Dari Budak Pengutip Sampah, Kini Seisi Dunia Seakan Milik N’Golo Kante

N'Golo Kante

Perjalanan karier N’Golo Kante mungkin agak perlahan pada awalnya. Beraksi di liga divisyen kedua Perancis (Ligue 2) enam tahun lalu, beliau kemudian mengumpul satu demi satu kejuaraan yang meletakkannya sebaris dengan legenda bola sepak dunia.

Ia bermula dengan kejutan meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Leicester City pada 2016 dan kemudian kembali memenanginya bersama Chelsea pada tahun berikutnya.

Selepas itu beliau membantu kelab London tersebut menjuarai Piala FA diikuti oleh kejayaan menjadi juara Piala  Dunia 2018 bersama Perancis. Tahun yang sama, beliau turut dipilih dalam Kesebelasan Terbaik FIFA FIFPro.

Setahun kemudian, beliau sekali lagi menjadi tulang belakang dalam membantu Chelsea muncul juara Liga Europa (UEL). Seterusnya kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) merupakan satu lagi pencapaian peribadi buat Kante. Malah beliau turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Melihat aksinya ketika menentang Manchester City, siapa yang mampu menafikan kelas dan kualitinya sebagai pemain tengah bertahan terbaik dunia ketika ini.

Kesusahan itu mengajar, kepedihan itu mendidik

Kante dilahirkan pada 29 Mac 1991 di Paris, ibu negara Perancis yang cukup terkenal dengan keindahan reka bentuk serta struktur bangunannnya dan digelar Kota Cinta.

Namun di sebalik kecantikan ‘kosmetik’ kota tersebut, ramai yang tidak tahu terdapat beberapa kawasan ‘setinggan’ yang didiami oleh golongan miskin bandar termasuklah keluarga Kante yang merupakan imigran dari Mali.

Kante adalah anak sulung dari empat orang adik beradik. Membesar di Rueill Malmaison, sebuah penempatan yang amat padat di pinggir barat Paris.

Melihat kesusahan keluarganya, ia memberi kesedaran bahawa beliau perlu berusaha keras kerana itu sahaja jalan untuk mencapai sesuatu dalam kehidupan.

Maka Kante sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan untuk demi keluarganya termasuk membantu ayahnya menjadi pengutip sampah dan barang-barang lusuh.

Apa sahaja barang buangan yang masih boleh dikitar semula akan dikumpul bagi mendapatkan tukaran tunai. Sementara ibunya pula bekerja sebagai pekerja pembersihan. Malangnya bapa Kante meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun.

Mimpi itu percuma

Ketika Piala Dunia 1998 berlangsung di Perancis, Kante yang berumur 7 tahun ketika itu berpeluang membuat duit lebih dengan mengumpul sampah-sampah yang dibuang oleh penyokong bola sepak di sekitar stadium dan hotal penginapan.

Menyaksikan kejayaan negaranya muncul juara dalam kejohanan berprestij itu, Kante mula memasang impian kerana beliau melihat dalam kalangan pemain skuad kebangsaan Perancis itu terdapat beberapa nama yang merupakan golongan migran dari Afrika.

Pemain-pemain bintang seperti Thierry Henry, Zinedine Zidane, Patrick Viera, Lilian Thuram dan Nicolas Anelka, semua nama-nama terkenal ini yang mempunyai susur galur dari Afrika dan merekalah yang menyumbang kepada kejayaan Perancis menjulang Piala Dunia.

“Saya berusia tujuh tahun ketika Perancis muncul juara [Piala Dunia] buat kali pertama dan saya sangat teruja. Jadi saya katakan kepada kawan saya, satu hari nanti saya juga akan memenanginya”

Tidak lama selepas Piala Dunia 1998, penubuhan akademi bola sepak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan termasuk akademi JS Suresnes yang terletak pinggir bandar barat Paris. Di situlah perjalanan Kante dalam dunia bola sepak bermula ketika berusia lapan tahun.

Selepas mendaftar bersama kelab tersebut, Kante yang bertubuh kecil telah mempamerkan auranya sebagai bintang masa depan. Kebanyakan rakan sepasukannya tertanya-tanya dari mana beliau datang kerana kekuatan staminanya sehingga mampu bertahan lama di atas padang.

Tetapi disebabkan sikap rendah diri dan fizikalnya yang agak kecil, bekas jurulatihnya Pierre Ville mengatakan beliau tidak hairan mengapa Kante kekal di luar radar kelab-kelab besar di Perancis.

“Mengimbas kembali, dia boleh beraksi dengan melakukan bentesan, merampas bola dari lawan dari hujung ke hujung padang. Jadi saya merangka satu latihan peribadi khas untuknya,” ujar Ville.

Bekas rakan sepasukannya semasa kanak-kanak, Francois Lemoine juga menjadi saksi bagaimana usaha keras Kante semasa kanak-kanak membantu beliau menjadi seorang pemain yang jauh lebih matang dari usianya.

“Kante tiga tahun lebih muda dari kami, tetapi dia boleh bermain jauh lebih baik dari kami. Semasa kami beraksi menentang sebuah pasukan tempatan, walaupun dia lebih kecil dari semua pemain di atas padang, tetapi tiada siapa pun dapat melepasinya.”

Tetapi sudah menjadi sikap semula jadinya untuk tidak ‘bising’ di atas padang dan sekadar melakukan tugasan yang telah diberikan kepadanya. Ia membuatkan rakan sepasukan banyak belajar dari personalitinya itu.

Seorang lagi jurulatihnya semasa kecil, Voktyna mengakui Kante merupakan satu-satunya pemain yang akan dengar dan melakukan apa sahaja yang diarahkan kepadanya, diulangi ‘segalanya’.

“Saya pernah melawak dengan Kante sebelum cuti, saya katakan kepadanya saya beri dua bulan untuk dia menimbang bola 50 kali dengan kaki kiri, 50 dengan kaki kanan dan 50 dengan kepala.

“Dua bulan kemudian, dia datang semula kepada saya dan dia boleh melakukannya! Saya amat terkejut. Bermula saat itu, saya tak pernah lagi meminta dia buat sesuatu kerana saya mahu dia berkembang seiring dengan bakat semula jadinya.”

Jika anda menyaksikan bagaimana ketika Perancis menjulang trofi Piala Dunia, Kante bersikap malu-malu untuk meraikan kejayaan. Ia bukanlah perkara baharu, tetapi sejak kecil lagi memang sikapnya begitu yang lebih gemar melihat keraian rakan sepasukannya.

Kredit Foto: Life Blogger

Kematangan Kante semasa remaja membolehkan beliau terpilih dalam kalangan bintang muda kelab untuk menjadi pelatih untuk kanak-kanak di akademi.

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

Hasil usaha kerasnya bertahun-bertahun menimba ilmu tanpa jemu, dengan kualiti yang dimiliki beliau telah diterima untuk menyertai Boulougne di mana beliau bermula dari bawah bersama pasukan remaja dari 2010 sehingga 2012.

Dengan bakat yang dimiliki, beliau diserap ke skuad utama pada musim 2012-2013 untuk bermain di Championnat National, iaitu divisyen ketiga dalam sistem liga bola sepak Perancis. Musim tersebut beliau hanya terlepas satu perlawanan liga sahaja.

Kante kemudian menyertai kelab Ligue 2, Caen dan bermain semua 38 perlawanan pada musim pertamanya dan pasukannya itu menamatkan saingan di tangga ketiga dan meraih promosi ke Ligue 1.

Musim berikutnya Kante bermain 37 perlawanan untuk Caen dan kekal di liga utama tersebut dan telah menarik perhatian pemantau bakat dari beberapa kelab Eropah termasuk Steve Walsh dari Leicester City yang juga bertanggungjawab membawa masuk Jamie Vardy dan Riyad Mahrez ke Stadium King Power.

Menyertai Leicester City pada Ogos 2015 dengan kontrak selama empat tahun dan kemudian berhijrah ke Chelsea dengan yuran perpindahan sekitar £32 juta, selebihnya adalah sejarah.

Kejujuran membawa kebahagiaan

Walaupun menerima gaji £120,000 seminggu dan jumlah aset yang dianggarkan sekitar £100 juta, beliau tidak pernah berminat untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya.

Untuk pergi menjalani latihan bersama pasukan, beliau hanya memandu Mini Cooper, berbanding pemain-pemain bintang lain yang memiliki kenderaan yang jauh lebih mewah. Malah beliau pernah ke tempat latihan hanya dengan berjoging atau menggunakan mini skuter.

Ketika kebanyakan bintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Sergio Ramos dan Angel di Maria ‘lari’ dari membayar cukai sehinggakan ada di antaranya telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman, Kante pula memilih sebaliknya.

Apabila beliau menyertai Chelsea, beliau telah ditanya sama ada gajinya perlu dibayar ke akaun luar pesisir (offshore) bagi mengurangkan nilai cukai yang perlu dibayar. Kebanyakan pemain bola sepak tentunya akan menjawab ‘ya’.

Tetapi apa pula jawapan Kante? “Tidak, terima kasih”.

Beliau hanya mahu gajinya diterima secara normal seperti mana-mana individu lain di England. Secara asasnya, beliau mahu hidup dengan nilai kejujuran dan enggan mengambil risiko ‘bermusuh’ dengan pihak autoriti.

Ilmu adalah cahaya

Ini pula adalah mengenai sikap Kante yang amat mementingkan pendidikan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, sekiranya beliau gagal menjadi pemain bola sepak profesional, apakah pekerjaan yang akan lakukannya.

Dalam satu temubual bersama Sky Sports pada 2017, Kante mendedahkan bahawa dirinya mempunyai kelayakan sebagai seorang akauntan terlatih kerana beliau tidak pasti sama ada kariernya sebagai pemain bola sepak akan berjaya atau tidak.

“Semasa saya bersama pasukan simpanan Boulogne yang beraksi di divisyen keenam, saya bukannya pemain profesional, jadi saya terus melanjutkan pengajian kerana saya tidak tahu akan berjaya dalam bola sepak,” ujarnya.

“Semasa saya berusia 18 tahun, saya berjaya menamatkan baccalaureate [menyamai peperiksaan A-Level] dan selepas itu saya sambung lagi belajar untuk dua tahun lagi dalam bidang perakaunan.”

“Tetapi apabila saya sudah berjaya menembusi skuad utama, saya sudah menjadi pemain profesional, barulah saya berhenti belajar. Saya tetap memiliki kelayakan dalam bidang perakaunan, tetapi kini saya mahu tumpu kepada bola sepak.”

Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya

Personalitinya membuatkan beliau begitu disayangi bukan sahaja oleh penyokong pasukannya, tetapi oleh sesiapa sahaja yang meminati sukan bola sepak sehinggakan tidak mungkin ada yang mampu membencinya.

Pada 2019 ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di London, Frank Khalid iaitu pemilik restoran tersebut yang juga merupakan penyokong Chelsea telah menjemputnya untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya beberapa bulan akan datang.

Pada awalnya beliau telah menolak jemputan tersebut kerana pada tarikh berkenaan beliau mempunyai komitmen bersama skuad kebangsaan Perancis untuk perlawanan antarabangsa yang berlangsung pada hujung minggu.

Tetapi ditakdirkan beliau mengalami kecederaan ketika Chelsea seri 2-2 berdepan Sheffield United yang memerlukan beliau berehat untuk tempoh beberapa minggu dan turut terlepas tugasan antarabangsa, lalu beliau mengubah perancangannya.

Kante membuat keputusan untuk membuat kejutan dengan memenuhi jemputan Frank dan menghadiri majlis perkahwinan Henna Khalid dan pasangannya Raheel Malik.

Malah beliau kekal sehingga penghujung majlis bagi meraikan setiap tetamu yang mahu bergambar dan mendapatkan tandatangannya.

“Dia tidak jemu melayan setiap orang yang mahu berswafoto dengannya. Jelas semua orang menyukainya sebagai seorang pemain bola sepak, tetapi lebih dari itu dia menunjukkan sikap yang mendahulukan orang lain berbanding dirinya,” ujar Frank dalam satu temubual bersama The Sun.

Mungkin cerita itu tidak cukup hebat untuk menunjukkan kesederhanaannya.

Pada 2018, beliau pernah terlepas tren untuk pulang ke Paris selepas satu perlawanan. Jadi beliau mengambil keputusan untuk mengunjungi sebuah masjid di Kings Cross, London dan di situ beliau telah bertemu dengan Badlur Rahman Jalil, seorang penyokong Arsenal.

Badlur Rahman menjemputnya untuk bermain permainan video FIFA dan menonton perlawanan bersama rakan-rakan di rumahnya dan apa yang mengejutkan, Kante menerima pelawaan tersebut!

“Saya ke masjid pada petang Sabtu untuk solat dan kami berjemaah bersama. Sudah menjadi amalan dalam Islam untuk menjemput tetamu ke rumah bagi menikmati hidangan, jadi saya cuba menjemputnya,” ujar Badlur Rahman.

“Dia menewaskan kami semua dan kami bersama-sama menonton perlawanan di rumah saya, ia satu petang yang mengujakan.”

Penutup

Dalam satu temubual, Kante pernah ditanya mengenai amalannya sebagai seorang Muslim yang kerap solat di masjid. Jadi sejauh mana agama membantu kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Bagi saya, agama adalah keutamaan sebelum bola sepak. Ia adalah asas kepada kehidupan manusia,” ujarnya.

“Bola sepak pada saya adalah kerja harian, tetapi solat adalah pekerjaan yang wajib. Jadi dalam agama saya, ia perlu diutamakan sebelum bola sepak.”

Kisah kehidupan Kante ini menjadi inspirasi, bagaimana permulaan seseorang dari sebuah keluarga miskin yang hidup bersederhana seadanya.

Bagaimana seorang kanak-kanak dari susur galur Afrika mengenali bola sepak hanya dengan berkaki ayam tanpa kasut bermain di jalanan yang berdebu, kini telah pun memiliki hampir semua kejuaraan yang diidamkan oleh pemain bola sepak.

Adakah Kante akan membantu Perancis menjuarai Euro 2020 yang akan berlangsung tidak lama lagi bagi menambah koleksi kejuaraannya? Sama-sama kita nantikan.

Baca juga artikel kamu yang lain mengenai N’Golo Kante:

N’Golo Kante ‘Pekena’ Dulu Nasi Lemak, Cari Tonik Hadapi Final UCL

Kante Tak Nak Main Sampai Habis Musim Demi Keselamatan

Maurizio Sarri Mahu Ross Barkley Perbaiki Pergerakan Tanpa Bola Seperti Dilakukan N’Golo Kante

Leave a Reply