Pemain sayap Perak, Hafiz Ramdan berharap yang apabila Liga Super telah kembali bersambung, nasibnya bakal berubah dengan mendapat lebih banyak penampilan.
Sejak kembali ke Perak musim ini, Hafiz Ramdan masih belum mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan dan hanya akan dimasukkan oleh pengendali, Mehmed Durakovic untuk tempoh 10 hingga 20 minit menuju penghujung aksi.
‘Assist’ beri keyakinan
Namun, segalanya mungkin bakal berubah apabila dalam perlawanan terakhir sebelum liga ditangguhkan akibat korona, beliau telah menyumbang satu bantuan gol iaitu ketika Perak berjaya mengikat Sabah dengan keputusan 2-2 di Likas.
Ketika itu, Perak ketinggalan 1-2 dan beliau telah dimasukkan untuk menggantikan Thierry Bin pada minit ke-74. Hanya enam minit diperlukannya apabila kemudian, beliau membuat hantaran daripada sepakan percuma untuk gol penyamaan.
“Bantuan gol di minit ke-80 itu memberikan saya lebih keyakinan dan saya mahu teruskan momentum tersebut. Tetapi pandemik ini telah mengganggu,” ujar pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu dalam temuramah bersama portal The Star.
“Tiga bulan lalu adalah saat yang sukar buat saya kerana saya jenis yang suka berlatih bersama bola. Walaubagaimanapun, jika saya mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan, saya perlu berada pada tahap terbaik,” tambahnya lagi.
Sudah serasi dengan Shahrel Fikri
Sebagaimana yang semua maklum, Shahrel Fikri sudah mendapat tempat di hati Mehmed Durakovic dan sebagai bekas rakan sepasukan ketika di PKNP FC, pemain yang mesra dipanggil Kancil itu sudah sangat mengenali permainannya.
Malah, hantaran yang dilakukannya itu telah disudahkan oleh Shahrel Fikri untuk gol penyamaan Perak pada malam tersebut – untuk meneruskan rentak tanpa kalah mereka untuk empat perlawanan dan kini berada di kedudukan kedua liga.
Walaupun hanya semusim bermain bersama, kedua-duanya yang merupakan kapten skuad yang kini dikenali sebagai Perak II itu sudah tentu memiliki kombinasi yang baik terutama sekali ketika membantu PKNP FC meraih promosi ke Liga Super 2018.
Kini, Hafiz Ramdan perlu menewaskan Careca itu posisi tersebut yang pastinya sukar dengan pemain import tersebut dilihat memiliki permainan lebih baik serta konsisten berbanding dirinya yang sering dirundung masalah kecederaan yang panjang.
Perlu pikat Mehmed Durakovic
Kerisauan pemain yang telah memulakan kariernya di Perak itu adalah apabila rehat yang panjang ini akan menjejaskan rentaknya, namun beliau percaya yang latihan di rumah yang dilalui semua pemain sebelum ini pasti akan membantunya nanti.
“Kini latihan dijangkakan akan bermula semula pada Isnin. Saya mahu berada pada tahap terbaik saya. Dengan saingan liga hanya berbaki tujuh perlawanan, saya perlu berada pada kemuncak prestasi dalam setiap sesi latihan untuk memikat jurulatih.
“Saya tahu, saya hanya perlukan masa yang singkat untuk mendapat kembali rentak kerana latihan yang telah dibuat di rumah. Ketika ini, saya hanya perlu meneruskan semua sentuhan, hantaran dan gerakan [dalam sesi latihan],” tambahnya lagi.
Semua pasukan Liga Malaysia sudah dibenarkan untuk kembali berlatih sejak kali terakhir mereka melakukannya kira-kira tiga bulan lalu. Liga Super tertangguh sejak pertengahan Mac lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KREDIT FEATURED IMAGE: PERAK TBG