11 Peristiwa Bersejarah Dalam Bola Sepak Malaysia Sepanjang Tahun 2017

Tahun ini kita telah menyaksikan pelbagai kejayaan dalam bola sepak Malaysia berjaya dikecapi meskipun dilanda prestasi buruk skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Sebelum memasuki tahun 2018, mari kita imbas kembali 11 peristiwa bersejarah yang melibatkan kejayaan di peringkat liga domestik dan saingan antarabangsa.

1. JDT layak ke peringkat play-off AFC Champions League 2017

Wakil Malaysia dalam saingan AFC Champions League (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah dalam bola sepak Malaysia apabila berjaya menempah tiket ke peringkat play-off selepas menewaskan Bangkok United pada pusingan kedua kelayakan ACL.

Farizal Marlias muncul wira JDT apabila menyelamatkan dua sepakan penalti ketika Harimau Selatan mencatat kemenangan menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 1-1.

Kemenangan itu melayakkan JDT untuk mara ke perlawanan playoff bertemu kelab gergasi Jepun, Gamba Osaka pada 7 Februari 2017. Ini adalah percubaan ketiga JDT untuk menempah tempat dalam kelompok 24 pasukan terbaik Asia di kancah ACL.

Walaubagaimanapun, harapan JDT bersaing dalam ACL buat kali pertama musim ini, musnah selepas tewas 0-3 kepada Gamba Osaka pada perlawanan play-off di Stadium Bola Sepak Bandaraya Suita, Osaka.

Berikutan kekalahan itu, skuad bimbingan Benjamin Mora itu terpaksa sekali lagi akan bersaing dalam Piala AFC untuk tahun ketiga berturut-turut.

Namun begitu, walaupun tewas, ia adalah satu kejayaan besar buat bola sepak negara dan pencapaian wakil Malaysia dalam saingan itu wajar dibanggakan.

2. Faiz Subri, pemain Malaysia yang pertama di dunia julang anugerah PUSKAS FIFA

Penyerang sensasi Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri melakar sejarah bola sepak negara dan asia selepas dinobatkan selaku pemenang Anugerah PUSKAS Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 10 Januari 2017.

Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu melakukan jaringan yang menggegar dunia bola sepak antarabangsa itu ketika aksi Liga Super bertemu Pahang di Stadium Bandaraya pada bulan Februari 2016.

Jaringan ajaib itu berpunca daripada sepakan percuma yang melencong seperti ‘banana kick’ disifatkan ‘melanggar hukum fizik’ itu membolehkan penyerang berusia 30 tahun itu meraih anugerah jaringan terbaik itu pada Malam Anugerah FIFA di Zurich, Switzerland.

Anugerah terbabit disampaikan oleh legenda bola sepak Brazil, Ronaldo sekali gus menyaksikan kemenangan ini meletakkan Mohd Faiz sebaris dengan pemain ternama yang pernah merangkul anugerah terbabit seperti Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Kemenangan ini juga menyaksikan bapa kepada dua cahaya mata itu mengetepikan dua pencabarnya, Marlone dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Keputusan itu sememangnya sudah dijangka terutama selepas melihat sokongan padu daripada penyokong bola sepak dunia yang terbukti selepas video jaringannya di laman Youtube FIFA kekal mendahului saingan sehingga hari terakhir pengundian.

Jaringannya itu juga dianggap terlalu istimewa dan ajaib apabila sukar untuk dihasilkan semula berbanding dua jaringan pencabarnya yang dilihat kerap kali dilakukan oleh pemain bola sepak profesional sebelum ini.

Selain muncul selaku pemain asia pertama yang mara ke peringkat itu, Mohd Faiz turut mencipta kejutan apabila menewaskan jaringan yang dilakukan beberapa bintang ternama termasuk duo penggempur Barcelona, Lionel Messi serta Neymar.

3. TMJ diisytiharkan sebagai Presiden FAM yang baharu

Era baharu sejarah bola sepak Malaysia bermula apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Kongres ke-53 FAM di Hotel Hilton Petaling Jaya pada 25 Mac 2017.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah diangkat sebagai Presiden FAM baharu selepas menang tanpa bertanding selepas pencabar Tan Sri Annuar Musa menarik diri pada saat akhir.

Dalam sidang media selepas kongres, TMJ berkata yang masa untuk berkerja telah pun bermula. Baginda sudah mempunyai beberapa rancangan jangka pendek dan juga panjang dalam merangka semula struktur bola sepak negara.

Selain itu juga, baginda akan merangka perkara-perkara yang perlu demi kebaikan skuad kebangsaan. TMJ juga menyifatkan peminat adalah cabaran terbesar baginda. Hal ini kerana baginda mahu pastikan setiap perkara yang dilakukan dapat menepati kehendak peminat bola sepak negara.

Baginda juga akan bercakap dengan menteri besar dan ketua menteri untuk menyediakan padang latihan untuk pasukan negeri di Malaysia.

TMJ juga berharap agar setiap pasukan akan membayar gaji pemain tepat pada waktu dan mula mengadakan program pembangunan akar umbi mereka sendiri.

4. Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya

Penantian penyokong bola sepak tanah air untuk mengetahui siapa yang bakal menduduki kerusi panas jawatan Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada mengisi posisi tersebut pada 24 Mei 2017.

Eduardo yang lebih dikenali sebagai Nelo Vingada, berasal dari Portugal dan mempunyai rekod yang baik sebagai jurulatih beberapa negara kuasa besar bola sepak Asia, antaranya Arab Saudi, Jordan dan Iran.

Jurulatih yang berusia 64 tahun itu pernah membimbing beberapa kelab terkemuka Asia seperti Seoul FC (Korea Selatan), Persepolis FC (Iran) dan Dalian Shide FC (China). Paling terbaharu, Vingada membawa kelab NorthEast United FC ke tempat kelima dalam Liga Super India.

Walaugaimanapun, tidak sampai setahun, jurulatih itu mengumumkan perletakan jawatan selepas skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi buruk dan gagal mencatat sembarangan kemenangan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015.

Menurut kenyataan rasmi dari laman facebook FAM, Vingada membuat keputusan itu setelah berbincang dengan presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Selain Vingada, pembantunya turut melepaskan jawatan mereka selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad Harimau Malaya.

Dua pembantu jurulatih tempatan iaitu Tan Cheng Hoe dan Azmin Azram Abdul Aziz masih kekal dengan jawatan mereka selaku penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol dalam skuad kebangsaan. Tak lama kemudian, Tan Cheng Hoe dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

5. Skuad Malaysia B-23 muncul sebagai naib juara Sukan SEA 2017 dan layak secara merit ke AFC U23 Championship

Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018

Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun mencipta sejarah tersendiri pada tahun ini apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak sukan SEA. Namun begitu, hajat untuk mengulangi pencapaian memenangi pingat emas temasya Sukan SEA 2011 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam.

Selain terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee juga gagal menebus kekecewaan temasya sama pada tahun 2001 yang menyaksikan Malaysia turut tewas 0-1 kepada Thailand.

Walaubagaimanapun, kegagalan itu tidak begitu dirasai kerana skuad negara turut mencipta sejarah layak ke kejohanan AFC U23 Championship secara merit buat pertama kali dalam sejarah penganjuran kejohanan itu.

Lebih membanggakan mereka mengesahkan tiket ke pusingan akhir kejohanan tersebut selepas muncul sebagai juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand, Julai lepas.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan tersebut dengan enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan sekaligus menempah tiket ke China.

6. Skuad Malaysia B-19 muncul sebagai naib juara Piala AFF dan layak secara merit ke AFC U19 Championship

Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun turut mencipta sejarah apabila merangkul gelaran naib juara kejohanan Piala AFF bawah 19 tahun.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak itu tewas 2-0 pada aksi akhir bertemu Thailand di Stadium Thuwunna, Yangon pada 17 September 2017.

Namun begitu, ia merupakan pencapaian yang membanggakan dan dianggap terbaik selepas kali terakhir Malaysia bergelar naib juara pada tahun 2007.

Untuk rekod, gelaran naib juara ini merupakan yang kelima selepas tahun 2003, 2005, 2006 dan 2007.

Lebih membanggakan lagi, skuad itu juga telah berjaya mengesahkan tempat ke pusingan akhir kejohanan AFC B19 Championship 2018, apabila berjaya untuk berada pada kedudukan ke 5 naib juara terbaik pada pusingan kelayakan.

Malaysia terpaksa menunggu sehingga tamat perlawanan diantara Arab Saudi bertemu Yemen, dan kemenangan 2-1 Arab Saudi telah berjaya menyekat peluang Yemen dan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk mengisi slot terakhir ke Indonesia tahun hadapan.

Kejohanan AFC B19 Championship akan berlangsung pada 18 Oktober hingga 4 November 2018 di 5 buah bandar Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Bekasi, Cibinong dan Cikarang, disertai oleh 16 buah negara yang telah layak.

4 pasukan terbaik yang berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir secara automatik mengisi slot ke Piala Dunia B20 sebagai wakil Asia yang akan berlangsung samada di India, Kenya atau Poland.

7. Trofi baharu Liga Super diperkenalkan

Saingan Liga Super Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila trofi baharu diperkenalkan oleh badan pengendali liga, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada 19 September 2017.

Piala baharu seberat 20 kilogram ini diperbuat daripada tembaga, perak dan emas tulen 24 karat bernilai RM150,000 dengan ketinggian 63.3 sentimeter (sm) serta berdiameter 25.2 sm di bahagian tapak itu direka khas oleh tukang emas Diraja Johor sebelum diperkenalkan di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, langkah FMLLP memperkenalkan piala baharu itu adalah wajar dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti Liga Malaysia (Liga M).

Tunku Ismail yang juga Pengerusi FMLLP turut berkata, penambahbaikan bukan sahaja membabitkan piala, sebaliknya program akar umbi perlu diperkemaskan selain hak penyiaran yang bakal memberi pulangan kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab.

Pengenalan piala baharu bagi menggantikan Piala Liga Super yang sudah berusia 13 tahun dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi.

Turut hadir Setiausaha Agong FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Ekskutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Kevin menegaskan perancangan untuk mencipta piala baharu dilakukan sejak tahun 2015 selepas FMLLP ditubuhkan bagi menyelaras saingan Liga M dan tiada kena mengena dengan kejayaan JDT menjuarai Liga Super untuk musim keempat berturut-turut.

8. JDT cipta rekod sebagai pasukan pertama menjuarai Liga Super kali-4 berturut-turut

Liga Super

Sekali pun tunduk 1-2 kepada Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Sela­yang, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap berupaya menjulang kejuaraan Liga Super 2017 lebih awal apabila pencabar terdekatnya, Kedah ditewaskan Pahang 1-2.

JDT yang juga melakar gela­ran hatrik pada musim lepas, dinobatkan juara Liga Super kali keempat berturut-turut sejak 2014 apabila memungut 45 mata pada ketika saingan berbaki tiga perlawanan.

Kejayaan JDT menjuarai Liga Super 2017 turut mencuri tumpuan dunia selepas menerima ucapan tahniah yang dipancarkan di papan iklan semasa siaran langsung perlawanan Chelsea menentang Nottingham Forest.

Pada aksi di Stamford Bridge itu, ucapan tahniah berkenaan dapat dilihat dengan jelas ketika perlawanan pusingan tiga Piala Liga Inggeris menerusi penaja kejohanan, iaitu Carabao.

JDT turut raih gelaran juara Piala Malaysia musim ini setelah menewaskan Kedah di perlawanan akhir.

9. FMLLP memperkenalkan 5 slot pemain import

Liga Malaysia mengalami perubahan apabila badan pengendali liga, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP)  mengumumkan penambahan kuota pemain import kepada lima de­ngan tiga pemain bebas dan satu pemain masing-masing dari Asia dan ASEAN bagi saingan Liga Super musim depan.

Menurut FMLLP, pasukan Liga Perdana pula dibenarkan memiliki empat pemain asing, satu daripadanya adalah kuota dari Asia yang mana pemain-pemain asing itu sama ada Liga Super atau Liga Perdana harus memiliki 30 kaps di pentas antarabangsa.

Bagi pemain yang tampil kurang daripada 30 kali untuk pasukan negara masing-masing, pemain asing ASEAN tersebut hanya dibenarkan beraksi di Liga Malaysia selepas mendapat pelepasan daripada pihak FMLLP.

Bagi saingan 100Plus Liga Premier, jumlah 4 pemain asing yang ada pada musim sebelum ini akan dikekalkan untuk saingan pada musim hadapan.

Untuk saingan yang adil di peringkat pertandingan Piala FA dan juga Piala Malaysia, hanya maksimum 4 pemain asing sahaja dibenarkan untuk beraksi walaupun pasukan dari Liga Super telah mendaftarkan 5 pemain sebelum itu.

FMLLP turut mengesahkan peraturan ini akan digunapakai di dalam saingan Liga Malaysia untuk 4 musim yang akan datang, sehingga musim 2021 berakhir.

10. Penstrukturan semula Liga Malaysia kepada 5 divisyen

Liga Malaysia sudah mula melakar sejarah apabila badan pengendali liga, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah menganjurkan taklimat mengenai Liga Divisyen 4 dan Divisyen 5 Malaysia di Shah Alam dengan kehadiran wakil Persatuan Bolasepak Negeri dan juga penganjur liga-liga sosial.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Dato Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM merangkap Ahli Lembaga pengarah FMLLP.

Taklimat tersebut diadakan untuk menjelaskan cadangan struktur liga Malaysia yang akan ditambah kepada 5 divisyen menjelang pada tahun 2020.

Menurut FMLLP, untuk permulaan bagi tahun 2018, 24 liga akan mula dijalankan di setiap negeri yang mana ia akan membentuk Liga M5 (Divisyen 5).

Liga Negeri dan Liga Sosial Negeri yang bertanding dalam Liga M5 akan ditentukan kemudian.

Juara setiap Liga Negeri dan Liga Sosial Negeri masing-masing dalam Liga M5 pada tahun 2018 akan layak secara automatik ke Liga M4 (Divisyen 4) yang akan bermula pada tahun 2019 dengan jumlah pasukan sebanyak 24 pasukan (Juara setiap liga).

Bermula pada tahun 2020, proses promosi dan relegasi akan mula berjalan setelah piramid tersebut lengkap sepenuhnya bermula dari LM5 sehingga ke Liga Super (Divisyen 1).

Selain itu, peminat bola sepak tempatan bakal menyaksikan pengenalan sebuah lagi pertandingan piala domestik baru bermula musim 2018 yang bakal disertai oleh pasukan-pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia.

Pertandingan piala baru itu yang dicadangkan namanya sebagai ‘Piala Cabaran’ itu diwujudkan untuk mengisi beberapa kekosongan dalam kalendar bola sepak tempatan. Ini berikutan keputusan FMLLP untuk kembali mengasingkan saingan Piala Malaysia daripada Liga Super/100PLUS Liga Premier.

Sebelum ini selama dua musim (2016 dan 2017), FMLLP bertindak menganjak tarikh saingan Liga Super dan 100PLUS Liga Premier sehingga bulan Oktober untuk memastikan pasukan yang tidak layak/tersingkir awal daripada Piala Malaysia masih mempunyai perlawanan kompetitif sehingga hujung tahun.

11. Malaysia dapat slot automatik ke AFC Champions League 2019/2020

Satu lagi sejarah dalam bola sepak Malaysia dilakar apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan satu slot ke AFC Champions League milik Malaysia berdasarkan kemaskini kedudukan terbaru AFC MA Ranking pada bulan November 2017.

Menurut kedudukan ranking tersebut, Hong Kong gagal memintas Malaysia dan kekal di kedudukan ke 7 diperingkat Asia Timur dengan perbezaan 0.2649 mata.

Dengan kedudukan ini, bermakna Malaysia akan menerima 1 slot automatik ke peringkat kumpulan dan 1 slot kelayakan pusingan kedua dalam saingan AFC Champions League 2019 dan 2020.

Itu juga bermakna juara liga super 2018 akan layak secara merit ke kejohanan AFC Champions League 2019 manakala juara Piala FA mungkin akan menerima slot kelayakan pusingan kedua.

Selain itu, dengan terimanya slot automatik ini, Malaysia tidak akan bertanding lagi dalam saingan kelas kedua, AFC Cup mulai tahun 2019.

Hal ini kerana menurut peraturan yang ditetapkan oleh pihak AFC, mana-mana MA yang menerima sekurang-kurangnya 1 slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Champions League tidak akan beraksi dalam saingan AFC Cup.

Namun begitu, pasukan liga super yang ingin beraksi dalam saingan AFC Champions League perlu mempunyai lesen AFC terlebih dahulu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN