Jose Mourinho Kecam Sistem VAR Punca Pasukannya Tidak Menang

Jose Mourinho

Pengurus pasukan Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengecam tindakan sistem Video Assistant Referee (VAR) selepas perlawanan Premier League antara pasukannya dengan Manchester United.

Bercakap kepada Sky Sports selepas perlawanan, Mourinho berasakan yang pengadil Jon Moss serta VAR perlu memberikan kad kuning kepada Bruno Fernandes di penghujung perlawanan.

Di penghujung perlawanan, Fernandes dijatuhkan oleh Eric Dier dan Moss memberikan penalti kedua kepada Manchester United.

Namun begitu, keputusan itu ditarik balik tetapi apa yang membuatkan Mourinho berang adalah Moss tidak memberikan kad kuning kepada Fernandes kerana melakukan simulasi.

“Saya tidak berpuas hati dengan penalti yang pertama serta penalti yang kedua.”

“Saya tidak gembira dengan Video Assistant Referee. Pengadil boleh melakukan kesilapan dan memberikan penalti yang ‘murah’. Tetapi di sini, VAR boleh melakukan tugas mereka.”

Mourinho jelas kecewa kerana apayang berlaku memberikan masalah kepada pasukannya dalam misi untuk memasuki kelompok empat pasukan teratas.

Semuanya tampak baik-baik saja buat Tottenham Hotspur apabila mereka menjaringkan gol pendahuluan menerusi Steven Bergwijn pada separuh masa yang pertama.

Namun begitu di separuh masa kedua, Moss memberikan penalti selepas Paul Pogba dijatuhkan dan Fernandes dengan tanpa masalah mengatasi Hugo Lloris dari 12 meter.

“Dalam sepakan penalti kedua, saya tidak gembira kerana Moss tidak memberikan sepakan percuma kepada Serge Aurier. Lepas itu beliau berikan penalti yang murah kepada Manchester United, yang bukan pun penalti sebenarnya. Kemudian VAR memberikan kebenaran yang sebenar.”

“Saya sangat kecewa dengan keputusan ini. Tetapi nak buat macam mana.”

Baca juga artikel kami mengenai Jose Mourinho:

Leave a Reply