nyata berpuas hati dengan apa yang dilihatnya dalam dua perlawanan setakat ini terutamanya di benteng selain mereka masih mengekalkan ketajaman jentera serangan yang dikemudi oleh penjaring terbanyak, Dominique da Sylva.

Menurut pengendali berusia 41 tahun itu lagi, “Kita perbaiki dan pelajari dari semasa ke semasa ketika sesi latihan dan aksi persahabatan dan apa yang pemain pamerkan saya puas hati, namun banyak lagi yang perlu diperbaiki.”

“Kita perlu bergerak sebagai satu unit dalam mengaturkan serangan dan bertahan dan dalam perlawanan semalam [Sabtu], pemain saya berjaya melakukannya dan kita berjaya mendapatkan tiga mata berharga,” ulasnya lagi.

Selain itu, Nafuzi Zain turut berkata, tidak merekodkan bolos dalam dua perlawanan merupakan petanda positif di bentengnya dan berharap ianya akan diteruskan.

Penutup

Adakah Argzim Redzovic dan Shamirza Yusoff telah berjaya memikat Nafuzi Zain dengan aksi baik mereka setakat ini? Tidak bolos dan menang menandakan tiada perubahan diperlukan untuk dua posisi tersebut dalam masa terdekat.

Adakah Nafuzi Zain sudah mendapat tonik untuk benteng longgar mereka? Pertembungan dengan Melaka United dan JDT akan berikan jawapannya.

KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC

Baca lagi artikel mengenai Nafuzi Zain dan Terengganu FC:

Leave a Reply