Skill Cantik Nwakaeme, Jaringan Gunting Liridon Antara 5 Gol Tercantik Minggu 1 MSL 2019

Akhirnya minggu pertama unfi Liga Super Malaysia telah selesai, sekaligus menamatkan penantian penyokong-penyokong bola sepak tanah air yang rindukan saingan domestik. Enam perlawanan telah diadakan sepanjang hujung minggu yang lalu, membabitkan 12 pasukan. Daripada enam venue perlawanan diadakan, kita menyaksikan 14 jaringan telah dihasilkan.

Berikut adalah lima gol pilihan kami untuk gol tercantik minggu ini. Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

Saksikan jaringan-jaringan tersebut seperti di bawah.

5. Afiq Ahmad vs Pahang FA

Afiq Ahmad tampil di dalam perlawanan ini sebagai pemain gantian selepas dimasukkan oleh jurulatih, Yusri Che Lah sebelum babak kedua perlawanan dimulakan. Ketinggalan 1-0, petanda jelas Kuala Lumpur harus menyerang untuk cuba mendapatkan sesuatu dari perlawanan ini.

Afiq yang baru dimasukkan dengan tenang menyambar hantaran Indra Putra dari sebelah kanan dengan voli menarik untuk gol penyamaan Kuala Lumpur. Nampak mudah, namun jaringan sedemikian memerlukan teknik yang betul untuk memastikan percubaan tepat ke sasaran.

4. Hadin Azman vs Selangor FA

Ia bukan perlawanan yang mudah buat Felda United yang berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk berhadapan dengan Selangor dan juga bekas ketua jurulatih mereka pada musim lalu, B. Sathianathan. Ketinggalan 1-0 oleh jaringan Antonio German pada babak pertama, Felda jelas sekali enggan menyerlah kalah dengan beberapa siri percubaan dan gerakan yang mengancam kubu Selangor.

Jika ada cara terbaik untuk mengisahkan kegigihan itu, jaringan penyamaan oleh kapten pasukan, Hadin Azman mungkin adalah rumusan terbaik mengenai semangat melawan Felda. Konsisten dengan larian di sebelah kiri, Hadin berjaya menewaskan seorang pertahanan Selangor, sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut sukar ke arah near post untuk menewaskan Khairulazhan.

3. Dickson Nwakaeme vs Kuala Lumpur FA

Penampilan pertama Dickson Nwakaeme menjadi perhatian penyokong Pahang membabitkan pertemuan dengan Kuala Lumpur. Dua gol berjaya dijaringkan oleh pemain import dari Nigeria ini di Cheras. Ketika kedudukan 2-1 memihak kepada Pahang, Nwakeme terus mematikan sebarang cubaan oleh Kuala Lumpur untuk cuba bangkit mencari 1 mata melalui jaringan peribadi keduanya pada malam itu.

Memperolehi bola di luar kotak penalti, penyerang berusia 32 tahun ini melakukan pusingan badan yang mengelirukan pertahanan Kuala Lumpur yang membuat kawalan ke atas beliau. Ia diikuti oleh larian yang mengelirukan seorang lagi pemain pertahanan lawan sebelum turut menggelecek penjaga gol, untuk Nwakaeme mudah menolak masuk gol ketika untuk Pahang.

2. Gonzalo Cabrera vs Perak TBG

Selain daripada perlawanan liga dengan tiga mata sebagai taruhan, perlawanan membabitkan JDT dan Perak di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos menjadi tumpuan, disebabkan ia turut menjadi medan perebutan Piala Sumbangsih.

Akhirnya hanya satu jaringan memisahkan juara Liga Super dan juara Piala Malaysia musim lalu itu, untuk JDT mengekalkan trofi Piala Sultan Haji Ahad Shah di Larkin. Menentang Perak yang bertahan secara ultra dalam perlawanan ini, Gonzalo Cabrera tetap tenang melakukan locb cantik, menewaskan barisan pertahanan Perak dan penjaga gol untuk jaringan tunggal perlawanan.

1. Liridon Krasniqi vs Petaling Jaya FC

Liridon Krasniqi tidak perlu diperkenalkan lagi di kancah saingan Liga Malaysia- setelah tiga musim bersama Kedah FA. Pemain tengah ini bukan sahaja mempunyai perwatakan seperti seorang jeneral di bahagian tengah, namun turut mempunyai kepakaran menghasilkan jaringan dengan apa cara sekali pun.

Bersama pasukan barunya pada musim ini, Liridon mempunyai cara tersendiri untuk mengumumkan ketibaan dirinya di Melaka. Ketika kedudukan masih terikat 0-0 menentang pendatang baru Liga Super, Petaling Jaya FC, Liridon melakukan sepakan gunting selepas menerima hantaran rakan sepasukan untuk gol pertama Melaka United. Jaringan tersebut pasti akan membuatkan penyokong Melaka terus jatuh cinta dengan pemain ini.

Penutup

Apa pendapat anda mengenai minggu pertama saingan unifi Liga Super Malaysia pada musim ini? Anda mempunyai cadangan lain untuk jaringan yang perlu berada di dalam senarai kami?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN