P. Maniam, K. Devan Kembali Bersatu Di PJ City

Selepas meraih beberapa kejayaan ketika memegang jawatan ketua jurulatih skuad bawah 15 (B-15) negara, P. Maniam dilaporkan meninggalkan posisi berkenaan dan memilih untuk kembali ke kancah Liga Malaysia (LIga-M) dengan menerima tawaran PJ City FC selaku penolong jurulatih.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Maniam kepada Stadium Astro dan turut menjelaskan K. Devan menjadi faktor utama kepada keputusannya itu.

Maniam sebelum ini pernah bergandingan dengan Devan di Selangor ketika mereka meraih kejuaraan Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2009 dan kemudian Liga Super pada 2010.

Beliau kemudian pernah dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor pada Disember 2016 namun hanya bertahan sehingga Mac 2018 apabila pasukan tersebut ‘merehatkannya’ dan digantikan dengan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

Kredit Foto: FA Selangor

Kini bersama skuad The Phoenix, P. Maniam sudah pun memasang impian untuk membawa pasukan itu mencatat keputusan terbaik dalam Liga Super.

“Kalau dilihat PJ City, sebagai jurulatih kami sememangnya mempunyai sasaran tetapi kami mahu lakukan yang terbaik. Mungkin dalam kelompok lima terbaik berbekalkan pemain yang ada,” katanya.

Tambah Maniam lagi, pengalaman melatih skuad B-15 kebangsaan tidak banyak yang boleh dimanfaatkan apabila sudah bersama PJ City kerana menurutnya dua pasukan tersebut berada pada tahap yang berbeza.

“Kami tidak boleh guna pendekatan sama seperti dalam skuad B-15. Ini adalah pemain profesional, jadi perlu bantu mereka dalam membuat keputusan. Motivasi perlu diberi dalam mempersiapkan diri menghadapi sesuatu perlawanan.”

Sepanjang bersama skuad B-15 negara, Maniam berjaya membawa pulang kejuaraan AFF B-15 yang berlangsung di Thailand pada Ogos tahun lepas. Selain itu mereka juga muncul juara Kejohanan Bolasepak Remaja Antarabangsa Haikou di China pada pada Julai selepas menundukkan Korea Utara di perlawanan akhir.

Namun mereka gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan AFC B-16 pada tahun ini.

Leave a Reply