Pemain sayap menyerang skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh menyatakan dalam sesi soal jawab bersama peminatnya di Instagram semalam yang golnya ketika menentang Thailand adalah jaringan kegemarannya bersama skuad negara.
Gol tersebut merupakan jaringan terkininya daripada enam golnya bersama Harimau Malaya selepas membuat 19 penampilan. Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Turun berdepan pendahulu kumpulan bukanlah tugasan mudah buat anak didik Tan Cheng Hoe, ditambah pula selepas tewas dua kali berturut-turut kepada UAE dan Vietnam, namun ia bukanlah penghalang untuk mereka memburu tiga mata.
Sangat mudah mengapa gol tersebut menjadi pilihannya. Ini kerana, ia dijaringkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di hadapan ribuan penyokong Harimau Malaya dan ia berhasil memberikan tiga mata penting selepas dua kekalahan berturut-turut.
Ledakan padu di minit ke-56 itu sudah cukup buat skuad negara untuk memenangi aksi ke-4 kumpulan, sebelum menang pula 2-0 ke atas Indonesia dalam aksi kelima untuk melonjak Malaysia ke kedudukan ke-2 kumpulan di belakang Vietnam.
Selain itu, dalam sesi soal jawab itu juga, Sumareh telah diajukan soalan mengenai pertahanan paling sukar yang pernah dihadapinya di Liga Malaysia, dan beliau telah memilih dua orang rakan di skuad kebangsaan, Shahrul Saad dan Corbin Ong.
Disamping itu, pemain berusia 25 tahun itu juga tampil menyatakan yang beliau sudah tidak sabar untuk berganding bahu bersama pemain naturalisasi terbaharu skuad negara, Liridon Krasniqi yang baginya adalah seorang pemain yang bagus.
Selepas berjaya mendapatkan khidmat Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama dan tampil untuk kaps pertama pada Oktober 2018, kini tiba giliran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi pula membuat kemunculannya.
Bercakap mengenai pemain yang memiliki teknik sepakan percuma yang lebih baik, pemain utama Pahang itu memilih rakan sepasukannya di skuad kebangsaan ketika ini, Safawi Rasid, berbanding bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim.
Ketika ditanyakan mengenai bekas kaptennya di Pahang, Matthew Davies, Sumareh jelas tidak menyembunyikan perasaannya apabila menyatakan yang beliau merindui rakan baiknya itu yang secara mengejut telah memilih untuk berhijrah ke JDT.
KREDIT FEATURED IMAGE: ASTRO ARENA