Penyerang Shanghai SIPG, Marko Arnautovic tanpa berselindung mendedahkan beliau pernah memandang rendah saingan Liga Super China (CSL) pada fasa awal kehadirannya di negara Tembok Besar itu.
Arnautovic meninggalkan West Ham United untuk menyertai Shanghai SIPG pada 8 Julai 2019 dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai £23 juta meskipun kontraknya masih berbaki empat setahun setengah bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Sudah menjadi lumrah dan hakikat sebenar bahawa cabaran di China jauh lebih mudah berbanding di EPL dan ada juga yang beranggapan saingan CSL merupakan medan buat para pemain di Eropah untuk ‘mengumpul kekayaan’.
Arnautovic juga tidak terkecuali daripada merasakan perkara yang sama apabila beliau pada mulanya memandang rendah cabaran di CSL sekaligus tidak mengamalkan gaya hidup sihat sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh pemain berusia 31 tahun kelahiran Vienna, Austria itu dalam satu wawancara eksklusif beliau bersama Football Daily.
”Saya memandang rendah [CSL]. Saya tidak berlatih. Saya juga tidak menjaga badan saya. Saya makan apa sahaja.”
”Saya minum minuman soda [seperti] Sprite, Coca Cola, Fanta. Semua minuman bergula ini tidak baik buat tubuh badan.”
”Makan pada waktu yang salah. Tidak tidur, kerana apabila saya datang ke China, ia mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk saya menyesuaikan diri dengan waktu.”
”Saya tidur pada 6, 7 pagi. Saya bangun semula pada jam 3, 4 petang, selepas itu pergi ke sesi latihan, tidak tidur sepanjang malam, makan pada waktu yang salah.”
Melihatkan kepada masalah itu, Arnautovic kemudiannya lebih serius selepas melihat tahap permainan dalam saingan CSL.
”Inilah yang saya katakan sebelum ini. Pada ketika ini, saya hanya berfikir di dalam minda bahawa kelab mahukan saya untuk datang, melakukan yang terbaik, bermain untuk merebut kejuaraan dan saya berubah kerana saya perlu untuk melakukannya dengan baik dan saya perlu menjadi yang lebih baik.”
”Jika sebaliknya [tidak berubah], anda tidak boleh bermain di sini,” tambah Arnautovic lagi.
Musim ini, Arnautovic telah beraksi dalam kesemua lapan perlawanan CSL 2020 dan berjaya menjaringkan lima gol serta turut mencipta satu bantuan jaringan buat kelab yang dimiliki Shanghai International Port Group itu.
Selain Arnautovic, Shanghai SIPG turut diperkuatkan trio kelahiran Brazil, Hulk yang kini bertindak selaku ketua pasukan, bekas perancang tengah Chelsea, Oscar dan Ricardo Lopes Pereira.
Kredit featured image: Visual China Group via Getty Images/Visual China Group via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Marko Arnautovic: