Perit ‘Dibuang’ Ketika Berusia 14 Tahun, Sukar Untuk Rice Kembali Ke Chelsea

Declan Rice Chelsea

West Ham United dilaporkan telah menolak tawaran £50 juta dari Chelsea untuk mendapatkan pemain tengahnya, Declan Rice dan menegaskan pemain penting itu tak akan dijual kepada mana-mana kelab.

Pemain berusia 21 tahun itu pernah meluangkan tujuh tahun di akademi Chelsea sebelum dilepaskan kelab London itu ketika berusia 14 tahun pada 2014. Beliau kemudian menyertai akademi West Ham United dan menandatangani kontrak profesionalnya hanya setahun selepas itu.

Musim ini Rice beraksi dalam setiap minit untuk semua 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kontraknya di West Ham hanya akan tamat pada 2024 dan mempunyai pilihan untuk sambungan setahun lagi. Ia jelas menunjukkan betapa pentingnya pemain ini buat The Hammers.

Mengenang memori ketika dilepaskan Chelsea, Rice mengakui beliau sangat terkejut dan ianya amat sukar untuk dilupakan. Menurutnya keputusan tersebut sangat mengganggu emosinya apatah lagi ketika itu beliau masih remaja.

“Saya dilepaskan oleh Chelsea ketika berusia 14 tahun. Saya masih ingat ianya dibuat pada malam Selasa. Pada hari Rabu saya jalani latihan bersama Fulham, hanya lima minit dari rumah saya, kemudian pada Khamis saya berlatih bersama West Ham pula.

“Selepas hanya satu sesi latihan di kedua-dua kelab, kedua-duanya mahukan saya. Ada juga minat dari kelab-kelab lain, tetapi saya mengambil keputusan untuk menyertai West Ham.

“Disebabkan itu saya perlu berpindah rumah, bertukar sekolah, ia satu keputusan yang besar dalam hidup saya dan ianya nyata berbaloi. Ia dapat mengubati keperitan ‘dibuang’ Chelsea ‘yang telah menghancurkan semangat saya.

“Pada saya, sebagai seorang remaja, itu sahaja yang saya tahu, tinggal 10 minit dari tempat latihan dan beraksi sebaik mungkin apabila diturunkan dalam perlawanan.

“Ini adalah satu tempat di mana anda perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik. Saya rasa beberapa pemain di Chelsea apabila melihat saya sekarang mungkin mereka akan katakan ‘wow! lihat Declan sangat hebat di West Ham.’.”

Walaupun lahir di England, Beliau layak mewakili Republik Ireland di peringkat remaja kerana datuknya berasal dari negara berkenaan dan beraksi di semua peringkat remaja sehingga pernah beraksi untuk skuad senior dalam perlawanan persahabatan.

Namun pada awal 2019, Rice mengambil keputusan untuk tidak mewakili Republic Ireland di peringkat senior dan membuat debut bersama skuad utama England pada Mac 2019 menentang Republik Czech. Pada September tahun yang sama, Rice mendedahkan pernah menerima ancaman bunuh disebabkan keputusannya itu.

“Untuk beraksi kali pertama di hadapan 80,000 penyokong [di Wembley] di samping keluarga dan teman wanita saya, saya gembira kami meraih kemenangan dan saya tak dapat gambarkan perasaan saya dengan kata-kata, tetapi ianya memang malam yang istimewa.”

Rice merupakan kawan rapat kepada, Mason Mount dan kedua-dua kembali beraksi bersama apabila pemain tengah Chelsea itu membuat debut bersama England pada September 2019.

“Kami memang saling mengenali antara satu sama lain sejak sekian lama dan selalu berborak mengenai kemungkinan untuk berpeluang beraksi dalam satu pasukan sekali lagi,” ujar Rice lagi.

“Ianya berlaku pada malam tersebut dan saya terus menuju ke arahnya dan berkata akhirnya kami kembali beraksi di atas padang bersama. Sukar untuk mempercayai betapa hebatnya perasaan dapat beraksi untuk negara kelahiran sendiri yang diimpikan sejak kecil.”

Jendela perpindahan musim panas akan dibuka selama 10 minggu bermula 27 Julai dan akan ditutup jam 11 malam pada 5 Oktober.

Kredit Foto: Daily Mail

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Declan Rice dan Chelsea:

Leave a Reply