Bundesliga: Goretzka, Zirkzee Bawa Bayern Hanya Selangkah Dari Kejuaraan

Bayern Zirkzee Goretzka

Bayern Munich kini hanya selangkah sahaja lagi untuk muncul juara Bundesliga selepas gol Leon Goretzka pada lewat permainan membantu Bayern Munich meraih kemenangan 2-1 ke atas Borussia Monchengladbach di Allianz Arena pada awal pagi tadi.

Pendahulu Bundesliga itu kini hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut ketika saingan liga berbaki tiga perlawanan.

Pencabar terdekat mereka, Borussia Dortmund turut berjaya mengutip tiga mata penuh selepas berjaya menumpaskan Fortuna Dusseldorf dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan minit akhir oleh penyerang muda sensasinya, Erling Haaland.

Dengan ketiadaan dua ayam tambatan, Robert Lewandowski dan Thomas Muller yang digantung satu perlawanan selepas mengutip lima kad kuning, Hansi Flick menyenaraikan penyerang muda, Joshua Zirkzee dan pemain tengah Perancis, Michael Cuisance.

Dalam usahanya untuk meraih 10 kemenangan berturut-turut, Flick turut merehatkan Kingsley Coman dan Alphonse Davies dan memberi peluang kepada Ivan Perisic dan Lucas Hernandez untuk membarisi kesebelasan utama pasukan.

Borussia Monchengladbach terlebih dahulu ‘menyentak’ pasukan tuan rumah dengan menjaringkan gol seawal minit ke-16 selepas lorongan cantik pemain gantian, Breel Embolo kepada Jonas Hofmann yang berdepan dengan situasi satu lawan satu dengan Manuel Neuer disudahkan dengan sempurna.

Bagaimanapun, apabila membuat semakan menerusi VAR, gol tersebut dibatalkan selepas Hofmann didapati berada pada kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran.

10 minit kemudian, akibat kesilapan penjaga gol, Yann Sommer yang gagal membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukannya telah membawa padah apabila Zirkzee berjaya memintas dan terus merembat ke arah gawang gol yang sudah ternganga. Ianya merupakan gol keempat penyerang berusia 19 tahun itu pada musim ini.

Gladbach yang tenang bertahan dan mengatur serangan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 apabila usaha Benjamin Pavard untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya gagal selepas tertampan hantaran lintang Patrick Hermann ke dalam gawang pasukannya sendiri.

Bagaimanapun, pertahanan Perancis itu berjaya menebus kesilapannya pada hujung perlawanan apabila hantaran lintangnya berjaya ditolak masuk Goretzka menewaskan Sommer yang sebelum itu berjaya menyelamatkan beberapa percubaan sepanjang perlawanan.

Percaturan Flick dengan memasukkan dua pemain pentingnya, Coman dan Davies ternyata berhasil dalam mengubah corak permainan pasukan pada hujung perlawanan sehingga berjaya menghasilkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat perlawanan.

Bayern yang telah mengumpul 73 mata, tujuh mata mengatasi Dortmund berpeluang untuk menjulang kejuaraan liga pada Selasa ini dalam kunjungan mereka ke Werder Bremen yang sedang bergelut di zon penyingkiran.

Borussia Monchengladbach yang sedang berusaha memburu slot ke kejohanan Eropah musim depan kekal di tangga keempat dengan 56 mata.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Bayern Munich dan Bundesliga:

https://semuanyabola.com/analisis-transformasi-taktikal-bayern-munich-bawah-flick/

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN