43 Ahli Gabungan Telah Disingkirkan Daripada FA Selangor

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semalam telah mengumumkan pemecatan 43 ahli gabungan yang dilihat tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian persatuan itu.

Perkara itu diumumkan melalui laman facebook rasmi FA Selangor yang menampilkan nukilan khas daripada Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada para penyokong skuad gergasi merah.

“Hari ini adalah titik permulaan yang baharu dan bersejarah untuk FAS, 43 ahli gabungan yang tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian kami sudah dipecat.

“Selain itu, pelbagai langkah pembaharuan sudah dilakukan dan mula membuahkan hasil. Ini hanyalah satu permulaan,” petikan kenyataan daripada Tengku Amir.

Malah, Tengku Amir turut mengajak semua pihak berganding bahu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak Selangor dan membawa pasukan ke peringkat tertinggi.

“Rakan seperjuangan sekalian, ayuh sama-sama kita merealisasikan mentaliti juara dan bawa Red Giants ke peringkat yang lebih tinggi kerana semboyan sudah pun berbunyi!” Ayuh Selangor !

Sebelum ini, Tengku Amir dilaporkan murka dengan tindakan segelintir ahli gabungan FAS yang bertindak melakukan kongres luar biasa (EGM) bagi memilih barisan kepimpinan FAS yang baharu, awal bulan lalu.

Namun begitu, beliau tidak mengiktiraf EGM yang dilakukan oleh kumpulan tersebut kerana didakwa tidak mengikut prosedur yang betul serta gagal memenuhi Artikel 30, Statut FAS.

Ahli gabungan berpuas hati dengan perubahan FAS

Sementara itu, kongres tahunan ke-67 FAS telah berlangsung di Hotel Sunway Putra semalam untuk berbincang mengenai organisasi dan hala tuju persatuan itu.

Tengku Amir mempengerusikan Kongres tahunan FAS. FOTO: FA Selangor

“Banyak perkara positif telah dibangkitkan di dalam kongres kali ini. Ahli-ahli gabungan turut menyuarakan sokongan mereka dengan memberi kepercayaan penuh kepada barisan kepimpinan yang ada sekarang di bawah naungan Tuanku Presiden.

“Selain itu, ahli-ahli juga sempat berkongsi perasaan mereka yang sangat berpuas hati dengan kemajuan dan perubahan yang sedang berlaku di dalam FAS dan akan terus memberi kerjasama demi kebaikan dan masa depan bola sepak Selangor di bawah kepimpinan Tuanku Presiden,” kata kenyataan di laman facebook FA Selangor.

Gergasi merah akan tampil dengan barisan baharu dalam saingan Liga Malaysia musim depan selepas menandatangani beberapa pemain tempatan berpengalaman.

Antara pemain baharu yang sudah ditandatangani termasuk bekas tonggak Terengganu FC, Faiz Nasir, Latiff Suhaimi, serta bekas penjaga gol FELDA United, Farizal Harun, Halim Saari dan yang terbaharu bekas pemain PKNS dan Pahang, Nurridzuan Abu Hassan.

Leave a Reply