Immobile Sambung Kontrak Dengan Lazio Hingga 2025

Ciro Immobile Lazio

Harapan kelab-kelab besar Eropah untuk memancing penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile akhirnya terkubur selepas penyerang Lazio itu menandatangani lanjutan kontrak baharu selama lima tahun.

Penyerang antarabangsa Itali itu telah menyamai rekod milik Gonzalo Higuain pada musim 2015/65 dengan menjaringkan 36 gol liga pada musim lepas dan membantu Lazio menamatkan saingan di tangga keempat dan layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Malah jumlah jaringan tersebut membolehkan bekas penyerang Borussia Dortmund dan Sevilla itu menggondol anugerah Kasut Emas Eropah bagi musim 2019/20 mengatasi Robert Lewandowski yang menjaringkan 34 gol Bundesliga dan jauh mengatasi bintang utama Juventus, Cristiano Ronaldo dengan kelebihan lima gol.

Lazio mengesahkan berita gembira tersebut menerusi Twitter yang menjelaskan penyerang berusia 30 tahun itu telah menyambung kontraknya sehingga 2025 dan memungkinkannya untuk bersara di kelab Rome tersebut.

Immobile telah menjaringkan 103 gol dalam 142 untuk Lazio sejak menyertai pasukan tersebut pada 2016 dan dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab termasuk juara England, Liverpool dan Barcelona.

“Musim baharu ini kami akan beraksi di UCL dan menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan kami di Serie A. Saya sangat berpuas hati dengan empat tahun di bawah Simone Inzaghi dan walaupun pandemik baru-baru ini sedikit menjejaskan pasukan, kami berjaya kembali ke landasan terbaik,” ujarnya kepada Sky Sports.

“Sekarang kita berjaya ke saingan Eropah dan saya tahu tekanan untuk beraksi di kejohanan besar. Memang satu cabaran untuk bermain dalam tiga kejohanan, tetapi kami perlu berusaha untuk tidak sekadar menjadi pelengkap jadual di UCL. Kami ke sana untuk menang.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Ciro Immobile dan Lazio:

Leave a Reply