Quantcast

LIGA MALAYSIA

Mohamad Hafiz Ramdan Kembali Tabur Bakti Bersama Perak

Kapten Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Mohamad Hafiz Ramdan sah akan kembali ke pangkuan pasukan Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.

Meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat, menurut sumber yang boleh dipercayai dan juga laporan daripada The Star, Hafiz dilaporkan telah menandatangani kontrak selama setahun bersama Perak pada bulan November yang lalu.

Langkah itu dilihat satu keputusan yang baik selepas PKNP FC kini telah menjadi diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) sebagai pasukan ‘feeder’ buat Perak.

Dalam pada itu, kehadiran Hafiz Ramdan juga dilihat tepat pada masanya selepas pemain sayap kiri, Mohd Nor Hakim Hassan tidak lagi bersama pasukan finalis Piala FA 2019 itu.

Laman Facebook rasmi PKNP FC pada hari ini juga memuatnaik ucapan selamat maju jaya buat pemain berusia 26 tahun dari Batu Kurau itu.

Terima Kasih & Selamat Maju Jaya buat Ketua Pasukan PKNP FC, Hafiz Ramdan. Terima kasih untuk segala jasa dan bakti…

Posted by PKNP FC on Tuesday, December 3, 2019

Mohamad Hafiz Ramdan bukanlah asing buat pasukan ‘Putih Kuning Hitam’ itu kerana karier bola sepak beliau bermula pada tahun 2012 sebagai pemain skuad Piala Belia Perak.

Kelincahannya di bahagian sayap terus mendapat perhatian dan diserapkan ke pasukan Piala Presiden dan pada musim 2014, beliau dibawa masuk ke skuad Liga Super yang ketika itu dibimbing Abu Bakar Fadzim.

Hafiz kemudiannya dipinjamkan ke PKNP FC pada pertengahan musim 2017 dan terus mendapat kepercayaan Abu Bakar Fadzim sehingga diberikan tanggungjawab selaku ketua pasukan.

Aksi cemerlangnya bersama PKNP FC pada musim 2019 membuatkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memanggilnya menyertai skuad negara ketika menghadapi saingan Airmarine Cup.

Kredit foto: Perak TBG