Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia: Malaysia Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Thailand

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Thailand adalah pada pentas final Piala AFF 2014, menang 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil hasil dua jaringan Safiq Rahim dan Indra Putra Mahyuddin. Dan kini, giliran skuad Tan Cheng Hoe pula mengejutkan mereka.

Dalam aksi keempat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sebentar tadi, Malaysia menang 2-1 ke atas pendahulu Kumpulan G, Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil hasil jaringan Brendan Gan di babak pertama dan Mohamadou Sumareh di babak kedua.

Babak pertama menyaksikan Thailand terlebih dahulu menguasai permainan sebelum gol Brendan Gan pada minit ke-26 kembali melonjak semangat para pemain Harimau Malaya dan Gajah Perang disenyapkan sehingga babak pertama berakhir.

Thailand berhasil meledak gol seawal minit ke-7 apabila Chanathip Songkrasin yang tidak dikawal, mudah menewaskan Khairulazhan Khalid di gawang selepas menerima hantaran rendah pemain muda meningkat naik, Ekanit Panya menerusi sayap kanan.

Thailand dilihat banyak menggunakan Ekanit Panya di koridor kanan untuk mula mengatur asakan ke kubu Malaysia namun, gol ke-8 peribadi pemain kelab J1 League, Consadole Sapporo itu sedikit mengejutkan skuad kebangsaan yang dilihat tidak bersedia.

Minit ke-11, Malaysia cuba bangkit mengasak menerusi gerakan dan hantaran lolos oleh Mohamadou Sumareh ke kawasan lawan dan disudahkan dengan percubaan leret Syafiq Ahmad namun, mudah buat penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen.

Syafiq Ahmad Manuel Malaysia Thailand

FOTO: FAM

Brendan Gan menyamakan kedudukan buat Harimau Malaya pada minit ke-26 selepas menerima hantaran ke belakang oleh Syamer Kutty Abba yang terlepas di sayap kiri, menewaskan penjaga gol Thailand untuk gol pertamanya di peringkat antarabangsa.

Gandingan baharu di pertahanan tengah, Elias Dollah dan Manuel Bihr dilihat sedikit bergelut untuk membendung asakan Malaysia. Kedua-duanya baru membuat beberapa penampilan bersama skuad kebangsaan Thailand – iaitu kurang 10 penampilan.

Malaysia meningkatkan intensiti asakan ke kubu pelawat selepas gol tersebut namun ianya gagal disudahkan dengan percubaan lebih baik oleh jentera serangan antaranya percubaan melewati palang oleh Safawi Rasid pada penghujung babak pertama.

Gajah Perang seakan-akan tersentak dengan gol pemain kacukan Malaysia-Australia tersebut apabila semakin gagal mengawal aksi permainan yang pada peringkat awal yang dikuasai mereka. Ekanit Panya yang bebas bergerak sebelum ini juga dilihat dikunci ketat pergerakannya oleh pertahanan kiri tuan rumah, Corbin Ong.

Malaysia meneruskan tempo asakan apabila menekan Thailand sejak babak kedua bermula. Malaysia hadir menerusi tandukan tersasar Corbin Ong, selepas menerima sepakan penjuru yang diambil oleh Safawi Rasid pada minit ke-48, sebelum rembatan deras bek kanan, Syahmi Safari dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Siwarak Tedsungnoen dua minit kemudian.

Minit ke-51, Khairulazhan Khalid menyelamatkan percubaan deras Ekanit Panya. Thailand cuba untuk kembali ke dalam permainan dengan Akira Nishino membuat pertukaran awal memasukkan pemain yang sedang diintai FC Tokyo, Sivakorn Tiatrakul.

Brendan Gan Malaysia Thailand

FOTO: FAM

Penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen tertewas lagi pada minit ke-57 selepas lambungan kemas Brendan Gan disambut dengan rembatan deras Mohamadou Sumareh di depannya. Itu merupakan jaringan ke-6 peribadinya buat Harimau Malaya.

Gerakkan menarik Safawi Rasid di sebelah kanan gol menewaskan bek kanan, Tristan Do sebelum percubaan derasnya diselamatkan oleh Siwarak Tedsungnoen pada minit ke-73, diikuti oleh sepakan percumanya tiga minit kemudian, ditepis kapten Thailand itu.

Gajah Perang mula mengubah corak permainan malah banyak melakukan percubaan jarak jauh ke gawang Harimau Malaya antaranya percubaan deras pemain tengah, Supachok Sarachat pada minit ke-81 namun, Khairulazhan Khalid menepisnya.

Beberapa pertukaran pemain yang dilakukan oleh Akira Nishino gagal menambah sengat dan Malaysia hampir menambah gol menerusi rembatan Brendan Gan pada minit ke-88, namun ianya sedikit tersasar ke sisi kiri gawang Siwarak Tedsungnoen.

Malaysia berjaya menewaskan Thailand dan meraih tiga mata penting pada malam ini untuk mengumpul enam mata daripada dua kemenangan iaitu ke atas Indonesia dan Thailand.

Kredit Featured Image: FAM