Bundesliga 2019/20: Lewandowski Catat Sejarah Baru Bundesliga, Hoffenheim Terus Mengaum

Robert Lewandowski muncul pemain pertama dalam sejarah Bundesliga yang menjaringkan gol sembilan perlawanan berturut-turut sejak permulaan musim dalam perlawanan yang menyaksikan Bayern Munich menundukkan Union Berlin 2-1 di Allianz Arena.

Bayern yang gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terkahir Bundesliga memulakan perlawanan dengan semangat dan keyakinan yang tinggi. Seawal minit ke-13, Bayern Munich sudah di depan menerusi Benjamin Pavard.

Sepakan percuma yang diambil Joshua Kimmich ditumbuk keluar penjaga gol, Rafal Gikiewicz, tetapi Pavard yang meluru masuk ke dalam kotak penalti melepaskan rembatan voli melepasi semua pemain pertahanan pasukan pelawat.

Bermula babak kedua, Lewandowski menjaringkan gol ke-19 peribadinya musim ini menerusi gerakan solo pada awal separuh masa kedua sekaligus memadam rekod milik Pierre Americk-Aubameyang pada musim 2015/16 yang menjaringkan gol dalam 8 perlawanan awal liga.

Beliau telah pun mengumpul 13 gol dari sembilan perlawanan Bundesliga serta 24 gol dari 16 perlawanan dalam semua pertandingan. Lewandowski kini menyasarkan untuk memecahkan rekod milik Gerd Muller yang menjaringkan 40 gol pada musim 1971/72.

Kemenangan ini meletakkan kembali Bayern Munich di takhta Bundesliga, satu mata mengatasi Freiburg yang menewaskan RB Leipzig 2-1. Borussia Monchengladbach dan Wolfburg berpeluang untuk merebut dua tempat teratas sekiranya mereka memenangi perlawanan pada Ahad.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Bundesliga menyaksikan Hoffenheim meneruskan momentum kemenangan mereka dengan menewaskan Hertha Berlin 3-2 di Stadium Olympia.

Hertha Berlin turun dalam perlawanan ini dengan rekod buruk hanya satu kemenangan dari 11 pertemuan berdepan Hoffenheim.

Pemain yang dipinjam dari Brighton, Jurgen Locadia memulakan perlawanan buat kali pertama musim ini dan beliau meledak gol pembukaan buat Hoffenheim selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Lima minit kemudian giliran Andrej Kramaric meneruskan rentak cemerlangnya dengan menanduk masuk gol kedua untuk memberikan kelebihan selesa kepada skuad kendalian Alfred Schreuder itu. Gol tersebut merupakan yang kedua Kramaric dalam dua perlawanan liga sejak pulih dari kecederaan.

10 minit selepas bermula babak kedua, Hertha bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan akrobatik Dodi Lukebakio dan kemudian jaringan Solomon Kalou pada minit ke-69.

Namun berbaki 10 minit masa perlawanan, Benjamin Hubner muncul wira pasukan pelawat dengan tandukan kencang untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Lima minit kemudian, Vladimir Darida ditunjukkan kad kuning kedua sekaligus merencatkan usaha tuan rumah mencari gol penyamaan.

Tamat permainan, Hoffenheim mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Bundesliga dan melonjak ke tangga ke-10, hanya ketinggalan empat mata dari pendahulu liga, Bayern Munich.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN