Valencia Dah ‘Pokai’, Janji Bayar Gaji Pemain Bulan Depan

Masalah kewangan Valencia kini telah memasuki episod baharu apabila kelab La Liga tersebut dilaporkan membayar gaji pemain dengan nota janji hutang (IOU).

Bukan lagi satu rahsia kelab Sepanyol tersebut terkesan dengan impak kewangan yang serius ekoran krisis pandemik COVID-19 dan kini sangat terdesak untuk kembali menstabilkan kedudukan kelab.

Bekas kapten pasukan, Dani Parejo dan pemain tengah Perancis, Francis Coquelin telah pun dijual kepada Villareal dengan ‘harga borong’ tempoh hari sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong kepada pemilik kelab, Peter Lim.

Kedua-dua pemain tersebut merupakan antara penerima gaji yang tinggi di Mestalla dan kelab tersebut kini mahu mengurangkan bebanan kos operasi bagi menjamin kedudukan kewangan yang lebih baik.

Kelab tersebut juga telah menjual bintang muda mereka, Ferrans Torres kepada Manchester City baru-baru ini juga dengan harga yang dianggap terlalu rendah iaitu hanya sekitar £21.8 juta.

Pemain berusia 20 tahun itu kemudian mengeluarkan kenyataan ‘pedas’ yang mendakwa beberapa orang dalam hieraki kelab menjadi punca dirinya ‘dipaksa’ meninggalkan Valencia walaupun sebenarnya beliau lebih berharap dapat dikekalkan dan menjadi pemain penting buat pasukan.

Namun apa yang lebih membimbangkan ketika ini adalah kegagalan Valencia untuk membayar gaji pemain sedia ada selepas kantung pasukan telah kering sehingga mereka terpaksa menawarkan IOU iaitu dengan membayar gaji secara janji bayar pada tarikh kemudian.

Merujuk kepada sumber yang didedahkan oleh Marca, cara tersebut bagaiamanapun tidak diterima dengan baik oleh pemain selepas satu pertemuan diadakan di antara mereka dengan Pengarah Kewangan Valencia, Inma Ibanez sebelum sesi latihan dijalankan pada Isnin.

Semua pemain dikatakan terkejut apabila menerima nota IOU tersebut dan mengandungi tarikh luput pada September 2021. Ibanez kemudian menegaskan gaji semua pemain akan dibayar pada bulan depan dan sebenarnya berlaku sedikit kesalahan pada nota tersebut (sepatutnya September 2020).

Valencia baru sahaja melantik Javi Garcia sebagai pengurus baharu mereka, tetapi bekas pengurus Watford itu telah pun membayangkan kesukaran untuk membentuk pasukan untuk musim baharu memandangkan ada beberapa pemain lain juga dijangka akan dijual dalam masa terdekat.

Selain Valencia, satu lagi kelab Sepanyol, Barcelona juga kini sedang bergolak dan melalui tempoh sukar. Kelab berkenaan baru sahaja mengumumkan pemecatan pengurus, Quique Setien berkuat kuasa serta merta pada Isnin.

Ketua jurulatih Belanda yang juga bekas pemain kelab Catalan tersebut, Ronald Koeman dijangka akan diumumkan sebagai pengganti pada minggu ini.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Valencia dan La Liga:

Leave a Reply