Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji sumbangan berkesan rakan sejawatannya, Jose Mourinho dalam mengubah nasib Tottenham Hotspur yang pada ketika ini sedang memimpin carta Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Memulakan kempen liga musim ini dengan langkah kiri apabila tunduk 0-1 di tangan Everton, Mourinho dan Tottenham tidak memandang ke belakang lagi untuk melakarkan rekod tanpa kalah pada 11 perlawanan terakhir.
Keadaan itu meletakkan kelab London Utara itu di tangga teratas selepas mengumpul 25 mata hasil tujuh kemenangan, empat keputusan seri dan satu kekalahan.
Lebih menarik untuk diperkatakan, Liverpool yang bakal ditentang Hugo Lloris dan rakan sepasukannya pada awal pagi esok turut mengumpul mata yang sama tetapi Tottenham memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Sehubungan dengan itu, Klopp nyata teruja dengan apa yang telah dicurahkan Mourinho buat Tottenham sehingga menjadikan kelab tersebut sebagai pesaing kejuaraan musim ini.
”Sangat mengagumkan apa yang telah dia [Jose Mourinho] lakukan di Tottenham, cara mereka beraksi pada tahun ini sangat baik.”
”Dia telah mengubah pasukannya menjadi ‘mesin’ yang berorientasikan keputusan,” ujar Klopp menurut laporan Goal.
Mereka telah mempamerkan persembahan yang baik dan sekiranya mereka tidak berada di prestasi terbaik, mereka masih boleh memenangi perlawanan.”
”Mereka bertahan dengan begitu kolektif, sangat mengagumkan.”
Dalam pada itu, selain daripada melihat kombinasi Harry Kane dan Son Heung-min sebagai ancaman buat pasukannya, Klopp turut berpendapat pemain lain seperti Steven Bergwin, Tanguy Ndombele, Giovani Lo Celso, Pierre-Emile Hojbjerg dan Hugo Lloris juga menjadi tunjang kepada kekuatan Tottenham pada musim ini.
Kredit featured image: Nathan Stirk/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai kedua-dua pengendali hebat ini:
Mourinho: “Saya Adalah Salah Seorang Pengurus Terbaik Dunia, Klopp Tidak Pernah Menang Piala”
Mourinho: “Saya Tak Dapat Sokongan Seperti Pep & Klopp Untuk Beli Pemain”