Mengikut kalendar lunar kaum Cina, tahun ini merupakan tahun Harimau yang melambangkan kekuatan dan keberanian, serta diharapkan akan ada sinar gemilang buat skuad Harimau Malaya di hujung terowong ‘gelap’.
Pelbagai kontroversi dan kisah duka dilalui skuad kebangsaan saat ini selepas aksi tidak menjadi di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 diikuti kegagalan di saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura.
Selamat Tahun Baru Cina 2022
FAM mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada yang menyambutnya, terutama buat penyokong bola sepak negara.
Semoga tahun Harimau ini membawa keamanan, kemakmuran dan kejayaan kepada semua.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/BApNrn4ciB
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) January 31, 2022
Kemudian kita dihidangkan dengan peletakkan jawatan Tan Cheng Hoe yang telah membawa sinar ‘sementara’ kepada permainan skuad kebangsaan terutamanya pada penghujung 2019 dengan aksi yang memukau.
Penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat punca kegagalan skuad negara di Piala AFF menambah luka kepada segalanya. Ia sesuatu yang kita tidak mahu saksikan berlaku dalam skuad kebangsaan kita saat ini. Ini kerana, Malaysia dalam fasa penting untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara merit. Namun, ia berlaku.
Diharapkan dengan sambutan Tahun Baru Cina esok dan bermulanya tahun Harimau, diharapkan ia juga akan memberikan sinar baharu buat skuad Harimau Malaya yang bakal dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan. Selain dikenali sebagai Taegeuk Warriors, pasukan bola sepak mereka juga dikenali sebagai Tigers of Asia.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Kim Pan-gon, jurulatih kelahiran Korea Selatan sah dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya yang baharu pada 21 Januari lalu dengan kontrak dua tahun. Beliau juga didatangkan bersama empat pembantu jurulatih dan turut akan dibantu oleh seorang jurulatih tempatan yang akan dipilihnya sebaik sahaja tiba nanti.
Beliau dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu, sebelum kembali ke Korea Selatan untuk mengetuai jawatankuasa khas Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) yang bertanggungjawab untuk melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.
Pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 akan bermula pada Jun tahun ini dan itu merupakan tugasan besar pertama Pan-gon selepas dilantik. Walaupun tiada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan kepadanya, namun, ia adalah impian sejak awal skuad kebangsaan untuk layak ke saingan Piala Asia 2023 secara merit.
Selain itu, tahun 2022 juga adalah tahun yang sibuk buat skuad muda negara yang bakal terlibat dalam Piala AFF B-23 dan Piala Asia B-23. Diharapkan akan ada khabar gembira daripada skuad kendalian Brad Maloney.
Selamat menyambut Tahun Baru Cina kami ucapkan kepada semua pembaca kami dari masyarakat Cina, dan selamat bercuti buat yang lain. Semoga Harimau Malaya akan mengambil semangat tahun Harimau untuk menghadapi cabaran mendatang bermula dengan saingan Piala AFF B-23, yang berlangsung Februari ini.