‘Tidak Realistik’ – Southgate Jelaskan Haaland Bukan ‘Tercipta’ Untuk England

Erling Haaland Noway England

Pengendali England, Gareth Southgate menjelaskan mengapa panggilan untuk skuad The Three Lions tidak pernah realistik untuk bintang muda, Erling Haaland selama ini.

Semalam, pemain berusia 19 tahun itu menjadi penyelamat buat Borussia Dortmund menerusi gol tandukan tunggal untuk menewaskan Fortuna Dusseldorf 1-0 dalam aksi ke-31 Bundesliga – selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan lutut.

Untuk rekod setakat ini, Haaland telah meledak 11 gol dalam 12 penampilannya bersama BVB selepas menyertai kelab itu pada Januari lalu daripada kelab di Austria, Red Bull Salzburg. Beliau dilahirkan di England tetapi memilih bermain untuk Norway.

Lahir di Leeds, England

Beliau dilahirkan di Leeds ketika bapanya bermain di sana sebelum berhijrah ke Manchester City pada musim 2000. Mereka berada di England untuk tiga tahun sebelum kembali ke Noway untuk beraksi sebelum bersara akibat kecederaan.

Haaland dilahirkan pada 21 Julai 2000, beberapa hari sebelum bapanya, Alf-Inge Haaland berhijrah ke Manchester City. Dan pada April 2001, bapanya mengalami kecederaan serius selepas diterjah kapten Man United, Roy Keane dalam aksi liga.

Kecederaan itu yang telah mengganggu karier bapanya sebelum pulang ke Norway untuk bermain bersama kelab Divisyen 3, Rosseland BK. Secara teorinya, Haaland boleh memilih untuk bermain bersama England, tetapi ianya tidak pernah berlaku.

Adakah England tidak pernah memantau perkembangan kariernya? Adakah mereka tidak berminat dengan pemain seperti Haaland? Southgate akhirnya mendedahkan mengenai perkara ini yang mengapa Haaland bukan ditakdirkan untuk England.

Haaland lahir dari sistem bola sepak Norway

FIFA akan membenarkan jika Haaland mahu menukar kerakyatan untuk bermain bersama England di peringkat senior, walaupun bermain untuk skuad muda Norway. Namun, pada September lalu, beliau mengikut jejak ayahnya memilih Norway.

Southgate percaya yang disebabkan Haaland telah terikat dengan Norway sejak daripada skuad B-15, ia amatlah tidak realistik untuk England memancingnya bagi mewakili The Three Lions di peringkat senior walaupun dilahirkan di England.

“Jelas sekali, ketika di usia mudanya, beliau tidak berada di dalam radar saya, kerana ketika beliau memecah masuk ke skuad utama, beliau sudah berada dalam sistem bola sepak di Norway,” jelas Southgate yang dipetik berkata kepada Independent.

“Kami pernah memantau situasi sebegini, tetapi dengan beliau telah terikat bersama Norway sejak dari usia muda dan bagi saya pemain sepertinya, mereka sangat jelas mengenai hala tuju masa depan permainan mereka juga,” tambah Southgate lagi.

England ramai bakat muda

Portal talkSPORT pernah meletakkan Haaland sebagai pilihan kesebelasan alternatif skuad England untuk Euro 2020, jika beliau masih tidak membuat penampilan bersama Norway. Menurut mereka, ramai pemain muda berbakat boleh mewakili England.

Selain Haaland yang mengetepikan Harry Kane sebagai jentera utama The Three Lions – walaupun dua penampilannya bersama Norway masih tumpul, pemain Manchester United dan Scotland, Scott McTominay juga berada dalam senarai tersebut.

Selain mereka, pertahanan Wales, Ethan Ampadu yang dilahirkan di Exeter juga tersenarai. Selain Wales, beliau juga boleh memilih England, Republik Ireland atau Ghana sebagai pasukan seniornya, namun akhirnya memilih negara kelahiran ibunya.

Mereka ini bakal digandingkan bersama bakat muda England seperti Ben Chilwell yang kini menjadi sasaran utama perpindahan ke Chelsea, Trent Alexander-Arnold dan Jadon Sancho – sekiranya memilih untuk menyarung jersi England terlebih dahulu.

Ia satu cabaran baharu

Menurut Southgate lagi, dunia kini memiliki pemain-pemain yang akan memiliki lebih daripada satu kerakyatan dan ia merupakan satu bentuk cabaran baharu kepada mereka untuk mengekalkan pemain terbaik yang lahir dari sistem mereka.

Ini kerana, lebih 70 peratus pemain dalam pembangunan bola sepak di England memiliki lebih daripada satu kerakyatan dan mereka boleh memilih untuk bermain bersama negara lain di peringkat senior apabila mereka mendapat panggilan nanti.

Perkara yang sama sedang berlaku di Malaysia apabila secara tiba-tiba, pemain yang tidak pernah berada dalam sistem pembangunan bola sepak Malaysia, muncul dan sudi untuk menyarung jersi Harimau Malaya seperti beberapa kes tempohari.

“Ianya 100 peratus lebih kepada cabaran buat kami,” ujarnya yang merujuk kepada bagaimana untuk The FA mengekalkan pemain terbaik yang lahir dari sistem mereka untuk kekal setia bagi menabur bakti bersama England di masa akan datang.

KREDIT FEATURED IMAGE: DAILY MAIL

Baca lagi artikel lain mengenai Erling Haaland:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN