UCL 2019/20: Impak Choupo-Moting Bantu PSG Musnahkan Harapan Atalanta

PSG Atalanta

Dua jaringan yang cukup dramatik pada lewat permainan telah membawa Paris Saint-Germain (PSG) ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 setelah berjaya menundukkan Atalanta 2-1 pada aksi suku akhir di Estadio da Luz, Lisbon sebentar tadi.

Semangat juang tinggi ditampilkan para pemain PSG terutamanya pada separuh masa kedua sememangnya menjadi topik perbualan pada perlawanan ini.

Corak permainan menarik disajikan kedua-dua pasukan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan dari England, Anthony Taylor apabila Alejandro Gomez mendapat peluang terbaik seawal minit ketiga.

Kapten Atalanta itu meledakkan rembatan dalam kawasan penalti selepas menerima lorongan daripada Duvan Zapata tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol PSG, Keylor Navas.

Tidak sampai pun seminit percubaan dilakukan Gomez itu, Neymar pula membuka ruang yang cukup luas untuk membuka tirai jaringan ketika larian derasnya berjaya melepasi kawalan pertahanan dan hanya berhadapan Marco Sportiello di gawang Atalanta.

Pemain termahal dunia itu bagaimanapun melepaskan peluang keemasan tersebut setelah melakukan percubaan ‘placing’ yang tersasar ke sebelah kiri pintu gol lawan.

Navas bertindak cemerlang pada minit ke-11 dan 21 apabila beliau menghalang tandukan Hans Hateboer dan Mario Pasalic. Kedua-dua tandukan itu berpunca daripada hantaran cantik dilakukan Gomez.

Pasalic bagaimanapun terlebih dahulu meletakkan wakil Itali itu di hadapan pada minit ke-27 selepas percubaannya dalam kawasan penalti PSG melencong masuk dan gagal ditepis keluar Navas.

Neymar nyata merupakan insan yang cukup kecewa pada separuh masa pertama apabila dua lagi percubaan terbaik dimiliki gagal disudahkan dengan baik meskipun lariannya berjaya tidak mampu disaingi pertahanan Atalanta.

Kelemahan di jentera serangan menyaksikan Thomas Tuchel membawa masuk bintang muda, Kylian Mbappe bagi menambah bisa barisan hadapan PSG.

Kehadiran Mbappe yang baharu sahaja pulih daripada kecederaan beberapa kali cuba untuk mengancam kubu Atalanta tetapi masih tidak mampu untuk menjelmakan jaringan yang dinanti kem juara Ligue 1 itu.

Ketika skuad bimbingan Gian Piero Gasperini di ambang kemenangan, Marquinhos menyelamatkan maruah PSG apabila beliau berjaya menolak masuk bola hasil hantaran lintang Neymar untuk kembali mengikat kedudukan di minit ke-90.

Gerakan yang merintis kepada jaringan tersebut bermula daripada hantaran baik dari pemain gantian, Eric Maxim Choupo-Moting lalu memberikan peluang buat Neymar untuk melakukan hantaran kepada rakan senegaranya itu.

Bagaikan mendapat tonik cukup berguna susulan jaringan tersebut, Le Parisien terus melancarkan serangan ke kubu Atalanta dan Choupo-Moting muncul wira pasukan setelah beliau menolak masuk bola untuk gol kemenangan berselang tiga minit kemudian.

Gol tersebut juga mirip jaringan penyamaan yang dihasilkan dan lebih menarik hantaran itu sekali lagi datangnya daripada Neymar. Ternyata Neymar sudah boleh melupakan kekecewaannya di separuh masa pertama.

Dengan kemenangan dramatik ini, PSG akan menanti pemenang di antara RB Leipzig dan Atletico Madrid yang akan berlangsung awal pagi esok.

Kredit featured image: David Ramos/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN