Analisis Gordon Strachan: Ego Tak Mahu Berubah Punca Mourinho Semakin Tak Relevan Di Man. United

Jose Mourinho sah dipecat oleh Manchester United selepas – anda tahu kan – 3 musim di kelab tersebut. Bekas pemain Man. United, Gordon Strachan ada hujah beliau tersendiri dan ianya telah dibentangkan beliau beberapa bulan Mourinho dipecat.

Analisis Gordon Strachan:

Mourinho tidak berevolusi dalam taktikal

Ada satu perkara di ‘table’ liga Manchester United nampak semakin konsisten mencabar tempat teratas di bawah kendalian Jose Mourinho. Malangnya ia bukan kedudukan dalam EPL tetapi liga ketinggian pemain.

Sejak Mourinho tiba di Man. United pada 2016, beliau berterusan mencari pemain besar dalam pasukannya. Buktinya, dalam laporan CIES; Manchester United kini pasukan kedua tertinggi di EPL dengan purata ketinggian 185.02cm (6 kaki 7 inci). Hanya Huddersfield memiliki purata lebih tinggi dengan 185.45cm ataupun 6 kaki 8 inci.

Berbalik pada tahun 2015, pada November, purata ketinggian Man. United adalah 182.8cm (6’0”) dan meningkat kepada 184cm (6’04”) pada musim 2017/18.

Dalam pada masa yang sama, Pep Guardiola berusaha menjadikan purata saiz pemain Man. City agar lebih kecil. City kini di tangga ke-2 untuk saiz pemain paling kecil. Jurgen Klopp berjaya menjadikan Liverpool pasukan ke-4 untuk purata saiz pemain kecil.

Stratchan menyatakan, pemain berbadan kecil akan lebih lincah dan lebih laju dalam gerakan serta larian. Beliau berkata: “Saya menonton perlawanan Chelsea menentang Liverpool minggu lalu, dan ianya fenomenal.”

Dan ramai juga pembaca kami sependapat dengan Strachan ketika kami membentangkan analisis perlawanan ini. Anda boleh rujuk semula komen di sini:

Strachan berkata lagi: “Anda perlu berada di dalam prestasi terbaik untuk bermain dalam perlawanan itu. Ada 6 pemain tengah bertarung sesama mereka dengan tiada seorang pun berketinggian 6 kaki. Itu membuatkan perlawanan itu menjadi sangat bertenaga.”

Bola sepak hari ini berbeza dengan dahulu

Strachan kemudian menyatakan bola sepak hari ini lebih kepada keupayaan teknikal dan kecergasan bergerak berbanding fizikal.

Beliau berkata: “Pada hari ini, bola sepak lebih memerlukan pintasan berbanding dengan bentesan ketika bertahan. Memerlukan seorang pemain yang boleh mengawal jarak 5-10 kaki dengan segera untuk memenangi bola.”

Manchester City

“Pada pandangan saya, mustahil untuk pemain Manchester United untuk memenangi bola segera [mereka terpaksa berundur ke zon pertahanan untuk membentuk formasi kompak].”

Bola sepak hari ini adalah mementingkan ‘pressing’. Pasukan yang mampu menjana pressing yang baik akan mampu membentuk sistem permainan dinamik dan menyusahkan lawan mereka. Man. United pula lebih banyak bermain dengan corak menyerap asakan dengan sistem turun ke bawah dan cuba melancarkan serangan balas.

“Tiada pasukan yang gentar berhadapan dengan Man. United pada hari ini kerana mereka mengambil masa untuk merampas semula penguasaan bola,” kata Strachan lagi.

“Namun jika kamu berhadapan dengan Manchester City dan Liverpool sekarang, dalam fikiran kamu: ‘jika saya merampas bola ini, mereka akan ‘menghancurkan’ saya dengan memburu saya segera’.”

“Secara mental pasukan yang berhadapan dengan mereka sudah tewas kerana mereka risau pasukan City dan Liverpool akan menguji kecergasan dan keupayaan teknikal serta apa sahaja yang mereka ada.”

Sebagai rekod, Chelsea dan Liverpool ketika itu bermain dengan 3 pertahanan dalam perlawanan seri 1-1 di Stamford Bridge.

Chelsea: N’Golo Kante (5’6”), Jorginho (5’11”), Mateo Kovacic (5’10”).

Liverpool: James Milner (5’9”), Jordan Henderson (6’0”), Georginio Wijnaldum (5’9”).

Pada hari yang sama, Manchester United tewas di tangan West Ham juga dengan 3 pemain tengah iaitu: Paul Pogba (6’3”), Nemanja Matic (6’4”) dan Marouane Fellaini (6’4”).

3 pemain yang sama menjadi trio tengah ketika Man. United tewas di tangan Watford 2-1 pada 15 September. Beberapa jam selepas kekalahan United itu, Man. City menang 5-0 ke atas Fulham dengan trio tengah: Fernandinho (5’10”), Bernardo Silva (5’8”) dan David Silva (5’8”).

Strachan mengakui Mourinho antara pengurus terbaik dalam sejarah bola sepak dengan 8 kejuaraan liga di beberapa negara serta 2 UCL. Gary Neville yang dikenali dengan sikapnya yang suka mempertahankan Mourinho berbanding dengan legenda United yang lain – turut mendefinisikan gaya permainan United sebagai keras dan lasak.

Manchester United manager Jose Mourinho (left) and Tottenham Hotspur manager Mauricio Pochettino during the Premier League match at Old Trafford, Manchester. (Photo by Nick Potts/PA Images via Getty Images)

Strachan – yang bermain untuk United dari 1984-1989 – berkata: “Beberapa bulan lalu, saya pernah berkata, ini adalah pasukan Man. United yang paling besar [saiz badan] yang pernah saya tengok dalam hidup. Ianya bermula tahun lalu [musim kedua] apabila Jose menyatakan misi seterusnya adalah untuk memenangi liga.”

Strachan berpendapat, Jose Mourinho bukannya tactician yang tidak bagus cuma beliau terlalu ego untuk mengubah pendekatan supaya menjadi seperti Guardiola, Klopp mahupun Pochettino.

Sarri, Unai Emery, Klopp, dan Guardiola antara pengurus yang sangat terbuka memberikan apresiasi antara satu sama lain dan ada antara mereka secara terangan mengakui belajar daripada sesama mereka.

Pep Guardiola pernah menyatakan beliau kagum dengan sistem serangan Klopp. Pada awal musim ini beliau menyatakan City akan mengubah pendekatan supaya tidak terlalu segera dalam menyerang Liverpool kerana itu yang membuatkan mereka sakit pada musim lalu.

Dalam dokumentari Manchester City yang diterbitkan tahun ini, Guardiola dengan terang-terangan menganggap Liverpool pasukan daripada planet lain apabila menyerang. Dan dokumentari yang sama pencerita menganggap pertarungan di antara City dan Man. United sebagai pertarungan pasukan bermain cantik menentang pasukan parkir bas.

Real Madrid’s Portuguese coach Jose Mourinho (L) shakes hands with Barcelona’s coach Josep Guardiola (R) during the Spanish League “El clasico” football match Barcelona vs Real Madrid at the Camp Nou stadium in Barcelona on April 21, 2012. AFP PHOTO/JAVIER SORIANO (Photo credit should read JAVIER SORIANO/AFP/Getty Images)

Maurizzio Sarri dengan terbuka menyatakan beliau banyak belajar daripada Guardiola dan sistem Klopp ketika dalam fasa pembentukan taktikal moden di Napoli. Guardiola pada musim lalu pernah menganggap Sarri (sebelum datang ke Chelsea) sebagai rujukan beliau dalam beberapa perkara berkaitan taktikal.

Apa yang dilakukan Mourinho? Ketika media menyatakan ramai pengurus moden ini telah menjadikan EPL seronok ditonton, beliau cuba menjadi perosak kepada sistem itu dengan cara ‘frustrating the opponent’.

Bagi beliau melihat pengurus lain tidak mendapat kemenangan adalah satu kepuasan. Mourinho pernah melabel Spurs sebagai bermentaliti kecil kerana meraikan seri.

Namun ketika beliau parkir bas di Anfield dan mendapat seri, beliau menyatakan Liverpool patut kecewa kerana tak dapat gol. Ada peminat Man. United kecewa apabila ada yang melabel Mourinho ketika itu menunjukkan masterclass beliau. Di mana masterclass?

Mourinho lebih kepada bola sepak negatif yang mahu membuatkan lawan beliau tertekan dan hanya cuba menang dengan cara membuli lawan beliau dengan fizikal dan serangan balas.

Dan Liverpool meraikan kemenangan 3-1 pada Ahad lalu, seolah-olah satu keadilan bagi Liverpool yang sentiasa tampil dengan corak permainan menyerang – menjadi pasukan yang mahu bermain bola. Sebelum ini beberapa kali Mourinho mendapat kemenangan ataupun menghalang Liverpool menang dengan cara pasif.

Beliau bukan tak boleh mengarahkan pasukannya bermain ofensif. Lihat apa yang beliau lakukan kepada City musim lalu dan juga ketika menentang Juventus di Turin, beliau mampu bermain dengan sistem ofensif. Cuma kadangkala ego beliau mahu melihat pasukan lain menderita untuk berhadapan dengan sistem permainan fizikal dan pasif.

Sebab itu dalam analisis kami tentang Fabinho kami menjelaskan bagaimana Mourinho sebenarnya ‘overrated’ sebagai jurulatih defensif dan ‘underrated’ sebagai jurulatih ofensif.

Ego Mourinho

Strachan menyatakan: “Ego Mourinho [tak mahu belajar taktikal moden] membuatkan beliau tidak relevan dan ketinggalan zaman. Beliau cuba membentuk pasukan juara dengan cara pasukan Liga Championship.”

“Pemain kecil lebih cepat dan luas kawasan mereka boleh ‘cover’, ini penting untuk bermain high-pressing, hantaran cepat seperti diamalkan Guardiola Klopp dan Maurizio Sarri.”

“Kita dahulu selalu percaya, pasukan yang kuat dan lasak akan mampu menjuarai liga. Namun ianya kini sudah berubah. Padang hari ini lebih baik tak macam dahulu, rumput lebih baik, maka keupayaan teknikal serta kelincahan akan menjadi aset penting berbanding fizikal yang besar.”

“Keupayaan teknikal dan tenaga dinamik dimiliki oleh Manchester City dan Liverpool secara terang-terangan memberikan Jose masalah utama.”

Agak menarik kerana Jose Mourinho dalam sidang media terakhir selepas perlawanan menentang Liverpool menggariskan perkara yang sama. Mourinho berkata: “Liverpool lebih laju, intensif dan lebih fizikal. Kami gagal untuk mengekang mereka ketika intensiti permainan mereka menjadi tinggi.”

Strachan juga menyatakan Mourinho ego untuk belajar falsafah seperti Guardiola kerana tidak mahu menerima orang lain lebih baik daripada beliau. Mourinho pernah menyindir dalam EPL, beliau ada 3 EPL dan 19 pengurus lain cuma ada 2 (ketika itu Ranieri belum menyertai Fulham).

Berikut adalah susunan pasukan dengan purata paling tinggi di EPL musim 2018/19 dalam unit sentimeter.

1. Huddersfield (185.45)
2. Manchester United (185.02)
3. Watford (184.54)
4. Crystal Palace (184.08)
5. West Ham (183.55)
6. Southampton (183.27)
7. Brighton (182.99)
8. Newcastle (182.85)
9. Tottenham (182.78)
10. Cardiff City (182.64)

Dan ini pula ranking pasukan dengan purata pemain paling rendah musim 2018/19 dalam unit sentimeter.

1. Bournemouth (179.64)
2. Manchester City (179.81)
3. Everton (180.15)
4. Liverpool (180.36)
5. Leicester City (181.28)
6. Chelsea (181.61)
7. Fulham (181.72)
8. Wolves (181.92)
9. Arsenal (181.96)
10. Burnley (182.02)

Rumusan

Dalam bola sepak, kemenangan dan kejuaraan adalah sangat penting. Namun jika ianya dicapai dengan cara bermain yang stabil dan DNA bola sepak yang baik, ianya akan memberikan legasi dan hayat yang lebih lama seperti mana dilakukan oleh pasukan seperti Barcelona.

Itu yang Jose Mourinho gagal terapkan di Man. United. Beliau memenangi Europa League dan piala domestik bersama Man. United – namun gagal membentuk pasukan yang ada sistem permainan lebih stabil dan mantap.

Sebab sekarang ini kita bercerita tentang Man. United. Salah satu sebab Mourinho dilantik adalah untuk membentuk DNA bola sepak selepas era Sir Alex Ferguson.

Kini Man. United dalam pencarian pengurus baharu. Adakah mereka akan mencari yang berfalsafah rigid seperti Mourinho ataupun yang berfalsafah lebih moden dengan sistem permainan ‘high pressing’.

Pemilihan pengurus yang tepat sangat penting untuk memastikan Man. United ada ‘bahasa’ bola sepak yang sama serta stabil – mereka gunakan selepas ini.

Sebelum ini jarak 16 mata dengan Man. City, pasukan Man. United berada di tangga ke-2. Hari ini 19 mata dengan pendahulu, mereka berada di tangga ke-6. Unai Emery berkata: “Kami 22 perlawanan tak kalah tetapi masih berada di tangga ke-5. Kenapa? Sebab pesaing kami lebih baik.”

Dan daripada kenyataan itu kita akui pasukan seperti Chelsea, Liverpool, Spurs dan Arsenal telah meningkatkan kualiti mereka dengan signifikan musim ini. Man. United pula agak perlahan.

Walaubagaimanapun, Mourinho tetap antara pengurus terbaik dalam bola sepak terutama di peringkat kelab Eropah. Beliau pernah mencetuskan revolusi di Porto, Chelsea dan Inter Milan. Beliau juga memberikan beberapa trofi kepada Real Madrid dan Man. United. Cuma kini beliau bergelut untuk berhadapan dengan sistem bola sepak ‘high pressing’ daripada seteru beliau.

Selamat tinggal sekali lagi Jose Mourinho.

Leave a Reply