Sebab PJ City FC Utamakan Khidmat P. Maniam Untuk Musim Hadapan

p maniam selangor pj city 2021

PJ City akhirnya mengesahkan khabar angin mengenai perubahan pengendali kepada P. Maniam untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebelum ini, The Phoenix telah dikendalikan oleh K. Devan untuk tiga musim sejak musim 2018. Kini, penolongnya yang dibawa masuk pada musim lalu, P. Maniam telah sah akan membawa cabaran PJ City dan dikatakan bakal menggunakan sepenuhnya tenaga pemain tempatan sekiranya tiada keperluan untuk pemain import.

Oleh itu, semua pemain import musim ini termasuklah Washington Brandao, Elizeu dan Anawin Jujeen bakal ditamatkan kontrak mereka. Namun, sekiranya pihak pengurusan berkemampuan, mereka dikatakan akan mempertimbangkan pemain import.

Perkara ini disahkan oleh Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal di mana keutamaan mereka adalah untuk membolehkan pasukan bertahan disebalik pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia saat ini. Memetik kenyataannya kepada The Star, “Kami sentiasa mahu menambahbaik pasukan pada setiap musim.”

“Kami masih pasukan yang kecil tetapi jika boleh kami mahu menjadi pencabar kepada semua pasukan-pasukan besar di Liga M. Kami mendapat sokongan daripada pemilik pasukan, Datuk Seri Vijay Eswaran dan tentunya kami mahu membuatnya bangga,” jelas Subahan sambil menekan mereka sentiasa mahu buat yang terbaik.

Terdapat beberapa faktor mengenai pemilihan P. Maniam sebagai pengendali pasukan jika dilihat kepada jawapan Subahan. K. Devan sudah beberapa musim bersama pasukan dan tentu mereka mahukan sentuhan segar bagi saingan musim hadapan.

Menurut Subahan, pengendali berusia 52 tahun itu mempunyai kelayakan untuk menjadi pengendali pasukan. Katanya, “Kami telah menandatangani P. Maniam sebagai ketua jurulatih dengan kontrak setahun. Beliau adalah pembantu jurulatih pada musim lalu serta memiliki kelayakan untuk membawa pasukan.

Selain itu, P. Maniam dikatakan sangat sesuai membimbing pasukan yang bakal dibarisi majoritinya pemain muda selain berpengalaman mengendalikan Selangor. Sebagai bekas pengendali skuad B-16 negara, beliau sudah mahir dalam mengendali dan membentuk pemain-pemain muda yang merupakan projek masa depan pasukan.

Katanya, “Kami mahu membentuk pemain-pemain muda itu untuk kami dan tentunya untuk skuad kebangsaan,” jelas Subahan sambil menekankan yang tindakan ini akan mengurangkan beban kewangan pasukan terutamanya dari segi pembayaran gaji.

KREDIT FEATURED IMAGE: STADIUM ASTRO

Baca lagi artikel mengenai P. Maniam dan PJ City FC:

P. Maniam Dan Barisan Kejurulatihan Rakam Rasa Bangga Latih Skuad B-15

Cabaran Nazliazmi Setelah Selangor Ditinggalkan Dengan Sistem P.Maniam

Kalah 1-5 Kepada MISC-MIFA, Maniam Minta Penyokong Selangor Bertenang

Leave a Reply