La Liga: Barcelona ‘Makan Besar’ Selepas Tiga Bulan ‘Puasa’

Lionel Messi menjaringkan satu gol dan menyumbang dua bantuan jaringan ketika Barcelona meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Real Mallorca pada Sabtu dalam penampilan pertama sejak liga ditangguhkan tiga bulan lalu ekoran pandemik yang menyerang seluruh dunia.

Pendahulu liga itu yang sudah lama ‘menahan lapar’ menggegarkan jaring lawan hanya selepas 66 saat perlawanan bermula dengan Arturo Vidal menanduk masuk hantaran lintang yang cukup sempurna dari Jordi Alba.

Mallorca memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan Takefusa Kubo tetapi dikecewakan dengan kecekapan penjaga gol, Marc Andre Ter-Stegen.

Pasukan perlawat menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-37 apabila Martin Braithwaite menjaringkan gol pertamanya untuk kelab tersebut sebelum Jordi Alba menyumbat gol ketiga pada minit ke-79 hasil hantaran kemas Messi.

Pada lewat permainan, Messi kemudian mencipta rekod untuk menjadi pemain pertama yang menjaringkan 20 gol dalam 12 musim La Liga berturut-turut dengan gol keempat pasukannya yang juga merupakan gol ke-25 beliau dalam semua pertandingan musim ini.

Luiz Suarez telah kembali beraksi dengan dimasukkan sebagai pemain gantian selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut enam bulan lalu, sementara rakan senegaranya, Ronald Araujo yang memulakan perlawanan di sampung Gerrard Pique turut menyerlah dengan membuat satu percubaan yang terkena tiang.

Kemenangan itu menyaksikan Barca melebarkan kelebihan mereka dengan pencabar terdekat Real Madrid dengan perbezaan lima mata. Real dijadualkan bertemu Aibar pada awal pagi esok.

“Kami menguasai perlawanan ini dan ianya satu persembahan yang hebat selepas tidak beraksi selama tiga bulan, Kami sekarang ada 10 lagi perlawanan yang wajib menang dan perlu bersedia untuknya,” kata penjaring gol, Alba.

Perlawanan itu turut dicemari dengan insiden seorang penyokong yang memakai jersi Argentina menyelinap masuk ke stadium dan menyerbu masuk ke dalam padang dan berlari ke arah Messi sebelum sempat dihalang oleh pengawal keselamatan.

Dalam perlawanan seterusnya, Barcelona akan berdepan dengan Leganes pada 17 Jun ini di gelanggang sendiri.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Barcelona:

Leave a Reply