Dollah Salleh ‘Angkat Kaki’, Diikuti Gopi Rizqi, Sharbinee dan Bunyamin?

Dollah Salleh

Selain Dollah Salleh, Pahang dikatakan bakal kehilangan tiga lagi khidmat pemain senior iaitu Gopi Rizqi, Sharbinee Allawee dan Bunyamin Omar.

Sebelum ini Pahang sudah kehilangan kapten, Dickson Nwakaeme yang memilih untuk mencari haluan baharu, selain dua pemain meningkat naik, Faisal Halim dan Nik Sharif Haseefy. Faisal Halim dikhabarkan sedang menimbangkan antara Terengganu FC atau Selangor, sementara Nik Sharif Haseefy sudah menyertai Selangor.

Seorang demi seorang tonggak Pahang nampaknya mula meninggalkan pasukan dan setakat ini yang sudah disahkan menyertai Tok Gajah adalah kapten Terengganu, Lee Tuck dan bekas penyerang Pulau Pinang musim 2019, Sergio Aguero.

Menurut maklumat wartawan Astro Arena, Gopi Rizqi, Sharbinee Allawee dan Bunyamin Omar tidak lagi akan bersama pasukan pada musim hadapan menjadikan mereka antara korban terbaru perubahan pasukan musim hadapan selepas dikhabarkan pihak pengurusan sedang giat mencari pengganti buat Dollah Salleh.

Pengendali berusia 57 tahun itu dilihat gagal membantu mereka untuk meraih kedudukan yang lebih baik apabila menamatkan musim di kedudukan ke-8 – terburuk di bawah kendaliannya sejak mula menyertai mereka pada musim 2017. Pada 2016, Pahang berada di kedudukan ke-9 liga, lebih buruk berbanding musim ini.

Boleh dikatakan dalam dua musim terkini, Pahang dilihat agak terkebelakang dalam isu persediaan musim baharu dan mungkin isu ini jugalah yang telah mengecewakan Dollah Salleh sehingga dikatakan memilih untuk tidak lagi bersama pasukan.

Namun, sedikit berbeza musim depan, walaupun beberapa tonggak meninggalkan pasukan, ada juga pemain dibawa masuk. Lee Tuck membawa aura semangat melawannya dan mungkin mampu membantu mereka bangkit, tetapi rekod Sergio Aguero di Liga Super sedikit merunsingkan walaupun cemerlang di Pulau Pinang.

Sementara itu, Gopi Rizqi dan Sharbinee Allawee antara pemain yang hanya bertahan semusim di kem Tok Gajah selepas menyertai pasukan musim ini, sementara Bunyamin Omar pula sudah berkhidmat tiga musim bersama mereka sejak 2018.

Hala tuju ketiga-tiga pemain tersebut masih belum diketahui dan siapakah pengganti kepada mereka juga belum dapat dipastikan. Adakah Pahang sekali lagi akan mempertaruhkan pemain-pemain muda untuk menggalas tugas menerajui pasukan bersama-sama beberapa tonggak lama sebagaimana Nik Sharif Haseefy lalui?

KREDIT FEATURED IMAGE: PAHANG FA

Baca artikel lain mengenai Pahang dan Dollah Salleh:

Sergio Aguero, Lee Tuck Sah Bergelar Pemain Import Baharu Pahang

Faisal Halim, Dickson Nwakaeme Sah Tidak Lagi Bersama Pahang

B. Satiananthan: Siapa Kata Pahang Tak Kuat?

Leave a Reply