Mahukan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan adalah punca mengapa khidmat pengendali, Zainal Abidin Hassan tidak disambung untuk saingan Liga Malaysia 2022 dan adakah ia satu yang realistik buat mereka?
Akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim bersuara mengenai pengguguran pengendali Zainal Abidin Hassan dan digantikan dengan pengendali dari Bosnia Herzegovina, Risto Vidakovic.
Sebelum ini dikhabarkan oleh bekas pemain, Razman Roslan mengenai bagaimana perasaan pemain apabila kontrak pengendali itu tidak disambung. Ini kerana, menurutnya, para pemain diyakinkan Zainal Abidin kekal.
Risto Vidakovic Ambil Alih Melaka United Disaat ‘Solidariti’ Pemain Bersama Zainal Abidin
Ujarnya, “Saya pun tidak pasti apa keputusan daripada pihak pengurusan tetapi apa yang pasti, kebanyakan pemain yang menyambung kontrak [sebab] difahamkan bahawa Zainal masih lagi akan menjadi jurulatih.”
“Jadi, ia menjadi sebab ramai pemain menolak banyak tawaran pasukan lain untuk bersama Melaka United.
“Bagi saya, tiada masalah sebenarnya kerana sejujurnya, saya tidak lagi mahu bermain bola sepak musim ini. Cuma kasihan kepada pemain lain yang menolak tawaran daripada pasukan lain selepas mendapat tahu bahawa Zainal masih akan disambung kontrak,” ungkap pemain yang telah bersama pasukan sejak 2019.
Sasaran satu piala buat Melaka United terpaksa lepaskan Zainal Abidin | Stadium Astro https://t.co/GhjJpe6Jh7
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 28, 2022
Selepas itu timbul pula kontroversi apabila bekas pasukan Risto Vidakovic, Borneo FC menerusi Presidennya, Nabil Husein dipetik berkata yang pengendali berusia 53 tahun itu berlaku tidak jujur ketika tinggalkan mereka.
Justin Lim berkata kepada Astro Arena mengenai pelantikan pengendali itu disebabkan mereka mahu mengejar trofi kejuaraan. Begitupun, beliau tetap berterima kasih atas khidmat bakti Zainal Abidin selama tiga musim.
“Saya menghargai dan berterima kasih kepada Zainal Abidin atas apa yang dilakukannya sepanjang tiga tahun lepas termasuk membawa kami ke separuh akhir [Piala Malaysia 2021], tetapi sekali lagi, separuh akhir tidak memberikan anda trofi,” ungkap Justin Lim kepada wartawan Astro Arena dalam satu temu bual khas.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
“Kami pada awalnya menyenaraikan Zainal dalam perancangan kami tetapi selepas beberapa pertimbangan, saya telah membuat keputusan bahawa kami memerlukan perubahan drastik untuk mencuba membawa pulang beberapa piala buat Melaka United,” tambahnya lagi yang kini merupakan pemilik Melaka United.
“Itulah sebabnya kami terpaksa memilih haluan berbeza dengan Zainal tetapi kami mendoakan yang terbaik buat masa depannya. Saya tidak mahu membandingkan mereka berdua tetapi bagi saya, sudah tiga tahun Melaka United tidak dapat memenangi sebarang piala,” jelasnya lanjut lagi mengenai perkara tersebut.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Hang Tuah memenangi kejuaraan adalah pada 2016, menjulang trofi Liga Premier, setahun selepas menjulang kejuaraan Liga FAM – kedua-duanya dibawah kendalian Mat Zan Mat Aris.
Pencapaian terbaik mereka dalam beberapa musim kebelakangan ini adalah separuh akhir Piala Malaysia 2021 apabila mara ke separuh akhir dan ia juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 38 tahun pasukan.
Adakah Risto Vidakovic mampu hadiahkan piala ‘segera’ kepada pasukan? Apa yang dirisaukan adalah bak kata pepatah, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’. Bercakap secara realistik, agak sukar buat Melaka United untuk menjulang sebarang kejuaraan, namun dalam bola sepak, orang kata segalanya tak mustahil.