Parejo, Coquelin Dijual Murah, Kemarahan Penyokong Kepada Pemilik Valencia Terus Memuncak

Parejo Coquelin Villareal Valencia

Tidak sampai 24 jam berita penghijrahan Francis Coquelin ke Villareal, penyokong Valencia dikejutkan pula dengan perpindahan kapten pasukan, Dani Parejo ke kelab yang sama sekaligus mengakhiri khidmatnya selama sembilan tahun di Mastella sehingga dilantik menjadi ketua pasukan.

Namun apa yang mencuri perhatian adalah ‘harga borong’ yang dibayar oleh Villareal untuk mendapatakan kedua-dua pemain tersebut yang dikatakan hanya sekitar €13 juta (RM64 juta). Parejo dan Coquelin dilaporkan telah menandatangani kontrak selama empat tahun di El Madrigal.

Valencia sebelum ini telah menjual pemain muda sensasi mereka, Ferran Torres kepada Manchester City pada minggu lepas juga dengan harga yang dianggap murah iaitu hanya £20.8 juta (RM113 juta).

Perkembangan ini telah membuatkan tekanan kepada pemilik kelab Peter Lim kini mula memuncak dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan komitmen jutawan Singapura itu. 

Legenda kelab, Santiago Canizares turut bersuara dan menyatakan kebimbangannya apabila pihak pengurusan dilihat terlalu mudah melepaskan dua pemain tengah terbaik mereka kepada seteru La Liga yang sudah tentu akan menyusahkan pengurus baharu mereka, Javi Garcia.

Namun pihak pengurusan kelab sebelum ini pernah memaklumkan pasukan itu kini sedang menghadapi masalah kewangan terutamanya apabila berlaku krisis pendemik COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh dunia.

Parejo yang pernah menyatakan hasratnya untuk bersara di Mestalla telah beraksi sebanyak 383 kali untuk Valencia sejak menyertai pasukan itu dari Getafe pada 2011 dan telah mencetak 63 gol serta menyumbang 62 bantuan jaringan.

Sebelum ini Ferran Torres telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak apabila menuduh Parejo bukan kapten yang baik dan mahu ‘merampas’ jawatan kapten daripada pemain berusia 31 tahun itu berikutan hubungan dingin di antara mereka berdua.

Villareal akan beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan di bawah kendalian pengurus baharu, Unai Emery dan turut berjaya mendapatkan bintang muda Jepun, Takefusa Kubo secara pinjaman dari Real Madrid.

Kredit Foto: Villareal CF

Baca juga artikel kami yang lain megenai Valencia dan Villareal:

Leave a Reply