Chelsea Cari Penjaga Gol Pula, Mendy & Areola Calon Pilihan

Edouard Mendy Alphonse Areola

Selepas mendapatkan tiga pemain pertahanan baharu, Chelsea kini berharap, Rennes sedia menjual penjaga golnya, Edouard Mendy selepas tawaran pertama bernilai €16 juta ditolak oleh kelab Perancis tersebut.

Frank Lampard sudah sekian lama mencari penjaga gol baharu selepas hilang kepercayaan kepada Kepa Arrizabalaga yang gagal memenuhi jangkaan yang diharapkan sebagai penjaga gol termahal dunia sepanjang dua musim di Stamford Bridge.

Kelab London tersebut sebelum ini pernah cuba untuk menggantikannya dengan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak, tetapi klausa pelepasan berjumlah £109 juta yang terdapat dalam kontraknya menyebabkan Chelsea terpaksa mencari alternatif lain.

Mereka telah pun berbelanja besar untuk beberapa pemain baharu di posisi lain dengan membawa masuk Timo Werner, Hakim Ziyech dan Ben Chilwell dan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan bernilai £90 juga bagi menandatangani Kai Havert dari Bayer Leverkusen. Sementara Malang Sarr dan Thiago Silva pula telah pun didapatkan secara percuma.

Bagaimanapun, Lampard dilaporkan bertegas tidak mahu Arrizabalaga berada dalam skuadnya dan mula memantau perkembangan Mendy sejak musim lepas. Selepas tawaran pertama ditolak, Chelsea dikatakan akan kembali dengan bidaan kedua yang lebih tinggi sekitar €20 juta.

Sebagai imbalan, Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia mungkin akan cuba menawarkan pemain pertahanan muda mereka, Fikayo Tomori untuk menyertai Rennes sebagai pinjaman.

Sekiranya usaha mendapatkan Mendy itu gagal, Chelsea mungkin akan beralih kepada penjaga gol lain sama ada Mike Maignan (Lille) atau Alphonse Areola (Paris Saint-Germain).

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Chelsea:

Leave a Reply