Penolong Pengurus Aston Villa, John Terry mengakui bahawa pemain tengah, Jack Grealish memiliki bakat semulajadi yang menjadikannya mirip dua bekas bintang Chelsea, Joe Cole dan Eden Hazard.
Kenyataan itu mungkin ada asasnya apabila Grealish menjadi tunjang utama buat Aston Villa yang kembali beraksi dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tiga musim sekadar bersaing di EFL Championship.
Aksi bertenaga dipamerkan Jack Grealish terutamanya dalam memperagakan kepantasan dan kemahiran teknikalnya ketika beraksi turut mendapat perhatian Manchester United yang dikatakan berminat untuk mambawa beliau ke Old Trafford.
”Saya merasakan dia mirip dengan Joe Cole dan Eden Hazard. Saya rasa kemampuan semulajadi yang dimilikinya mempunyai persamaan dengan Joe Cole, kurniaan Tuhan yang tidak semua orang dapat tetapi dia memilikinya. ”
”Cara dia bergerak melepaskan diri daripada lawan. Dia seorang yang pantas tetapi tidak ramai yang mengetahuinya.”
”Saya tidak merasakan yang dia menyedari bahawa dia begitu laju. Dia juga adalah bakat yang luar biasa, dia banyak dikasari dalam saingan EFL Championship dan kini di Liga Perdana Inggeris.”
”Orang [pemain lawan] tidak tahu bagaimana untuk menghentikannya,” ujar Terry hasil laporan dikeluarkan Goal.
Meskipun Villa bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran saingan EPL musim ini, pemain berusia 25 tahun itu berjaya menjaringkan tujuh gol serta mencipta enam bantuan jaringan pada 26 penampilan.
Aston Villa kini menghuni tangga ke-19 dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan, empat keputusan seri dan 17 kekalahan yang dialami selepas mengharungi 28 perlawanan liga.
Kredit foto: Chloe Knott – Danehouse/Getty Images