‘Rindunya’ Kelibat Pemain Di Zon 14 – 5 Perkara Kekalahan Malaysia Kepada Vietnam

Vietnam Malaysia AFF 2020

Malaysia turun ke kedudukan ke-3 Kumpulan B, Piala AFF Suzuki 2020 apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam dalam aksi ketiga buat Malaysia dan kedua buat Vietnam, berkongsi enam mata bersama Indonesia.

Vietnam mempamerkan mereka mahukan sesuatu dalam aksi ini dan hasilnya mereka berjaya menang dengan satu keputusan besar. Harimau Malaya pula gagal bangkit walaupun lawan mula menggendurkan asakan.

Berikut adalah lima perkara yang boleh kita ambil dari perlawanan menentang Vietnam sebentar tadi.

Pressing bagai gila Vietnam

Vietnam mempamerkan kemahuan yang tinggi dalam perlawanan ini. Sejak wisel permulaan, mereka dilihat memberi tekanan demi tekanan sekiranya bola berada di kaki pemain Malaysia. Mereka tidak membiarkan pemain Malaysia tenang walaupun di dalam kawasan sendiri dengan dua, tiga pemain akan cuba menekan.

Selepas 15 minit aksi barulah Malaysia kembali dapat mengambil sedikit tempo permainan walaupun masih bermasalah dari segi membuat hantaran kepada rakan sepasukan. Ia sukar dilakukan dengan tekanan tinggi yang dibuat oleh para pemain lawan termasuk memberi tekanan kepada penjaga gol, Khairul Fahmi di gawang.

Vietnam pastikan setiap kali bola tiba di kaki pemain Malaysia, mereka akan merampas semula kawalan bola.

Pressing gila skuad kendalian Park Hang-seo ini berterusan walaupun ia sedikit dilonggarkan di babak kedua.

Kehilangan Aidil jelas terasa

Kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan yang dialami di minit ke-23 menyaksikan Dominic Tan masuk untuk posisinya. Shahrul Saad menjadi suara di benteng selepas ketiadaan pemain yang memiliki 96 kaps antarabangsa itu disamping Khairul Fahmi yang merupakan benteng terakhir.

Sentuhan pertama Dominic Tan dengan clearance kemas memastikan gawang skuad negara gagal diuji tiga minit selepas beliau dimasukkan. Bola tersebut tiba hasil lambungan ke dalam kotak penalti yang hampir menemui Nguyen Cong Phuong yang berjaya mengatasi kawalan pertahan skuad kebangsaaan di far post.

Begitupun, ketiadaan Aidil Zafuan jelas terasa. Malaysia telah mula dibolosi gol selepas ketiadaannya bermula dengan jaringan Nguyen Quang Hai di minit ke-32 dan kemudian diikuti Cong Phuong, empat minit berselang.

DI babak kedua, Malaysia kehilangan pula Shahrul Saad di minit ke-71 menyaksikan Ariff Farhan dimasukkan dan pertukaran peranan berlaku dengan Rizal Ghazali bergandingan bersama Dominic Tan di bek tengah.

Kelompongan di zon 14

Gol pertama Golden Dragon dihasilkan hasil kelompongan di zon 14. Quang Hai memanfaatkan kelonggaran di posisi itu untuk menyudahkannya dengan rembatan deras menewaskan Khairul Fahmi di minit ke-32.

Ia adalah gerakan yang dihasilkan di sebelah sayap kiri mereka sebelum hantaran cut back dilakukan Nguyen Tuan Anh ke zon 14 yang dilihat tiada pemain negara. Tidak kelihatan Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal.

Sudahlah bermain dengan lebih bertahan, secara tiba-tiba ada kelompongan di tempat yang tak sepatutnya.

Semua turun sangat ke bawah dan membiarkan pemain berbahaya seperti Quang Hai bebas tanpa sebarang kawalan dan tekanan. Jelas ia tidak sepatutnya berlaku dengan Cheng Hoe memiliki dua pemain tengah untuk mengawal posisi tersebut. Organisasi di benteng juga longgar, ditambah dengan hilang cengkaman di tengah.

Gol ketiga Vietnam menerusi Nguyen Hoang Duc di minit ke-89 juga dicipta di zon 14 yang tampak longgar.

Sedikit improvisi jentera tengah

Cheng Hoe cuba memperbaiki jentera tengah dengan kemasukkan R. Kogileswaran menggantikan Mukhairi Ajmal di permulaan babak kedua selain kemasukkan Guilherme de Paula untuk Luqman Hakim Shamsudin yang berjaya disenyapkan benteng pertahanan lawan. Kogi hampir menghadirkan jaringan di awal babak kedua.

Ketiadaan pemain tengah bertahan ‘natural’ menyaksikan Cheng Hoe terpaksa ‘gamble’ dengan pemain yang ada di tangannya. Dengan perubahan kepada mentaliti lebih menyerang, kudrat Kogi ditagih untuk menambah sengat di jentera tengah menyerang disamping akan membantu pasukan ketika diserang oleh pihak lawan.

Harimau Malaya dilihat lebih baik berbanding di babak pertama dengan perubahan itu dengan kelibat Kogi dapat dirasai pasukan. Beliau terlibat dalam pelbagai situasi sama ada ketika menyerang atau bertahan.

Begitupun, gol yang diburu tidak menjelma langsung di babak kedua walaupun permainan semakin baik.

Yakinnya Vietnam untuk menang

Mendahului dua gol sudah cukup buat Park Hang-seo apabila beliau mengeluarkan dua pemain pentingnya yang meledak gol di babak pertama. Disamping terus menguasai permainan dengan pengendali itu dilihat berterusan ‘memarahi’ pemainnya, mereka hanya mengendurkan sedikit tekanan kepada Malaysia.

Quang Hai dan Cong Phuong dikeluarkan di awal babak kedua selepas beliau yakin mereka sedang meluncur untuk memenangi perlawanan. Malaysia mungkin dilihat sudah tiada ancaman dengan kemasukkan De Paula.

Rumusan

Taktikal terlampau bertahan dengan tidak langsung cuba membuat counter attack yang dilakukan di babak pertama memberi kesan negatif buat skuad kebangsaan. Malaysia bertahan tanpa pemain tengah bertahan ‘natural’ yang menyaksikan segalanya jadi mudah buat Golden Dragon untuk mencipta ruang di zon 14.

Dengan Vietnam bermain pressing tinggi, skuad negara tampak gagal membendung sepenuhnya lawan.

Aksi yang sama sukar berdepan Indonesia yang juga mempamerkan permainan lebih bertenaga kali ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN