Davies Atasi Haaland Untuk Anugerah ‘Rookie’ Terbaik Bundesliga

Alphonso Davies

Selepas mengharugi musim pertama yang cemerlang di Jerman, pemain pertahanan kiri Bayern Munich, Alphonso Davies mendapat satu lagi pengiktirafan apabila diberi Anugerah ‘Rookie’ Terbaik Bundesliga untuk musim 2019/20.

Pemain berusia 19 tahun itu memainkan peranan penting dalam membantu Bayern Munich meraih kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut terutamanya sejak Hansi Flick mengambil alih pasukan pada November.

Bintang muda Kanada itu mendapat undian tertinggi daripada peminat, kelab dan pengulas sukan, mengatasi cabaran Erling Haaland sekalipun penyerang Borussia Dortmund itu sebelum ini telah dua kali mendapat anugerah ‘Rookie’ terbaik bulanan sejak berpindah dari Salzburg pada Januari.

Pemain-pemain lain yang tercalon dalam senarai akhir adalah penyerang Borussia Monchengladbach, Marcus Thuram, pertahanan Cologne, Ismail Jakobs dan pemain Schalke yang dipinjam dari Everton, Jonjoe Kenny.

Untuk layak dicalonkan sebagai ‘Rookie’, pemain tersebut mestilah berusia 23 tahun dan ke bawah semasa musim bermula dan pada musim lepas tidak pernah memulakan perlawanan sebagai kesebelasan utama serta tidak beraksi lebih dari 450 minit.

Davies merupakan pemain termuda yang membuat penampilan untuk skuad kebangsaan Kanada dan juga penjaring gol termuda untuk skuad negaranya apabila menjaringkan dua gol ketika kejohanan Piala Emas CONCACAF pada 2017.

Beliau tiba di Allianz Arena pada Januari 2019 selepas dibeli daripada kelab Major League Soccer (MLS), Vancouver Whitecaps pada Julai 2018 dengan harga yang dianggarkan kira-kira $22 juta (RM94 juta).

Davies yang pada asalnya adalah pemain sayap kiri telah ditukarkan peranan ke posisi lain terutamanya apabila pemain termahal Bundesliga, Lucas Hernandez mengalami kecederaan lutut.

Dengan David Alaba ditukar ke posisi pertahanan tengah, beliau diberi tanggungjawab untuk mengisi posisi pertahanan kiri dan berjaya menyesuaikan diri dengan posisi baharu itu dengan cepat.

Pada musim ini Davies telah menjaringkan tiga gol dan membuat sembilan bantuan jaringan dalam 40 perlawanan untuk semua pertandingan.

Kredit Foto: Bundesliga

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Alphonso Davies dan Bayern Munich:

Leave a Reply