Kalah 1-5 Kepada MISC-MIFA, Maniam Minta Penyokong Selangor Bertenang

Kelmarin pasukan Gergasi Merah dimalukan oleh pasukan dari liga premier, MISC-MIFA 1-5 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium USIM, Nilai.

“Bertenang..Itu cuma perlawanan persahabatan,” kata pengendali Selangor, P Maniam kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas tentang keputusan perlawanan itu.

Maniam ternyata tidak terkejut dengan keputusan itu memandangkan ianya hanya medan menguji kemampuan pemain mudanya menghadapi saingan Liga Malaysia 2018.

“Semalam (kelmarin), saya turunkan Amri Yahyah dan Rufino Segovia selebihnya pemain muda.

“Di sini sini saya dapat melihat kelemahan dan sejauh mana mereka (pemain muda) sudah bersedia.

“Jadi itulah yang bagusnya bila diadakan perlawanan pra musim seperti ini yang mana saya boleh dapat bayangan bahagian mana yang perlu kami perbaiki dan apa lagi yang kami perlukan.

“Soal keputusan sama ada menang atau kalah kita tidak boleh jadikan satu isu besar,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.

Maniam turut mengakui bahagian pertahanan menjadi masalah utama yang perlu diperbaiki oleh pasukannya.

“Musim ini kita tiada Ugo Ukah di barisan pertahanan tapi saya amat berharap dengan kehadiran pemain import Brazil, William Pacheco, dia mampu memperkuatkan barisan pertahanan kami agar kami tidak mudah dibolosi,” ujarnya.

Kesebelasan utama pasukan Selangor ketika menentang MISC-MIFA. FOTO: Selangor FA

Sementara itu, 2 pemain import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armayn diperkenalkan dan menyertai sesi latihan pasukan Selangor semalam.

Keserasian dengan pasukan dilihat menjadi aspek utama yang ditekankan oleh P Maniam ke atas dua pemain skuad bawah 23 tahun Indonesia itu.

“Saya mahukan mereka segera menyesuaikan diri dengan semua pemain lain, tetapi dengan kualiti yang dimiliki mereka selaku pemain profesional, saya percaya mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berada dalam pasukan baharu.

“Saya kira tempoh empat minggu ini sudah mencukupi untuk membentuk pasukan bagi mengharungi musim ini dan saya cukup berpuas hati dengan senarai semua pemain yang ada buat masa ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Maniam juga lega apabila konflik yang timbul melibatkan dua pemain itu sudah pun selesai dan dia dapat mengumpulkan pemain untuk membuat persiapan rapi sebelum saingan liga bermula.

“Saya lega apabila masalah yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara positif dan dengan adanya dua pemain ini, ia memudahkan kerja saya untuk membentuk pasukan.

“Saya juga sudah mempunyai perancangan taktikal untuk Evan dan Ilham dalam pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Leave a Reply