Rahadiazli Impi Terbang ke Uzbekistan Bersama Skuad B-19

Rahadiazli Terengganu FC Perak Liga Super 2020

Penjaga gol muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim telah memasang impian untuk beraksi bersama skuad B-19 di Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Bagi membolehkan impiannya itu tercapai, beliau akan mempamerkan aksi terbaik di saingan Liga Super apabila ianya dibenarkan untuk kembali berlangsung – dijangka pada September depan, untuk memikat pengendali pasukan, Brad Maloney.

Rahadiazli – penjaga gawang berpotensi

Nama Rahadiazli mula mencuri tumpuan apabila diturunkan berdepan Perak pada 29 Februari lalu – Terengganu tewas 1-3 dalam aksi pembukaan CIMB Liga Super 2020. Namun, aksi tangkasnya di gawang mendapat pujian kedua-dua pengendali.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic dipetik berkata dalam sidang media selepas perlawanan, “Dia [Rahadiazli] masih muda dan penjaga gol yang bagus berdasarkan pemerhatian saya. [Dia] Tinggi dan kuat, saya cuma dapat memuji aksinya.”

Sementara pengendali yang memberikannya peluang untuk malam tersebut, Nafuzi Zain pula berbangga dengan penampilan sulung pemain muda itu. Dan, beliau sekali lagi diberikan peluang beraksi dalam saingan liga selepas itu berdepan Kedah.

Dalam aksi berdepan Kedah, sekali lagi beliau dimainkan dan aksi meyakinkan ditampilkannya biarpun bolos tiga gol sebelum Sang Penyu bangkit menundukkan juara Piala FA 2019 itu dengan keputusan 4-3 di Stadium Darul Aman pada 7 Mac.

Perlu bersaing dengan Firdaus Irman dan Sikh Izhan

“Saya akui bakal berdepan saingan hebat dengan calon penjaga gol lain, namun saya sudah bersedia untuk memperagakan aksi terbaik,” ujarnya kepada Harian Metro yang menjadikan penjaga gol Man United, David De Gea sebagai idolanya.

Beliau pernah dipanggil untuk latihan pusat ketika skuad tersebut di bawah kendalian Bojan Hodak dan sekali lagi di bawah Maloney, namun nasib tidak menyebelahinya apabila terpaksa menarik diri dua kali akibat masalah kecederaan lutut.

“Tapi musim ini saya tekad mahu rebut slot dalam skuad kebangsaan, lagipun ianya tahun terakhir saya menyertai kejohanan B-19 itu, selain saya mahu abadikan musim 2020 ini sebagai permulaan yang baik untuk melangkah ke depan,” tambahnya.

Rahadiazli dijangka akan berdepan cabaran hebat daripada penjaga gawang sedia ada seperti Firdaus Irman Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel yang juga tidak kurang hebatnya dan merupakan calon utama untuk posisi nombor satu skuad B-19 negara.

Bolehkah pemain ‘asing’ pecah masuk?

Jika Ilham Amirullah yang merupakan penjaga gol utama Terengganu FC pun berjaya disainginya, mungkin dua rakan sebayanya itu bukanlah masalah besar buat dirinya. Firdaus Irman bermain bersama Perak II, sementara Sikh Izhan bersama Selangor 2.

Menurut Nafuzi Zain sebelum ini, beliau mempunyai keyakinan dengan kemampuan Rahadiazli untuk menjadi penjaga gol nombor satu skuadnya dan sebagai langkah permulaan, peluang serta minit permainan harus diberikan kepadanya.

“Pemain akan bagus dengan minit perlawanan yang diperolehi. Kalau simpan sahaja, tidak akan meningkat,” tegasnya sambil berkata beliau berbangga dengan Rahadiazli.

Adakah Rahadiazli mampu memecah masuk ke skuad B-19 yang sudah dibentuk awal sebelum ini? Harus diingat, walaupun sudah tampil beraksi dalam saingan Liga Super, Rahadiazli boleh kita katakan masih ‘asing’ untuk skuad muda negara.

Penutup

Segalanya akan terjawab selepas Maloney memilih pemain untuk latihan pusat yang dijangka akan diumumkan nanti. Ketika ini, pihak pengurusan pasukan sedang memikirkan perancangan skuad tersebut untuk menghadapi kejohanan itu.

Kemungkinan latihan pusat perlu diadakan lebih awal untuk membolehkan pemain kembali mendapat rentak untuk bermain. Ini kerana sejak saingan liga tertangguh bermula pada 18 Mac, semua pemain hanya berlatih sendiri di rumah.

KREDIT FEATURED IMAGE: TERENGGANU FC

Baca lagi artikel mengenai Rahadiazli dan Malaysia B-19:

Leave a Reply