Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Daripada Paksa Safawi Rasid Beraksi Di Bukan Posisinya, Apa Kata Sumareh Pula Berkorban?

Calon pemain tengah terbaik, Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019, Mohamadou Sumareh memang sukar digugat untuk posisi sayap menyerang kanan. Ia seakan-akan sudah menjadi milik kekalnya sejak penampilan pertamanya pada 12 Oktober 2018.

Dan ini telah memaksa Safawi Rasid beralih ke sayap kiri yang jelas bukan dominan buat dirinya. Untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi bergerak dari koridor kanan dan berhasil meledak 11 gol dalam saingan Piala Malaysia seterusnya dinobat selaku penjaring terbanyak kejohanan antara yang tertua di Asia itu.

Perlu atau tidak Tan Cheng Hoe mengubah posisi Sumareh bagi  membantu menghidupkan permainan dan sentuhan Safawi?

Daripada memaksa Safawi beralih posisi, apa kata Sumareh pula memudahkan Safawi untuk mendapatkan prestasi sebenarnya.

Sentuhan Safawi Rasid kembali

Mohamadou Sumareh tidak diturunkan dalam aksi pemanas badan menentang Tajikistan pada 9 November lalu. Bek sayap, Syahmi Safari terlebih dahulu telah diberikan ruang untuk mengisi posisi tersebut sebelum Safawi Rasid dimasukkan pada minit ke-62.

Safawi Rasid Malaysia Tajikistan

FOTO: FAM

Pemain Paling Bernilai pada ABK 2018 itu hanya memerlukan 10 minit untuk meledak gol pembukaan dan kemenangan skuad kebangsaan menentang pasukan ranking ke-116 dunia itu.

Kali terakhir Safawi menjaringkan gol adalah pada Jun lalu, ketika Harimau Malaya membelasah Timor Leste 7-1 di Bukit Jalil.

Walaupun hanya satu jaringan dihasilkan pada perlawanan itu, namun beberapa gerakannya di posisi tersebut nyata lebih berbahaya berbanding ketika di posisi kiri. Manakan tidak, itu adalah posisi kegemarannya ketika menyusup masuk ke kotak penalti lawan – sebagaimana ketika beraksi bersama JDT.

Mungkin hanya ketika pemain naturalisasi tersebut cedera atau digantung dalam satu-satu perlawanan, baru Safawi boleh merampas dan mendapatkan semula posisi terbaiknya itu?

Prestasi di AFF Suzuki 2018

Dalam Piala AFF Suzuki 2018, Safawi Rasid hanya berjaya meledak satu gol sepanjang kejohanan walaupun berjaya meledak 16 gol sepanjang musim tersebut bersama JDT. Banyak pihak tertanya-tanya, adakah perubahan posisi ke sayap kiri merencatkannya?

Foto: Kosmo

 

Namun, pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan yang perubahan posisi tidak menjejaskan sentuhannya. Mengakui sudah lama tidak beraksi di sayap kiri, Safawi dipetik berkata yang ia bukan masalah buatnya kerana pertukaran posisi dari kiri dan kanan dengan Mohamadou Sumareh kerap berlaku sepanjang perlawanan.

Dalam saingan AFF 2018 itu, Norshahrul Idlan Talaha telah menjadi penjaring terbanyak skuad kebangsaan dengan lima gol diikuti oleh Zaquan Adha dengan tiga gol. Syahmi Safari, Shahrul Saad dan Safawi berkongsi rekod dengan hanya satu jaringan.

Untuk rekod sepanjang 25 penampilan bersama Harimau Malaya, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu telah mencetak lapan gol antarabangsa berbanding Sumareh yang telah meledak lima gol peribadi dalam 17 penampilannya bersama skuad negara.

Siapa Safawi Rasid bagi Benjamin Mora?

“Dalam sesi latihan kami sentiasa menasihatinya untuk tampil lebih agresif dalam situasi dimana dia membuat cut-inside dari bahagian sayap. Jika jarak dengan gol lebih kurang 1 atau 1.5 meter, dia boleh membuat rembatan kerana dia ada kekuatan untuk itu,” ulas Benjamin Mora selepas aksi menentang PJ City FC pada Ogos.

Safawi

JDT membangunkan pemain yang bakatnya dikesan oleh bekas pengendali T-Team, Rahmad Darmawan itu dengan baik dan teliti. Dan kekuatan pemain tersebut di kanan wajib dimanfaatkan oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe ketika ini.

Jika perlu merubah Mohamadou Sumareh, Tan Cheng Hoe harus memikirkan posisi lain yang sesuai buatnya. Adakah sayap kiri atau di jentera serangan untuk bergandingan bersama penyerang?

Mohamadou Sumareh sebagai penyerang

Dalam aksi pemanas badan ‘rahsia’ menentang Maldives baru-baru ini, Tan Cheng Hoe telah memberi peluang kepada Mohamadou Sumareh untuk bergandingan bersama Norshahrul Idlan Talaha di jentera serangan – namun tiada jaringan daripada kedua-duanya.

Sebenarnya posisi tersebut tidaklah terlalu asing buatnya. Bersama Pahang, pemain naturalisasi pertama negara itu pernah diletakkan sebagai penyerang utama dan menariknya berhasil meledak gol.

Jaringannya menjadi penyelamat Tok Gajah pada Julai lalu untuk mengikat Terengganu FC dalam kempen Liga Super. Ketiadaan Dickson Nwakaeme dan Norshahrul memaksanya berpindah ke posisi serangan bergandingan bersama Lazarus Kaimbi.

Lazarus Kaimbi Matthew Davies Sumareh Pahang Melaka Piala Malaysia

FOTO: Pahang FA

Bekas jurulatih Perak, Datuk M. Karathu juga pernah meluahkan pada tahun lalu yang pengendali skuad kebangsaan perlu berani membuat rombakan posisi terutamanya yang melibatkan jentera serangan dan mencadangkan Sumareh sebagai calon utama.

“Kalau kita lihat, Sumareh boleh menguasai bola dengan baik, menggelecek lawan dengan kemahiran dan kepantasannya. Pada saya, lebih baik dia bermain di posisi Zaquan [Adha] sebagai penyerang tengah dan bukannya di bahagian tepi,” tuturnya.

Penutup

Ini hanya cadangan yang pada hemat penulis boleh membantu dalam memaksimumkan keupayaan Safawi Rasid dan membantu Harimau Malaya memburu enam mata maksimum di Bukit Jalil.

Dan, dengan hanya dua penyerang disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe dalam skuad 23 pemain kali ini iaitu penyerang meningkat naik, Syafiq Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha, Sumareh boleh diandaikan bakal dicuba sebagai ‘kejutan’ di posisi penyerang.

Tiada masalah untuk memulakan Norshahrul di bangku simpanan kerana Syafiq Ahmad sudah mula mempamerkan kemampuannya sebagai penggempur utama. Sumareh boleh dipindahkan ke posisi penyerang kedua atau pemain nombor 9, untuk membantunya.

 Kredit Featured Image: Afiq Ismail / Asiana.my