Steve Bruce: Saya Akan Hormati Sekiranya Ada Pemain Enggan Beraksi

Steve Bruce

Pengurus Newcastle United, Steve Bruce mendedahkan beliau akan menghormati keputusan sekiranya terdapat pemain The Magpies yang enggan beraksi apabila saingan Liga Perdana Inggeris kembali bersambung nanti.

Dengan kempen liga dikatakan akan kembali bersambung pada 12 Jun nanti, terdapat segelintir pemain yang melihat keputusan tersebut sebagai tergesa-gesa untuk melihat bola sepak di England kembali bersambung.

Dengan pemain-pemain seperti Sergio Aguero, Willian, Troy Deeney serta pemain Newcastle United sendiri iaitu Danny Rose mempersoalkan mengenai perkara tersebut, Bruce nampaknya seperti boleh bertolak ansur dengan kerisauan dalam kalangan anak buahnya.

”Kami telah mendengar apa yang diperkatakan dan dengan langkah berjaga-jaga yang diambil, kami akan kembali bekerja dan memulakan fasa pertama.”

”Bolehlah kami mencapai tahap di mana kami akan memiliki semua pemain di atas padang bersama-sama? Kami tidak mengetahuinya lagi,” ujar Bruce menurut laporan dikeluarkan Goal.

Embed from Getty Images

”Fasa pertama adalah merupakan latihan kecergasan, empat atau lima pemain di atas padang [sesi latihan]. Mari kita saksikan bagaimana ia berjalan [dan diharapkan tidak ada pemain yang terkena jangkitan].”

Dalam pada itu, Bruce turut mengakui memerlukan masa bagi mempersiapkan pasukan sebelum saingan kembali bersambung.

”Kami memerlukan persiapan secukupnya untuk membuatkan para pemain kembali kepada keadaan yang baik.”

”Sebahagian besar pengurus menghadapi kerisauan yang sama. Kami memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu. Saya tidak melihat bagaimana kami boleh beraksi sehingga penghujung Jun.”

”Sekiranya terdapat pemain yang enggan untuk dimasukkan atau beraksi, saya mempunyai rasa simpati terhadapnya dan akan memahami keadaan tersebut. Sebilangan besar pemain saya amat gembira dengannya [liga kembali bersambung].”

”Juga terdapat perbincangan ketua pasukan diadakan pada tempoh hari dan sebagai skuad, mereka gembira dengan langkah-langkah yang bakal diambil. Anda perlu menghormati pendapat setiap orang mengenai perkara itu,” ujar Bruce lagi.

Kredit featured image: Paul Harding/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Steve Bruce dan Newcastle United:

Leave a Reply