N’Golo Kante, Ramadan & Kesederhanaan

Kante Ramadan

Minggu lalu, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mendakwa prestasi N’Golo Kante merosot kerana berpuasa pada bulan Ramadan dan bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya pada musim ini.

Tuchel jelas tidak gembira dengan perkembangan tersebut, namun di hadapan wartawan pengurus warga Jerman berkenaan menjelaskan beliau menghormati pendirian pemainnya itu.

“Ketika ini dia berpuasa kerana tuntutan agama dan kepercayaannya. Mungkin itu antara sebab yang mempengaruhi [prestasinya],” ujar Tuchel.

“Ini bukan kali pertama dia tidak makan pada waktu siang berhari-hari, namun itu mungkin telah memberi kesan kepada prestasinya.”

Namun kenyataan tersebut sudah boleh ‘dibakul sampahkan’ apabila pemain berusia 30 tahun itu mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan ketika Chelsea mencatat kemenangan 3-2 ke atas Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, namun tewas 5-4 secara agregat.

“Dan berpuasalah, maka kamu akan sihat”. 

Riwayat al-Thabarani

Nota: hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan para sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW

Rujukan: Irsyad Al-Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Cerita mengenai pendirian Kante untuk berpuasa di bulan Ramadan bukanlah perkara baharu.

Dalam satu dokumentari oleh Soccer Stories, bekas rakan sepasukannya Jerome Rothen ketika beraksi untuk Caen di saingan Ligue 2 berkongsi detik ketika Kante telah meminta untuk merahsiakan kepada rakan-rakan lain yang dirinya sedang berpuasa.

Bagi Jerome, berpuasa merupakan amalan yang berbahaya kepada kesihatan, apatah lagi jika ia dilakukan atlet seperti pemain bola sepak di musim panas yang memerlukan mereka untuk minum air dengan lebih kerap semasa menjalani latihan atau menghadapi perlawanan di waktu siang.

Lantas beliau menasihatkan kepada Kante agar tidak berpuasa kerana dikhuatiri rakannya itu tidak mampu bertahan dalam cuaca yang panas membahang.

“Waktu itu cuaca sangat panas dan tentunya sukar untuk dia bertahan dalam keadaan itu,” kata Jerome mengimbau semula pengalamannya.

“Dia mendekati saya dan berkata ‘Jerome, saya nak minta awak lakukan ini sahaja, jangan cakap apa-apa.’ Jadi saya menghormati pilihannya. Akhirnya dia hanya mendiamkan diri dan terus berpuasa.”

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kante beraksi cemerlang sepanjang tempoh yang dianggap ‘sukar’ bagi orang lain, tetapi tidak bagi dirinya.

Musim tersebut Kante hanya terlepas satu daripada 38 perlawanan untuk membantu Caen kekal di Ligue 1 di mana musim sebelumnya beliau telah membantu pasukan tersebut menamatkan saingan di tangga ketiga di Ligue 2 dan meraih tiket promosi ke saingan liga utama.

Claudio Ranieri, pengurusnya ketika muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Leicester turut kagum dengan kemampuan serta tahap stamina yang dimiliki oleh Kante.

“Terhebat Pernah Dilihat” – ‘Makelele Role’ Perlu Ditukar Kepada ‘Kante Role’

“Dia berlari dengan cukup kuat sehingga saya rasa ada penuh bateri dalam seluarnya,” ujar jurulatih warga Itali tersebut.

“Dia tak berhenti berlari semasa latihan, saya lihat sendiri. Sampai satu hari, saya bergurau minta dia lakukan hantaran lintang dan kemudian minta dia sendiri menyudahkan hantaran tersebut dengan menanduknya sendiri.”

“Tidaklah Allah itu menambahkan pada diri seseorang sifat pemaaf, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seorang itu merendahkan diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘azza wajalla.” 

(Riwayat Muslim)

Sikap bersederhana dan merendah diri Kante juga amat dikagumi.

Walaupun menerima gaji £120,000 seminggu dan jumlah aset yang dianggarkan sekitar £100 juta, beliau tidak pernah berminat untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya.

Untuk pergi menjalani latihan bersama pasukan, beliau hanya memandu Mini Cooper, berbanding pemain-pemain bintang lain yang memiliki kenderaan yang jauh lebih mewah. Malah beliau pernah ke tempat latihan hanya dengan berjoging atau menggunakan mini skuter.

Ketika kebanyakan bintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Sergio Ramos dan Angel di Maria ‘lari’ dari membayar cukai sehinggakan ada di antaranya telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, Kante pula memilih sebaliknya.

Apabila beliau menyertai Chelsea, beliau telah ditanya sama ada gajinya perlu dibayar ke akaun luar pesisir (offshore) bagi mengurangkan nilai cukai yang perlu dibayar. Kebanyakan pemain bola sepak tentunya akan menjawab ‘ya’.

Tetapi apa pula jawapan Kante? “Tidak, terima kasih”.

Beliau hanya mahu gajinya diterima secara normal seperti mana-mana individu lain di England. Secara asasnya, beliau mahu hidup dengan nilai kejujuran dan enggan mengambil risiko ‘bermusuh’ dengan pihak autoriti.

Pada 2018, beliau pernah terlepas tren untuk pulang ke Paris selepas satu perlawanan. Jadi beliau mengambil keputusan untuk mengunjungi sebuah masjid di Kings Cross, London dan di situ beliau telah bertemu dengan Badlur Rahman Jalil, seorang penyokong Arsenal.

Badlur Rahman menjemputnya untuk bermain permainan video FIFA dan menonton perlawanan bersama rakan-rakan di rumahnya dan apa yang mengejutkan, Kante menerima pelawaan tersebut!

“Saya ke masjid pada petang Sabtu untuk solat dan kami berjemaah bersama. Sudah menjadi amalan dalam Islam untuk menjemput tetamu ke rumah bagi menikmati hidangan, jadi saya cuba menjemputnya,” ujar Badlur Rahman.

“Dia menewaskan kami semua dan kami bersama-sama menonton perlawanan di rumah saya, ia satu petang yang mengujakan.”

Pernah juga diceritakan bagaimana Kante berbesar hati untuk menerima jemputan majlis perkahwinan akan kepada penyokong setia Chelsea, Frank Khalid yang juga pemilik sebuah restoran di London.

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2019 ketika beliau sedang menjami selera di restoran milik Khalid.

Pada awalnya beliau telah menolak jemputan tersebut kerana pada tarikh berkenaan beliau mempunyai komitmen bersama skuad kebangsaan Perancis untuk perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada hujung minggu.

Tetapi ditakdirkan beliau mengalami kecederaan ketika Chelsea seri 2-2 berdepan Sheffield United yang memerlukan beliau berehat untuk tempoh beberapa minggu dan turut terlepas tugasan antarabangsa, lalu beliau mengubah perancangannya.

Kante membuat keputusan untuk membuat kejutan dengan memenuhi jemputan Frank dan menghadiri majlis perkahwinan Henna Khalid dan pasangannya Raheel Malik.

Malah beliau kekal sehingga penghujung majlis bagi meraikan setiap tetamu yang mahu bergambar dan mendapatkan tandatangannya.

“Dia tidak jemu melayan setiap orang yang mahu berswafoto dengannya. Jelas semua orang menyukainya sebagai seorang pemain bola sepak, tetapi lebih dari itu dia menunjukkan sikap yang mendahulukan orang lain berbanding dirinya,” ujar Frank dalam satu temubual bersama The Sun.

Penutup

Peribadi mulia seorang Muslim yang dipemerkan oleh Kante ini telah terbentuk sejak kecil.

Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga pelarian di pinggir ibu kota Paris, ia memberi kesedaran bahawa beliau perlu berusaha keras kerana itu sahaja jalan untuk mencapai sesuatu dalam kehidupan.

Dari Budak Pengutip Sampah, Kini Seisi Dunia Seakan Milik N’Golo Kante

Bercakap mengenai sejauh mana pegangan agama membantu kariernya dalam bola sepak profeisonal, jawapan Kante cukup ringkas.

“Bagi saya, agama adalah keutamaan sebelum bola sepak. Ia adalah asas kepada kehidupan manusia.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN