unifi Liga Super 2019: 7 Perkara Daripada Aksi Minggu Perlawanan 1

1) Terengganu telah jumpa pengganti Faiz Nasir dengan adanya Sanjar Shaakhmedov

Salah satu kerisauan utama Terengganu menjelang musim Liga Super 2019 adalah apakah Sanjar Shaakhmedov mampu mengisi vakum kreativiti jentera tengah pasukan mereka selepas Faiz Nasir berhijrah ke Selangor.

Berdasarkan persembahan beberapa perlawanan pra-musim dan aksi pembukaan menentang PKNS pada Jumaat lepas, Sanjar menyerlah dan mampu membuatkan proses melupakan Faiz Nasir menjadi lebih mudah buat penyokong Terengganu.

Sanjar bukan sahaja kreatif, malah – seperti Faiz – beliau juga turut rajin membantu jentera tengah dan serangan. Link up play beliau dengan Kipre Tchetche juga bagus apabila sentiasa melihat untuk melakukan forward pass apabila mendapat bola. Meskipun diikat 1-1 oleh PKNS di halaman sendiri, Terengganu boleh bersikap optimis kerana permainan Sanjar pasti akan meningkat naik apabila semakin lama menyesuaikan diri.

2) Dickson Nwakaeme memutar kembali masa dengan aksi dominan dan 2 gol

Selepas menjadi bahan ketawa ironik penyokong kelab Ligue 1, Angers SCO, Dickson Nwakaeme kemudiannya mengambil cuti sabbatical selama setahun sebelum ‘pulang ke gagang’.

Dollah Salleh memperkenalkan Dickson Nwakaeme kepada para pemain. (FOTO: Pahang FA)

Penyerang kelahiran Nigeria ini tidak mengambil masa lama untuk mengumumkan kepulangannya di Liga Super apabila sudah menguji Sharbinee Allawee dengan satu rembatan berbisa seawal minit ke-15. Pertahanan Kuala Lumpur bergelut untuk menangani kekuatan fizikal dan kawalan bola kemas dari penyerang berusia 32 tahun ini.

Dua gol yang dijaringkan beliau – pertama melalui penyudah tajam hasil hantaran lintang Mohamadou Sumareh dari kanan, dan kedua hasil larian solo menewaskan 3 pemain lawan – adalah amaran awal kepada pertahanan tengah pasukan lain bahawa beliau tidak ‘karat’ walaupun sudah setahun tidak aktif bermain secara profesional.

3) Masih banyak yang perlu dilakukan oleh penyerang tempatan JDT

Melainkan Safawi Rasid, tiada penyerang tempatan lain yang mampu memberi sebab kukuh kepada Luis Figueroa (dan Benjamin Mora) untuk tidak menggugurkan nama mereka daripada kesebelasan utama.

Syafiq Ahmad diberi peluang premium oleh Figueroa ketika kemenangan 1-0 menentang Perak pada Sabtu lepas, tetapi masih tidak mampu melakukan apa-apa yang istimewa untuk menahan keinginan pengurus JDT itu untuk memasukkan Diogo Luis Santo pada lewat permainan.

Syafiq Ahmad gagal menghadirkan sebarang sebab untuk Luis Figueroa melupakan Diogo Luis Santo dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2019 menentang Perak (Foto: Johor Southern Tigers)

Akhyar Rashid yang berita perpindahannya mengundang pelbagai kontroversi turut mengaku masih banyak yang beliau perlu buktikan sebelum mendapat tempat kesebelasan utama JDT. Apatah lagi apabila beliau perlu bersaing dengan Gonzalo Cabrera yang menjaringkan gol tunggal menentang Perak dan pemain baru, Aaron Niguez – yang turut cemerlang. Ahmad Hazwan Bakri juga perlu berusaha keras jika mahu mengelak daripada diturunkan ke skuad JDT II.

4) Mehmet Durakovic masih tak tahu cara bermain tanpa target man

Jika ada satu perkara yang pasti tentang taktikal Mehmet Durakovic sebagai jurulatih, ia adalah – beliau sentiasa memerlukan target man yang bagus untuk menang. Fleksibiliti beliau sebagai jurulatih pernah diuji ketika mengurus Melbourne Victory; pasukan yang mempunyai penyerang bagus (Archie Thompson) tetapi bukan baka target man. Mehmet dipecat selepas hanya 6 bulan memegang jawatan tersebut.

Di Selangor, beliau menjuarai Piala Malaysia 2015 hasil persembahan cemerlang Guilherme de Paula pada malam perlawanan akhir. Di Perak, Gilmar adalah ayam tambatannya. Tanpa Gilmar, Mehmet dipaksa untuk berinovasi – dan secara jujurnya, itu bukanlah kekuatannya. Firdaus Saiyadi yang pernah bermain sebagai penyerang ketika bermain untuk skuad Piala Presiden Perak bergandingan dengan Wander Luiz dalam sistem 4-4-2/4-4-1-1 Mehmet ketika tewas kepada JDT pada Santu lepas. Perak gagal mencatat sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit.

5) Persembahan separuh masa kedua menonjolkan kelemahan Melaka United

Disebalik kemenangan 2-1 ke atas PJ City, Zainal Abidin Hassan mempunyai beberapa isu yang hanya kelihatan pada separuh masa kedua. Liridon Krasniqi, yang menjaringkan gol sepakan gunting pada minit ke-36 beberapa kali didapati bersalah memperlahankan tempo serangan Melaka dengan persembahan skil berlebihan beliau.

Safiq Rahim, walaupun nampak cergas, masih perlu cepat mencari persefahaman dengan bekas pemain Kedah itu. Pada separuh masa kedua, beberapa kali Safiq teragak-agak sama ada mahu memasuki kotak penalti lawan atau tidak apabila Liridon melakukan perkara sama.

Isu ini membuatkan Melaka terdedah dengan serangan balas pantas, apabila meninggalkan Darko Markovic berseorangan untuk melindungi jentera pertahanan di belakang beliau. Ini yang terjadi pada separuh masa kedua apabila bekas pemain Melaka, R. Barathkumar mudah membawa bola dari kanan ke tengah sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

6) Penyokong Kedah masih belum boleh ‘move on’ dengan perubahan falsafah

Ada petua dalam arena kejurulatihan bola sepak, bahawa jika seseorang jurulatih meragui dirinya dan mula mengikut cakap penyokong, beliau tidak boleh menjadi jurulatih lagi. Apatah lagi apabila anda mempunyai penyokong seperti penyokong Kedah. Ketika Tan Cheng Hoe, Ramon Marcote dan Nidzam Adzha mengurus Kedah, terdapat sebilangan penyokong yang mahukan bola digerakkan ke depan dengan transisi yang lebih laju.

Tetapi apabila Aidil Shahrin masuk, penyokong Kedah mahukan falsafah ‘tiki-taka’ mereka dikembalikan semula. Aidil dari awal-awal lagi sudah menjelaskan, sistem fast counter attacking football akan menjadi falsafah utamanya. “No more tiki taka,” tulis beliau dalam akaun Instagram peribadinya.

Aidil Sharin menegaskan beliau akan memperkenalkan falsafah bola sepaknya yang lebih direct, sekaligus meninggalkan era Kedah bermain hantaran pendek (Foto: Kedah FA)

Dan berdasarkan persembahan Kedah ketika kemenangan 2-0 ke atas PKNP tempohari, keraguan penyokong Kedah terhadap falsafah Aidil mungkin ada asasnya. Kedah bergelut untuk mencipta peluang dari permainan terbuka. Tak banyak percubaan tepat dan peluang terbuka dicipta Kedah – terutamanya pada separuh masa pertama. Taktikal Aidil ini memerlukan pemain Kedah berada pada tahap kesefahaman yang tinggi untuk menjadi. Apabila kesefahaman sudah tinggi, barulah kurang kebarangkalian Kedah untuk hilang bola melalui transisi laju ini.

7) Selangor masih ada isu di bek sisi

Pada musim lepas, Selangor menghadapi banyak masalah akibat kekurangan pemain berkualiti di bahagian bek sisi. Pelbagai pemain telah dicuba di posisi tersebut; K. Kannan, A. Namathevan, Amirul Ashraff, Razman Roslan dan Syukri Azman – tetapi semuanya tidak setanding kualiti Syahmi Safari.

Tidak dinafikan, majoriti pemain-pemain tersebut masih muda dan mempunyai ruang dan masa untuk memperbaiki kelemahan mereka. Tetapi dalam pada masa yang sama, Selangor masih memerlukan seorang bek sisi di kiri dan kanan yang berpengalaman dan bertaraf kesebelasan utama untuk bersaing secara kompetitif.

Pada musim ini, B. Sathianathan membawa masuk Azreen Zulkafali (kanan) dan K. Prabakaran (kiri) sebagai bek sisi utama beliau. Tetapi jika persembahan seri 1-1 menentang Felda United Ahad lepas menjadi ukuran, ternyata penyokong Selangor masih tidak boleh menarik nafas lega terhadap masalah bek sisi pasukan mereka. Azreen beberapa kali memberi ruang kepada Hadin Azman untuk bermaharajalela di sayap kiri – hingga membuatkan Michal Nguyen beberapa kali ditarik keluar dari posisinya. Prabakaran pula ketika dituntut untuk membuat hantaran lintang dari kiri, mensia-siakannya denga teknik kurang baik. Pada satu ketika, bek kiri Selangor itu turut membuat kesilapan (bersama Halim Saari) hingga membuahkan peluang kepada Sadam Hashim untuk meluru ke depan. Tetapi mujur beliau mempunyai kelajuan untuk menebus kesilapannya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN