AFC B-19: Dua Negara ‘Arab’ Jadi Lawan Skuad Negara Di Uzbekistan

AFC B-19

Persoalan mengenai lawan yang bakal ditemui pasukan bawah 19 tahun (B-19) negara dalam kempen Kejuaraan AFC B-19 2020 terungkai apabila Qatar, Tajikistan dan Yemen telah diundi untuk bersama-sama skuad bimbingan Brad Maloney itu dalam kumpulan D.

Undian secara tertutup itu telah diadakan di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) House di Bukit Jalil, sebentar tadi.

Meskipun semua pihak pastinya yakin dengan kemampuan skuad muda negara, keupayaan dan cabaran yang bakal diberikan tiga pasukan tersebut juga tidak wajar dipandang enteng.

Sekiranya meninjau kepada pencapaian lalu, Qatar dilihat sebagai pencabar terkuat buat pasukan negara susulan kejayaan mereka menjuarai saingan 2014 selepas berjaya menundukkan DPR Korea 1-0 pada aksi final.

Edisi 2018 juga menyaksikan Qatar berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir tetapi langkah ke perlawanan akhir terhenti berikutan kekalahan 1-3 di tangan Korea Selatan.

Hadir dengan reputasi baik sudah cukup jelas bagi membuktikan Qatar bukanlah lawan mudah untuk dihadapi pemain Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Tajikistan juga bukanlah asing buat skuad B-19 negara kerana dua tahun lalu, kedua-dua pasukan turut diundi dalam satu kumpulan.

Malaysia sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 yang mana itu merupakan satu-satunya mata yang diraih skuad negara selepas tewas ketika bertemu Arab Saudi (juara bertahan) dan China. Sementara itu, Yemen pula kali terakhir beraksi di pentas ini adalah pada edisi 2016.

Malaysia layak ke pertandingan yang akan diadakan di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober ini selepas berjaya mengungguli kumpulan G (pusingan kelayakan).

Kredit featured image: FAM

Baca artikel lain dari kami mengenai Kejuaraan AFC B-19:

https://semuanyabola.com/kelayakan-afc-b-19-apakah-yang-diperlukan-oleh-malaysia-untuk-layak-ke-uzbekistan/

Leave a Reply