Skuad Harimau Malaya tidak membawa pemain tengah bertahan untuk ke Piala AFF Suzuki 2020 selepas dua pemain, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj telah mengalami kecederaan luar jangkaan sebelum kejohanan.
Ketika kalah kepada Vietnam 0-3 tempohari, inilah zon paling kritikal yang Malaysia ‘tewas’ terlebih dahulu sebelum masuk ke padang iaitu kawasan yang selalunya dijaga dan diselia oleh pemain tengah bertahan.
Kita sedia maklum, Malaysia tidak membawa pemain yang ‘cukup’, malah, Tan Cheng Hoe juga tidak mahu menggantikan dua pemain tengah bertahan yang mengalami kecederaan. Ini khilaf terbesar Cheng Hoe.
“Maaf, Tiada Panggilan Kecemasan!” – Cheng Hoe Pilih Untuk Guna Sahaja Apa Yang Ada
Meletakkan tanggungjawab kepada pemain yang ‘terpaksa’ bermain di posisi tersebut disebabkan ia posisi sekunder mereka boleh mengundang malapetaka. Ia tidak terjadi dalam dua aksi awal – menang 3-1 ke atas Kemboja dan 4-0 ke atas Laos, namun ia berlaku ketika aksi penting berdepan Vietnam. Malaysia dihukum.
Malaysia ‘bocor’ di zon 14 dalam ketiga-tiga situasi gol Golden Dragon. Zon 14 adalah kawasan yang selalunya dijaga selia oleh pemain tengah bertahan, di mana Cheng Hoe meletakkan Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal.
Apakah Zon 14 (Kawasan Paling Berbahaya Di Padang) Dalam Bola Sepak?
Harus diakui, Baddrol Bakhtiar dan Muhairi Ajmal yang diletakkan sebagai pivot berkembar beraksi baik untuk dua aksi awal. Namun, dalam perlawanan berintensiti tinggi, adakah mereka boleh berikan yang terbaik?
Gol pertama lawan yang dihasilkan oleh Nguyen Quang Hai sebenarnya bermula dari zon 14. Beliau bergerak bebas di kawasan tersebut tanpa dirantai sesiapa. Quang Hai bukanlah pemain biasa yang boleh dibiar berjalan bebas tanpa kawalan. Hasilnya, beliau memecah masuk ke kawasan depan gol seterusnya meledak gol.
Nguyen Cong Phuong juga masuk menerusi zon 14 sebelum melepaskan sepakan kaki kiri menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua. Dan di hujung perlawanan, juga di kawasan yang sama, giliran Nguyen Hoang Duc pula mencipta nama sebagai penjaring gol. Di mana pemain yang harus melindungi zon 14 dalam aksi tersebut?
‘Rindunya’ Kelibat Pemain Di Zon 14 – 5 Perkara Kekalahan Malaysia Kepada Vietnam
Semuanya BOLA telah menggariskan, ‘Rindunya’ Kelibat Pemain Di Zon 14 – 5 Perkara Kekalahan Malaysia Kepada Vietnam. Bukanlah menidakkan sumbangan pemain lain, namun inilah posisi terlemah Malaysia.
Siapa yang beraksi di Liga M bermain baik sebagai ‘defensive midfielder’? Ini antara lima pemain tersebut.
Akram Mahinan (KL City FC)
Majoriti penyokong tidak gemarkan permainannya, namun mereka mungkin tidak melihat peranan apa yang dimainkan Akram Mahinan. Jika anda mahukan hantaran memukau dan meledak gol darinya sebagaimana Safiq Rahim, anda mungkin tidak memahami peranan yang digerakkannya di dalam padang sehingga kini.
Ketika di pusingan kelayakan Piala Dunia tempohari, jelas kita kehilangan seorang ‘destroyer’. Syamer Kutty Abba, Azam Azih, Brendan Gan, Nazmi Faiz dan Liridon Krasniqi bukanlah seorang pemain tengah defensif.
Nguyen Cong Phuong is having fun tonight. He just exploited our poor shape and line. I just wished we had a defensive midfielder in the squad. We usually dominate possession, but tonight Vietnam is doing that, added with breathtaking speed. #VIEMAS #AFFSuzukiCup2020
— T. Avineshwaran (@avineshW90) December 12, 2021
Kenny Pallraj (KL City FC)
Antara kembar terbaik buat Akram Mahinan di KL City apabila menggunakan pivot berkembar, sebelum diubah posisi ke bek tengah apabila Irfan Zakaria mengalami kecederaan. Kenny Pallraj juga merupakan pemain ‘natural’ nombor 6, namun kecederaan yang dialaminya menghalangnya menyertai kem skuad kebangsaan.
Bersama Akram Mahinan, kedua-duanya beraksi sehingga ke pentas akhir Piala Malaysia 2021 dan seterusnya menjuarainya, namun disahkan tidak dapat menyertai Harimau Malaya membawa cabaran di saingan Piala AFF.
Khairu Azrin Khazali (Penang FC)
Pemain baharu Kedah Darul Aman FC ini tampil cemerlang selama dua musim di Penang FC. Reputasi yang diciptanya di sana adalah sebagai pemain nombor 6 terbaik yang sudah lama tidak disaksikan penyokong. Beliau menjadi kunci kestabilan pasukan dalam fasa bertahan dan menyerang skuad Harimau Kumbang.
Menariknya dalam permainannya, berbeza dengan Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, beliau memiliki hantaran jarak jauh umpama ‘missile’ yang turut digunakan dalam merencana gerakan serangan buat pasukannya.
Di Malaysia Pemain Posisi No. 6 Sering Diabaikan Dalam Menilai Kejayaan Pasukan
Azzizan Nordin (Sabah FC)
Pemain Sabah FC ini diketahui memiliki permainan yang keras dan telah tampil 14 kali dalam saingan Liga Super musim ini. Bekas kapten Harimau Muda B itu kali terakhir dipanggil ke kem skuad kebangsaan pada Oktober 2019 menggantikan Nor Azam Azih, namun tidak berjaya menempatkan diri dalam skuad akhir.
Ada dikalangan penyokong The Rhinos menggelarnya Javier Mascherano dek kerana permainan agresif dan lasak pemain berusia 27 tahun itu dalam membantu benteng pertahanan ketika mereka diasak oleh lawan.
Zahril Azri Zabri (Sarawak United)
Jika mahukan ‘darah muda’, pemain berusia 22 tahun ini mungkin calon terbaik dimiliki negara. Mengakui mahu membuktikan sesuatu sebagai pemain nombor 6 terbaik di Malaysia, Zahril Azri Zabri beraksi cemerlang ketika bersama FELDA United dibawah kendalian, Nidzam Jamil pada musim 2019 – musim terakhir FELDA United.
Tampil 15 kali bersama Sarawak United, beliau membantu mereka muncul sebagai naib juara Liga Premier 2021, tiga mata di belakang Negeri Sembilan FC dan akan beraksi di saingan Liga Super musim hadapan.
Tentunya selain Akram Mahinan dan empat pemain ini, masih terdapat lagi pemain tengah bertahan yang beraksi baik di Liga M musim ini. Siapa lagi yang pembaca dapat senaraikan? Tinggalkan di ruang komen.