Cabaran Nazliazmi Setelah Selangor Ditinggalkan Dengan Sistem P.Maniam

Seperti yang kita semua maklum, Selangor antara pasukan yang berhadapan dengan isu konsistensi musim ini. Mereka telah mengambil keputusan drastik merehatkan P. Maniam.

Kami percaya dengan kata-kata coach Sathianathan, di Malaysia, rehat itu bermaksud dipecat.

P. Maniam sebenarnya telah meninggalkan pasukan Selangor yang ada sistem permainan mereka sendiri.

P. Maniam ketika sesi latihan Selangor baru-baru ini. Foto: Facebook FA Selangor.

Walaupun P. Maniam kurang mendapat penghargaan di atas apa yang beliau lakukan kerana masalah dengan pemilihan pasukan, dan isu taktikal di dalam permainan.

Tetapi beliau sudah meninggalkan sistem bermainan bek bertiga ataupun bek berlima dalam pasukan Selangor. Secara asasnya, cabaran utama jurulatih baru Selangor adalah memilih sama ada:

1. Kekalkan sistem P. Maniam
2. Gunakan sistem permainan yang baru

Untuk mengekalkan sistem permainan yang sama dengan P. Maniam mungkin menjadi cabaran. Bahkan P. Maniam sendiri bermasalah untuk mendapatkan keputusan dengan sistem tersebut.

Isu rekrut pemain

Selangor kelihatan tidak berhati hati dalam ‘recruitement’ pemain yang sesuai dengan sistem mereka. Ataupun P. Maniam sendiri yang gagal mengenalpasti pemain yang sesuai dengan sistem berasaskan bek bertiga dan bek sayap.

Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Masalah ketara dalam pasukan Selangor sejak hari pertama mereka bermain bek bertiga adalah, mereka tidak ada sweeper yang benar-benar komprehensif di dalam permainan. Sweeper yang boleh bertindak sebagai libeiro.

Anda cuma perlu bayangkan peranan David Luiz ketika bersama dengan Chelsea pada musim 2016/17. Pemain yang boleh menjadi perancang di bahagian paling bawah.

Chelsea musim ini berhadapan dengan masalah yang jelas tanpa seorang Libeiro yang boleh menjadi perancang di belakang. Christensen masih dalam proses untuk dibangunkan.

Kami pernah menganalisis sistem 3-4-3 P. Maniam dalam artikel: Falsafah Taktikal Dan Fungsi Pivot Dalam 3-4-3 Selangor Berdasarkan Koridor & Zon

Kami ada menggariskan sistem ini agak direct dan memerlukan stamina yang sangat tinggi. Mereka memerlukan tipikal pemain no.9 yang boleh terlibat aktif dengan binaan serangan seperti Forkey Doe dan juga pemain box to box seperti Veenod pada prestasi terbaik beliau musim tersebut.

Musim lalu kemerosotan aksi pemain seperti S. Veenod ternyata memberikan impak kepada sistem permainan Selangor. Mujur mereka berjaya mendapatkan Juliano Mineiro.

Dengan kehilangan beberapa pemain penting untuk sistem termasuk pemain versatil seperti Andik dan gagal menggantikannya dengan pemain sesuai, Selangor berdepan dengan masalah untuk mengekalkan sistem ini.

Andik Vermansyah meraikan jaringan pertama Selangor menentang Pulau Pinang, musim lalu. Foto: FAS.

Masalah pembentukan pasukan untuk jangka pendek ini bukan baru dalam kem Selangor. Mujurlah pasukan ini sentiasa ada bakat muda yang berkualiti setiap musim. FAS perlu fikirkan projek jangka panjang, bukannya projek dengan manifesto ‘sasar 1 piala’ setiap musim.

Mencari pasukan utama

Jelas sekali Nazliazmi cuba membentuk pasukan yang berasaskan bek berempat setelah bertahun Selangor menjadikan bek bertiga sebagai formasi asas.

Oleh itu kami rasakan beliau sudah memilih corak permainan dan asas taktikal yang beliau mahukan.

Jadi, masa yang ada sekarang adalah paling genting untuk memilih pasukan utama ataupun best 11 dan best 18. Beliau kerana perlu memastikan para pemain memahami kehendak sistem beliau.

Sesi latihan pasukan Selangor. FOTO: FA Selangor

Dengan set pemain yang Selangor miliki musim ini, mereka memang perlu mencari keserasian di dalam pasukan dahulu termasuk di luar padang.

Pemain perlu memahami antara satu sama lain. Di England, ada jurulatih mengarahkan pemain tinggal bersama untuk beberapa minggu bagi membentuk semangat berpasukan ini.

Seterusnya, beliau perlu tegas dalam pemilihan pasukan utama. Beliau perlu mencari pemain yang beliau rasa boleh membawa sistem yang beliau mahukan tanpa mengira status pemain itu sudah lama, pemain import ataupun sebagainya.

4 perlawanan pertama beliau mengendalikan pasukan, menyaksikan Selangor menang 2 perlawanan pertama dengan 6 gol berbalas 1 dan tewas 2 perlawanan terakhir dengan 7 bolos tanpa gol.

Masalah paling ketara pasukan Selangor adalah pertahanan. Dalam liga mereka adalah pasukan yang paling bocor setakat ini. Tidak pasti sama ada mereka sedang bermain dengan zonal marking ataupun man-marking.

Gambar: Sukan Malaysia Online

Dalam perlawanan menentang K.Lumpur pada suku akhir kedua Piala FA 2018, Nazliazmi menurunkan ramai pemain muda. Mungkin selepas kelebihan 3 gol yang dibawa daripada perlawanan pertama.

Ia ternyata meletakkan kempen Piala FA mereka dalam risiko. Mujur mereka menang dalam perlawanan tersebut menerusi penentuan penalti. Oleh itu, isu pemilihan pasukan sangat penting.

Rumusan

Nazliazmi ada tugas yang mencabar untuk membentuk pasukan dan sistem permainan yang komprehensif. 2 perlawanan pertama, Selangor menunjukkan mereka boleh bermain dengan sangat baik.

Namun 2 perlawanan terakhir, mereka berhadapan dengan isu taktikal dan permainan berpasukan. Dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur ia lebih kepada isu pemilihan pasukan yang terlalu yakin dengan pendahuluan 3 gol.

Penggiliran pemain boleh dilakukan, tetapi untuk perlawanan genting dalam suku akhir, ianya perlu dinilai sebaik mungkin. Selangor menurunkan beberapa pemain yang tidak bersedia untuk perlawanan tersebut.

Tiada masalah memilih pemain muda, tetapi pastikan pemain-pemain itu benar benar bersedia.  Bak kata Jupp Heynckes, kejurulatihan Bayern Munich sentiasa memastikan pemain-pemain mereka bersedia setiap masa dengan tugasan pasukan utama.

 

Leave a Reply