Valencia mengesahkan seorang lagi pemain mereka bakal meninggalkan Mestalla apabila penyerang, Rodrigo Moreno sudah memeterai perjanjian untuk menyertai pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United.
Perpindahan Rodrigo ke Elland Road bernilai £27 juta itu menyaksikan beliau mengikut jejak langkah tiga pemain utama Valencia, Ferran Torres, Dani Parejo dan Francis Coquelin yang turut melangkah pergi meninggalkan Los Murcelagos.
Perkembangan terkini itu disahkan oleh Valencia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab La Liga itu.
”Valencia telah mencapai persetujuan awal bersama Leeds United pada Selasa untuk perpindahan pemain kami, Rodrigo Moreno, dalam fasa untuk melengkapkan segala dokumentasi dan formaliti serta melepasi pemeriksaan kesihatan wajib.”
”Valencia ingin mengucapkan terima kasih atas segala komitmen dan usaha selama enam musim, di mana dia telah bermain keseluruhan 220 permainan, menjaringkan 59 gol dan membantu kami memenangi satu piala [Copa del Rey 2018/19].”
”Valencia mendoakan semoga yang terbaik buatnya bagi menghadapi cabaran baharu dalam kariernya.”
Di pentas antarabangsa pula, pemain kelahiran Rio de Janeiro telah membuat 22 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol dan berjaya menjaringkan lapan gol.
Valencia yang menamatkan kempen La Liga 2019/20 di tempat kesembilan itu terpaksa melepaskan para pemainnya secara borong ekoran masalah kewangan serius dihadapi impak daripada serangan wabak COVID-19.
Ia disulitkan lagi dengan masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan Valencia terpaksa membayar gaji pemain dengan nota janji hutang (IOU) iaitu dengan membayar gaji secara janji bayar pada tarikh kemudian.
Kaedah tersebut bagaimanapun tidak diterima dengan baik oleh para pemain selepas satu pertemuan diadakan di antara mereka dengan Pengarah Kewangan Valencia, Inma Ibanez sebelum sesi latihan pada 17 Ogos lalu.
Kredit featured image: David Aliaga/MB Media/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Valencia: