Kombinasi JDT, ‘Synchronize’ Pahang & ‘Kerja Kotor’ Akram Mahinan Jadi Tumpuan Aksi Kedua

Akram Mahinan Syamer Kutty Malaysia Thailand AFF 2018

Jika diamati, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memilih barisan pemain Harimau Malaya bukanlah semata-mata berdasarkan persembahan atau aksi mereka dalam saingan liga ataupun Piala Malaysia yang hangat berlangsung ketika ini.

Banyak perkara dipertimbangkan oleh pengendali berusia 51 tahun itu termasuklah dengan cuba membawa masuk Jafri Firdaus Chew serta pemain yang kurang minit perlawanan seperti Hazwan Bakri. Beliau telah memberikan sebabnya, tidak perlu dibahas lagi.

Pertembungan dengan Indonesia memberi pengajaran kepada pengkritik-pengkritik pemilihan Tan Cheng Hoe apabila Syafiq Ahmad yang juga kurang minit perlawanan menjadi antara tunjang kepada kemenangan berharga di Gelora Bung Karno.

Jadi, apa pula yang bakal dipersembahkan oleh pemain-pemain Malaysia dalam aksi sukar menentang UAE yang berada di kedudukan ke-65 dunia itu pada malam esok di Bukit Jalil?

Synchronize Pahang

Ini mungkin salah satu pertimbangan Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dalam pemilihan pemain untuk kempen kelayakan. Dengan Pahang juga berada di prestasi terbaik dalam saingan liga sebagaimana dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), keutamaan di beberapa posisi diberikan kepada pemain Pahang.

Sumareh Malaysia Indoensia
FOTO: Arena HijauKuning / Khairil A Jaafar

Empat pemain adalah pemain Tok Gajah iaitu Matthew Davies, Nor Azam Azih, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha. Seorang pertahanan, dua tengah dan seorang penyerang. Ini boleh dianggap sebagai kombinasi jika mereka diturunkan bersama.

Jika anda perasan, terdapat kombinasi Pahang di jentera sayap kanan menerusi gandingan Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh. Dua pemain inilah yang menghadiahkan Malaysia gol kemenangan menentang Indonesia pada minit ke-97.

Dan kombinasi Pahang jugalah yang menghasilkan gol penyamaan Mohamadou Sumareh sebaik dimasukkan pada minit ke-36. Hasil pengalaman berlatih dan bermain bersama, Nor Azam Azih lebih memahami bagaimana untuk menghantar bola kepadanya.

Kredit juga kepada pertimbangan Tan Cheng Hoe untuk membuat pertukaran awal memasukkan ‘Pahang Link’ untuk menghidupkan semula jentera serangan di sebelah kanan skuad negara.

Kombinasi JDT

Pemain-pemain daripada juara enam kali Liga Super, JDT juga sangat mustahil untuk diketepikan oleh Tan Cheng Hoe, biarpun terpaksa memilih pemain yang jarang mendapat minit perlawanan seperti Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad. Ia bagi memanfaatkan ‘JDT Link’ di dalam kombinasi pemain.

Safawi Rasid Malaysia Indonesia
FOTO: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Saat Mohamadou Sumareh masuk menggantikan Hadin Azman yang bermain di sayap kiri, perubahan posisi dapat dilihat dengan Safawi Rasid bergerak ke sayap kiri untuk membentuk ‘JDT Link’ bersama Corbin Ong. Begitupun, ia adalah posisi yang kurang efektif dan diminati oleh pemain berusia 22 tahun itu.

Mungkin juga ia disumbang oleh prestasi Safawi Rasid yang tidak berada di tahap yang baik. Begitupun, saat jaringan Syafiq Ahmad terhasil, bekas kapten skuad B-23 negara itu berada di sebelah sayap kanan lalu membuat hantaran lintang yang menarik untuk ditanduk oleh rakan sekelabnya itu – JDT Link!

Selain itu, dapat dilihat pertukaran di penghujung babak kedua dimana Tan Cheng Hoe cuba memanfaatkan keserasian pemain JDT dengan kemasukkan Akhyar Rashid untuk sayap kiri dan Syamer Kutty Abba untuk posisi serangan – ia seakan-akan membuahkan hasil apabila Syamer hampir meledak gol.

Akram Mahinan?

Pemain yang tanpa sebarang ‘Link’ untuk dipertimbangkan oleh Tan Cheng Hoe namun masih mampu untuk berada dalam skuad negara ketika ini. Dia berseorangan namun saat di atas padang, dia mampu mencipta kombinasi dengan rakan sepasukan lain.

Penulis dapat merasakan Akram Mahinan adalah pemain yang akan beraksi menentang UAE nanti atas faktor untuk memberikan lebih perlindungan kepada barisan benteng yang goyah ketika berdepan hantaran-hantaran lolos dan lintang Indonesia.

Akram Mahinan AFF 2018 Malaysia Vietnam
FOTO: AFF 2018

UAE juga menggunakan kepantasan dan kepintaran penyerang, Ali Mabkhout untuk melepaskan hantaran lolos mahupun lintang bagi membolehkan jaringan terhasil. Jika dengan skuad ‘berusia’ Indonesia pun kita bergelut, bagaimana dengan penangan UAE?

Nor Azam Azih dan Brendan Gan adalah pemain yang attacking minded sementara Akram Mahinan adalah pemain yang akan ditugaskan untuk membuat kerja-kerja kotor di belakang. Beliau tiada masalah jika para penyokong tidak nampak atau lupakan apa yang dilakukannya di dalam padang biarpun dikritik hebat.

TCH mahu ubah taktikal

Ketika menjawab soalan wartawan, Tan Cheng Hoe dengan terus terang menjelaskan akan mengubah taktikalnya menjelang aksi berdepan UAE disamping menjelaskan jentera serangan dan pertahanan akan diberikan lebih perhatian pada Selasa.

Penulis merasakan yang Nor Azam Azih akan dikorbankan dalam kesebelasan utama terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada Akram Mahinan di posisi tengah bertahan – ia sebagai ‘insurans’ tambahan sekiranya ada kelonggaran di defensive third Malaysia.

Oleh itu, Brendan Gan akan lebih berkesan untuk bergerak sebagai pemain tengah box to box tidak seperti aksi berdepan Indonesia tempohari dimana dia terpaksa bekerja lebih untuk bertahan berbanding merencana asakan ke benteng tuan rumah.

Brendan Gan Malaysia Indonesia
FOTO: Arena HijauKuning / Khairil A Jaafar

Mohamadou Sumareh juga bakal dimanfaatkan oleh Tan Cheng Hoe untuk menggerakkan jentera serangan di sebelah kanan bersama ‘Pahang Link’, Matthew Davies dan juga penyerang, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra disapa Mat Yo.

Selain itu, ‘JDT Link’ pula akan diperkukuh di sebelah sayap kiri dengan gandingan Safawi Rasid dan Corbin Ong selain Syafiq Ahmad yang berperanan sebagai penyerang ‘terapung’. Sekiranya Safawi Rasid bergelut di posisi itu, pilihan lain adalah Akhyar Rashid dan menolak Safawi Rasid sebagai penyerang utama.

Penutup

Ketepikan segala perbezaan pendapat yang mungkin ada di kalangan kita. Semua mahukan yang terbaik dan sudah tentu Tan Cheng Hoe juga lebih idamkan keputusan positif. Beliau ada alasan tersendiri mengapa beliau memilih pemain-pemain tersebut.

Pada hemat penulis, Tan Cheng Hoe memanfaatkan kombinasi dan keserasian pemain JDT serta Pahang untuk membentuk skuad kebangsaan. Selain itu, ketajamannya membuat keputusan ditagih sekali lagi dalam melahirkan keputusan positif berdepan UAE.

Jika sebelum perlawanan tempohari, penulis menganggap Syafiq Ahmad sebagai kunci keputusan di Gelora Bung Karno, kali ini penulis berpendapat yang jika gandingan JDT, Pahang dan Akram Mahinan berfungsi, sesuatu yang positif boleh berlaku di Bukit Jalil.

Kredit Featured Image: Official AFF 2018

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN