Gol pembukaan Robert Lewandowski yang dihasilkan menerusi sepakan penalti pada pertemuan menentang Union Berlin awal pagi tadi menyaksikan penyerang kelahiran Poland tersebut telah melakarkan jaringan ke-26 dalam saingan Bundesliga.
Jaringan itu juga terus meletakkannya kukuh di kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak Bundesliga, berkelebihan lima gol meninggalkan penyerang RB Leipzig, Timo Werner.
Melihatkan kepada aksi liga yang masih berbaki lapan perlawanan, pengurus Bayern Munich, Hans-Dieter [Hansi] Flick mencabar anak buahnya itu untuk memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam semusim dihasilkan legenda Jerman, Gerd Muller.
Muller yang kini berusia 74 tahun berjaya menjaringkan 40 jaringan dalam saingan Bundesliga 1971/72 dan lebih signifikan beliau pada ketika itu turut menyarung jersi Bayern Munich.
”Lewy [Lewandowski] memberikan kesan yang baik, saya merasakan dia berada dalam prestasi terbaiknya,” ujar Flick menurut laporan Goal.
”Hari ini kami gagal melibatkannya dengan baik dengan corak permainan kami dan kami perlu untuk melakukan yang lebih baik terhadap corak menyerang.”
”Dia sekali lagi menjaringkan gol, iaitu gol ke-26 dan masih mempunyai baki lapan perlawanan buatnya untuk memecahkan rekod Gerd Muller.”
”Bukanlah satu perkara yang mudah tetapi dia mempunyai kualiti tersebut. Jika seseorang mampu untuk melakukannya, dialah orangnya,” tambah Hansi Flick lagi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Berlin awal pagi tadi, Bayern Munich menundukkan tuan rumah dengan keputusan 2-0 dengan Benjamin Pavard melengkapkan kemenangan tersebut hasil jaringan pada minit ke-80.
Dengan kemenangan ke-18 yang dicatatkan, Bayern Munich kini telah mengumpul 58 mata untuk berada di puncak liga. Borussia Dortmund yang menghuni tangga kedua ketinggalan empat mata dibelakang.