Geng EGM: Kami Akan Saman Presiden FAS

Kumpulan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bertindak mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) FAS di Hotel Nouvelle, Seri Kembangan pada 8 November 2018 lepas mengumumkan akan bertindak menyaman Presiden FAS, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Keputusan menyaman DYTM Tengku Amir itu diambil berikutan tindakan baginda yang mengumumkan pemecatan 43 ahli kelab gabungan persatuan tersebut di laman sesawang dan Facebook rasmi FAS yang ‘tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian’ persatuan itu.

Kumpulan ahli gabungan yang turut dikenali dengan gelaran ‘Geng EGM’ dan ‘Geng 52’ itu mendakwa keputusan memecat 43 daripada 52 Ahli Gabungan yang menyokong EGM itu dengan menggunakan Artikel 38 adalah ‘alasan yang lemah dan tidak munasabah’.

Selain itu, ‘Geng EGM’ turut memberitahu pemecatan Dato’ Ariffin bin Haji Abdul Hamid dan Encik Omar bin Ali dari jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS menjadi salah satu punca mereka mahu menyaman Presiden FAS tersebut.

Menurut mereka lagi, usul ‘Geng EGM’ untuk merombak Jawatankuasa Eksekutif FAS bagi penggal 2018-2022 telah pun disokong oleh 52 ahli gabungan FAS. Kenyataan mereka ini bertentangan dengan kenyataan daripada FAS sendiri yang memberitahu media dan Pesuruhjaya Sukan bahawa usul ‘Geng EGM’ tersebut tidak sah.

Ini kerana, menurut Setiausaha Agung FAS, hanya 10 ahli kelab gabungan yang masih berkeras mahu mengusulkan EGM terus diadakan selepas majoriti daripada mereka menarik semula usul tersebut.

Baca: Kronologi Mengapa Kongres Luar Biasa (EGM) FAS Tidak Sah

Kemelut antara ‘Geng EGM’ degan FAS bawah pimpinan DYTM Tengku Amir Shah ini telah pun dirujuk kepada pihak Pesuruhjaya Sukan yang diwakili oleh Datuk Zaiton Oth­man. Menurut sumber dalaman FAS, respons daripada Pesuruhjaya Sukan mengenai pengesahan EGM haram mereka telah pun dihantar kepada wakil ‘Geng EGM’ iaitu Hamdan Hashim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden FAS, Izhar Moslim di Twitter, Pesuruhjaya Sukan telah pun menyatakan bahawa EGM haram yang diadakan pada 8 November lepas adalah ‘tidak teratur dan tidak mengikut proses.’

https://twitter.com/izharmoslim/status/1074954231486984193

Sebelum ini, DYTM Tengku Amir Shah telah menyeru penyokong Selangor supaya ‘tidak perlu risau dengan Geng EGM’ dalam satu sidang media di Istana Mestika pada 10 November 2018 lepas. Menurut baginda, FAS mempunyai bukti kukuh EGM tersebut tidak sah dan telah pun menghantar bukti-bukti tersebut kepada Pesuruhjaya Sukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN